KEDA HADIR KE TAKLIMAT BERSAMA JPKKP DAERAH SIK

KEDA HADIR KE TAKLIMAT BERSAMA JPKKP DAERAH SIK

SIK – Sempena Kursus Kenegaraan Malaysia Madani Komuniti Kepimpinan JPKKP Daerah Sik yang telah berlangsung di Institut Pengurusan Peladang Langkawi, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah mengambil peluang menyampaikan Taklimat Perkhidmatan KEDA semasa kursus terbabit.
Sesi taklimat telah disampaikan oleh Penolong Pengurus Bahagian Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Nasri bin Ahmad Shukri.
Pegawai Pembangunan Zon 4 Sik, Encik Mohd Noor Farzli bin Adenan, turut mengambil ruang dengan memberikan penerangan berkaitan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) Daerah Sik, tatacara permohonan bantuan ekonomi dan promosi Kolej KEDA.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi KEDA Resort and Holidays Sdn Bhd, YBhg Datuk Muhamad Khizri bin Abu Kassim.
Semoga input yang diberikan dapat membantu rakyat daerah ini untuk mendapat manfaat dari penubuhan agensi ini.
MUNSYI MUDA BAHASA KEDA MERIAHKAN PESTA SAYEMBARA PANTUN MADANI ANTARA KEMENTERIAN TAHUN 2024

MUNSYI MUDA BAHASA KEDA MERIAHKAN PESTA SAYEMBARA PANTUN MADANI ANTARA KEMENTERIAN TAHUN 2024

KUALA LUMPUR – 3 orang staf Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang juga merupakan Munsyi Muda Bahasa agensi ini telah dilantik sebagai urus setia Pesta Sayembara Pantun MADANI Antara Kementerian Tahun 2024.
Mereka adalah Ketua Unit Komunikasi Korporat, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman, Encik Ameerul Zafran bin Saiful Amir (Unit Komunikasi Korporat) dan Encik Mohd Zaiem bin Johari (Pejabat KEDA Zon 4 Sik).
Pesta Sayembara Pantun MADANI Antara Kementerian anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini telah memulakan pertandingannya sejak 4 November 2024 lalu.
Dengan tema “Penjawat Awam Nadi Malaysia MADANI”, ianya adalah satu bentuk penghargaan kepada penjawat awam berteraskan nilai kemanusiaan, keadilan dan kesejahteraan.
Penjawat awam tidak dapat lari dari tanggungjawab mereka dalam menggerakkan dasar-dasar kerajaan yang memastikan pentadbiran cekap dan berintergriti.
Seni pantun pula diterapkