59 KELUARGA DI DESA-DESA KEDA ZON 9, BANDAR BAHARU TERIMA GERAN HAK MILIK

59 KELUARGA DI DESA-DESA KEDA ZON 9, BANDAR BAHARU TERIMA GERAN HAK MILIK

BANDAR BAHARU – Sebanyak 59 keluarga dari tiga Desa KEDA di Daerah Bandar Baharu hari ini melakar kenangan manis apabila menerima geran hak milik rumah masing-masing dalam satu majlis rasmi di Dewan Desa KEDA Sungai Tengas, di sini.
Penyerahan geran tersebut telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff.
Majlis turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Bandar Baharu, Tuan Mohd Noor bin Ismail, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, Pengurus Hartanah dan Prasarana KEDA, Encik Mohd Elias bin Hassan, Pengurus Pembangunan Komuniti KEDA, Encik Mohd Azam bin Omar, serta Pegawai Pembangunan Zon 9, Bandar Baharu, Encik Muhamad Noorhisham bin Taib.
Dalam ucapannya, YBhg. Tuan Ismasuhaimi mengucapkan tahniah kepada penerima geran yang terdiri daripada penduduk Desa KEDA Sungai Tengas, Desa KEDA Sungai Buluh, dan Desa KEDA Leret.
“Semua penerima perlu bersyukur dengan nikmat yang diperoleh hari ini. Ini bukan sahaja pencapaian besar, tetapi juga tanggungjawab untuk terus menjaga keharmonian komuniti serta meningkatkan taraf pendidikan, ekonomi, dan pendapatan keluarga masing-masing pada masa hadapan,” katanya.
Seorang penerima, Mohd Asri bin Taib, 54, dari Desa KEDA Sungai Buluh, melahirkan rasa syukur atas pemberian geran yang telah dinanti-nantikan selama ini.
“Alhamdulillah, ini rezeki untuk keluarga kami. Dengan adanya geran ini, masa depan kami lebih, terjamin,” katanya.
Sementara itu, Rosli bin Mat Isa, juga dari Desa KEDA Sungai Buluh, menganggap pemberian geran ini sebagai hadiah istimewa untuk keluarganya.
“Rumah ini asalnya rumah papan. Sedikit demi sedikit saya ubah suai sehingga akhirnya hari ini mendapat geran hak milik. Ini hadiah untuk lima anak saya,” ujarnya dengan penuh kesyukuran.
Majlis tersebut mencerminkan komitmen KEDA dalam meningkatkan taraf kehidupan penduduk luar bandar menerusi pelbagai inisiatif yang memberi impak positif kepada komuniti setempat.
Dengan pemilikan geran ini, penduduk kini lebih bersemangat untuk memulakan tahun baharu 2025 dengan harapan dan peluang yang lebih cerah.
——————————-
📸 Untuk gambar-gambar aktiviti di atas, sila klik pautan berikut;
——————————-
LEKOSHOW 2.0 MEMBUKA CAWANGAN DI SUNGAI PETANI

LEKOSHOW 2.0 MEMBUKA CAWANGAN DI SUNGAI PETANI

SUNGAI PETANI – Perusahaan keropok lekor ikan kebasi Langkawi yang diusahakan usahawan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah mengorak langkah dengan membuka cawangan di sini.
Dengan menggunakan konsep yang sama melalui program Women Biz Entrepreneurship, lokasi kedua ini juga melibatkan 4 orang mentee wanita yang dibimbing dan dipantau oleh mentor yang dilantik KEDA.
Terdahulu, majlis pembukaan LEKOSHOW di sini telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KEDA YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff.
Turut hadir adalah Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar, Pegawai Pembangunan KEDA Zon 7, Kuala Muda/Yan, Encik Anuar bin Omar, Penolong Pengarah Kolej KEDA, Encik Muhamad Fikhri bin Zulkifli dan Penolong Pengurus Pembangunan Usahawan, Cik Noor Shahida binti Jamil.
Dalam ucapan Pengurus Besar, beliau melihat potensi yang ada pada produk LEKOSHOW dan berupaya menjadi salah satu jenama kebanggaan negeri Kedah.
“Kepada para mentee, perkara asas adalah bersyukur dengan nikmat yang diberikan. Kembangkan lagi jenama LEKOSHOW ini agar lebih dikenali masyarakat.
Sempena Tahun Melawat Kedah 2025, LEKOSHOW boleh jadi destinasi tumpuan dengan konsep Food Tourism.
Jenama itu kena kuat dan KEDA akan cuba bantu dengan platform yang ada melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW),” ujar beliau.
Semoga LEKOSHOW terus maju ke hadapan sebagai jenama kebanggaan negeri Kedah.
SUKEDA 2025 TELAH BERMULA

SUKEDA 2025 TELAH BERMULA

ALOR SETAR – “Ayuh! Kita kerja bersungguh-sungguh, kita bersukan bersungguh-sungguh”.
Inilah kata-kata yang dilontarkan oleh Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff ketika melancarkan Kejohanan Sukan Kakitangan KEDA atau SUKEDA 2025.
SUKEDA 2025 ini menampilkan 14 acara dimana 3 acara melibatkan staf lelaki, 4 acara untuk staf perempuan dan 7 acara berlangsung secara campuran.
Sebanyak 4 pasukan dibentuk untuk SUKEDA 2025 ini dengan bertemakan binatang sebagai maskot kumpulan masing-masing.
Ianya terdiri dari rumah merah, King Cobra dimana Chief de Mission adalah Tuan Pengurus Besar KEDA sendiri. Seterusnya adalah rimah biru, Eagle Warrior yang diketuai oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Hajah Afifah binti Haji Omar.
Lagi dua pasukan adalah rumah kuning, Dragon Samurai yang diketuai oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dan rumah hijau, Alligator Fighter yang dipimpin oleh Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar.
Seramai 200 orang staf dianggarkan hadir ketika sesi pelancaran dengan memakai jersi tema pasukan masing-masing.
Selain simbolik potongan reben pelancaran SUKEDA 2025 ini, Tuan Pengurus Besar juga menyerahkan bendera kepada pengurus setiap pasukan sambil disaksikan oleh Chief de Mission masing-masing.
Tuan Pengurus Besar juga berkesempatan menyempurnakan simbolik pelancaran dengan membaling dart, iaitu acara pertama yang berlangsung selain batu seremban.
SUKEDA 2025 ini berobjektifkan mempromosikan budaya bersukan di kalangan staf disamping salah satu bentuk ikatan silaturahim yang ingin dibina berteraskan aktiviti sukan.
Selain itu, ini juga persediaan ke Sukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) atau MAKSPEN yang dijangka berlangsung pada Jun atau Julai tahun ini.
Jom!
Warga Aktif KEDA Produktif!
KEDA TIDAK MELEPASKAN PELUANG BERSAMA DALAM MAJLIS AMANAT TAHUN BAHARU 2025 PERDANA MENTERI

KEDA TIDAK MELEPASKAN PELUANG BERSAMA DALAM MAJLIS AMANAT TAHUN BAHARU 2025 PERDANA MENTERI

ALOR SETAR – Walaupun tidak berkesempatan untuk bersama dalam majlis secara fizikal, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam mendengar Amanat Tahun Baharu 2025 Perdana Menteri Malaysia secara maya.
Seramai 40 orang staf KEDA hadir di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, di sini bagi bersama-sama mendengar amanat, hasrat, impian dan harapan pemimpin nombor satu negara iaitu Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim.
Kumpulan ini diketuai oleh Pengurus Hartanah dan Prasarana, Encik Mohd Elias bin Hassan serta disertai wakil staf dari bahagian dan unit jabatan ini.
Turut tidak melepaskan peluang adalah Pengurus Besar KEDA, YBhg Tuan Ismasuhaimi bin Shariff yang mendengar secara maya bersama-sama pimpinan utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Seri Lestari, KKDW, Putrajaya.
Dalam amanat Perdana Menteri, awalannya beliau menyeru agar semua bersyukur dengan nikmat yang dikecapi di negara ini.
Beliau menasihati bahawa pendekatan dan dasar kerajaan perlu ada anjakan baru, berfokus, jangan ada keselesaan dan merungkai kesenjangan yang wujud di negara ini.
Kepada penjawat awam, skim Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) adalah pengiktirafan kepada sumbangan mereka kepada negara. Namun, penjawat awam perlukan kaedah baru dan tidak boleh ada budaya selesa (complesant).
Tatakelola juga perlu diperkukuh kerana ia adalah elemen Malaysia MADANI yang sedang diperjuangkan disamping pemerkasaan trend terkini seperti bidang Artificial Intelligence (AI) di kalangan kakitangan.
Selain itu, pimpinan agensi perlu wujudkan ruang untuk mendengar pandangan dan cadangan suara bawah iaitu staf yang merupakan stakeholder jabatan.
Terima kasih PMX atas semua inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat dan penjawat awam di negara ini.
Semoga PMX terus diberikan kekuatan, kemudahan dan kejayaan dalam memimpin Malaysia MADANI tercinta ini.
KEDA SERTAI PERHIMPUNAN PENJAWAT AWAM NEGERI KEDAH

KEDA SERTAI PERHIMPUNAN PENJAWAT AWAM NEGERI KEDAH

ALOR SETAR – Sebagai salah sebuah agensi persekutuan yang berada di Negeri Kedah, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama kerajaan negeri bagi mendengar amanat tahun baharu 2025 yang disampaikan oleh Menteri Besar Kedah, YAB Dato, Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor.
Seramai 5 orang kakitangan KEDA yang hadir pada sesi ini yang diketuai oleh Pengurus Hartanah dan Prasarana, Encik Mohd Elias bin Hassan.
Turut hadir adalah Ketua Unit Pentadbiran Am, Encik Mohd Khairul bin Ahmad dan Ketua Unit Pengurusan Sumber Manusia, Encik Muhammad Rifqi bin Zulkifli.
Dalam majlis yang sama, YAB Menteri Besar turut melancarkan Pelan Strategik Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman bagi tahun 2025-2028.
Pelan ini merupakan edisi yang keempat dan berlandaskan rancangan jangka panjang gagasan Pelan Kedah 2035 dan Pelan The Greater Kedah.
Pelancaran sistem iHome Kedah juga dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Sistem sebagai satu alternatif kepada rakyat untuk mengetahui projek-projek perumahan yang sedang atau siap dibina.
Semoga tahun baharu ini membuka lembaran yang lebih luas untuk kerjasama KEDA dan kerajaan negeri demi kesejahteraan rakyat luar bandar di negeri Kedah ini.
KEDA HADIRI AMANAT TAHUN BAHARU YAB TPM & MENTERI KKDW

KEDA HADIRI AMANAT TAHUN BAHARU YAB TPM & MENTERI KKDW

PUTRAJAYA – Seramai 30 orang kakitangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah hadir bagi mendengar dan menghayati amanat tahun baharu 2025 yang telah disampaikan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi.
Kehadiran delegasi KEDA ini telah diketuai oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg Tuan Ismasuhaimi bin Shariff. Turut hadir adalah Timbalan Pengurus Besar Pembangunan, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dan Timbalan Pengurus Besar Pengurusan, Hajah Afifah binti Haji Omar.
Selain itu hadir sama adalah barisan pelakon dan krew produksi persembahan KEDA sempena perhimpunan KKDW yang lalu.
Antara intipati ucapan YAB TPM adalah untuk menekankan pendekatan pemikiran strategik dan kepentingan kerjasama dengan badan penyelidikan bebas untuk menilai tahap kepuasan rakyat terhadap gerak kerja yang dilaksanakan.
Ini penting untuk memastikan perancangan kita kekal relevan dan memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat desa.
Dalam masa yang sampai, YAB TPM menyempurnakan sesi penyampaian hadiah kepada pemenang persembahan dan KEDA hanya berjaya mendapat hadiah saguhati. Johan menjadi milik KKDW manakala Naib Johan dan Tempat Ketiga dimenangi PERDA dan RISDA.
KEDA turut menyampaikan cenderahati kenang-kenangan kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKDW, YBhg Tuan Mohd Kamal bin Husin yang akan bersara. Terima kasih YBhg Tuan atas segala khidmat bakti yang diberikan terutama dalam membantu KEDA sebagai agensi dibawah KKDW.
Semoga usaha kita semua diberkati oleh Allah SWT dan menjadi pemangkin kepada kejayaan yang berterusan.
SESI PERBINCANGAN POTENSI PELABURAN KOPERASI DESA KEDA BANDAR BERSAMA KEDA & SKM

SESI PERBINCANGAN POTENSI PELABURAN KOPERASI DESA KEDA BANDAR BERSAMA KEDA & SKM

BALING – Ahli Lembaga Koperasi Pembangunan Desa KEDA Bandar Baling Berhad telah menjemput wakil dari dua agensi iaitu Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi membantu percambahan idea dan panduan untuk membangun dan memperkasa koperasi mereka.
Kehadiran KEDA telah diketuai oleh Pengurus Hartanah dan Prasarana, Encik Mohd Elias bin Hassan dan Ketua Unit Komunikasi Korporat, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman.
Turut hadir adalah kakitangan dari Bahagian Hartanah dan Prasarana serta Pejabat KEDA Zon 5, Baling sendiri.
Hadir mewakili SKM pula adalah Pegawai Wilayah SKM daerah Sik/Baling, Encik Fitiri bin Mahamad Aziz serta Ketua Unit Pembangunan Perniagaan, Encik Muhammad Syafiq bin Azizan.
Antara intipati perbincangan adalah bimbingan mengenai cadangan projek koperasi yang tertumpu kepada pembangunan kawasan desa itu untuk pelancongan memandangkan desa ini berdekatan dengan Kolam Air Panas Ulu Legong serta Gua Sireh.
Sebagai pemudah cara, kedua-dua agensi memberikan peranan dari sudut bidang tugas jabatan dan bimbingan yang boleh diberikan.
Semoga jawatankuasa yang dilantik ini terus komited dengan niat membantu penduduk sekitar melalui limpahan ekonomi projek ini.
Sebagai salah sebuah agensi pembangunan luar bandar, KEDA akan membantu agar kebaikan dapat dirasai bersama.
Terima kasih Koperasi Pembangunan Desa KEDA Bandar atas jemputan. Terima kasih SKM atas pencerahan kepada Koperasi dibawah naungan KEDA ini.
KEDA PERKASA PLKK BANTU PESERTA PEROLEH PASARAN PEKERJAAN

KEDA PERKASA PLKK BANTU PESERTA PEROLEH PASARAN PEKERJAAN

SUNGAI PETANI – Lembaga Kemajuan Wilayah KEDA (KEDA) terus komited memperkasa Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) untuk meningkatkan kemahiran kumpulan sasar agar lebih mudah memperoleh peluang pekerjaan selepas tamat latihan.
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, menyatakan bahawa usaha pemerkasaan ini bertujuan memastikan peserta program mampu menjana pendapatan yang lebih tinggi melalui kerjasama strategik bersama Pusat Pengurusan dan Kemahiran Industri Kedah (KISMEC) dan pihak industry lain.
“KEDA akan pastikan bersama pihak yang dilantik sebagai pengurus Program iaitu KISMEC untuk sama-sama berkolaborasi dengan pihak industri bagi memastikan pelajar-pelajar tersebut mendapat pekerjaan. Pihak KEDA telah berjaya menganjurkan kursus-kursus yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.
“Kita dalam usaha untuk meningkatkan lagi peningkatan dari segi kemahiran yang berasaskan teknologi-teknologi terkini yang ditekankan oleh KEDA bagi memastikan kebolehpasaran peserta dalam bidang industri,”.
Beliau berkata pada Sidang Media pada Majlis Penyampaian Sijil Peserta Tajaan KEDA PLKK Tahun 2023, di Hotel Park Avenue, di sini hari ini.
Tambah beliau, KEDA telah berkolaborasi dengan KISMEC yang mempunyai hubungan baik dengan pihak industri agar TVET dijadikan sebagai pilihan pertama untuk permintaan pekerjaan di masa akan datang.
Untuk maklumat, PLKK yang diwujudkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk meningkatkan kemahiran kumpulan sasar supaya mereka mampu mendapat pekerjaan atau mengusahakan perniagaan yang boleh memberikan pendapatan yang lebih tinggi dan seterusnya mengeluarkan mereka serta keluarga dari belenggu kemiskinan.
PLKK menyediakan bantuan kewangan dan pengurusan bagi membolehkan kumpulan sasar mengikuti kursus jangka pendek, sederhana dan panjang termasuk kemahiran asas Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) Sijil Kemahiran Malaysia Tahap I, II dan III.
57 PESERTA PLKK TERIMA SIJIL TAMAT LATIHAN

57 PESERTA PLKK TERIMA SIJIL TAMAT LATIHAN

SUNGAI PETANI – Seramai 57 peserta Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) Tahun 2023 tajaan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah menerima sijil tamat latihan dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Park Avenue, di sini, hari ini.
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, dalam ucapannya menyeru para peserta untuk mensyukuri pencapaian tersebut dan menggunakan ilmu yang diperoleh untuk memberi sumbangan kembali kepada masyarakat.
“Peserta yang tamat latihan ini adalah dari tiga kursus iaitu Kursus Industrial Automation (Mechatronics), Kursus Industrial Electronics, dan Kursus Industrial Electrical,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Peserta Tajaan KEDA Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) Tahun 2023.
Beliau turut memaklumkan bahawa kos bagi seorang peserta untuk kursus ini adalah sebanyak RM4,600, meliputi yuran pengajian, bahan latihan, insurans perlindungan diri, elaun sara diri, makan minum, dan penginapan.
Menurut beliau, PLKK 2023 dianjurkan dengan kerjasama Kedah Industrial and Management Development Centre (KISMEC), yang diiktiraf sebagai penyedia latihan dan perunding berpengalaman dalam bidang perindustrian.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Eksekutif KISMEC, Tuan Haji Mohd Yusuri bin Yusof, dan Pengurus Pembangunan Komuniti KEDA, Encik Mohd Azam bin Omar.
Jelas beliau, KEDA menerima peruntukan sebanyak RM600,000 daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk melaksanakan PLKK 2023, melibatkan pelbagai kursus seperti Gunting Rambut Profesional, Automasi Mekatronik, Elektronik, Elektrik, serta Perkhidmatan Asas Hospitaliti dan Latihan Operasi.
Bagi tahun 2024, KEDA telah diperuntukkan RM532,970 untuk melaksanakan sembilan kursus baharu termasuk Pengendalian Drone Pertanian, Air Conditioning System, Gas Paip, Pemasangan Perancah Tahap 1, Plumbing, Solar, Teknologi Bangunan, Teknologi Motosikal, dan Gearbox.
Majlis tersebut menjadi platform untuk meraikan kejayaan peserta serta menekankan komitmen KEDA dalam memperkasakan modal insan melalui program latihan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri.
KUNJUNG HORMAT JAWATANKUASA DEWAN PERNIAGAAN MELAYU MALAYSIA NEGERI KEDAH KE KEDA

KUNJUNG HORMAT JAWATANKUASA DEWAN PERNIAGAAN MELAYU MALAYSIA NEGERI KEDAH KE KEDA

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah merima kunjungan hormat dari Jawatankuasa Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Kedah (DPMMNK).
Kehadiran delegasi DPMMNK ini telah diketuai sendiri oleh Yang DiP
Dipertuanya, Datuk Mohd Zayad bin Md Ismail.
Ketibaan delegasi ini disambut mesra oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg Tuan Ismasuhaimi bin Shariff di Pejabat beliau.
Turut hadir mewakili KEDA adalah Pengurus Pembangunan Usahawan, Encik Rojani bin Romeli dan Ketua Pegawai Eksekutif KEDA Holdings Sdn Bhd, Encik Muhammad Syakir Zufairi bin Radziyuddin.
Kehadiran jawatankuasa DPMMNK ini adalah untuk mengeratkan hubungan antara kedua-dua badan ini disampikg mendapatkan maklumat mengenai gerak kerja operasi KEDA bagi tahun hadapan, 2025 untuk dilihat potensi kerjasama yang dapat dijalin.
Semoga kerjasama KEDA dan DPMMNK ini terus terjalin dengan jayanya demi kesejahteraan rakyat terutama masyarakat desa dan luar bandar.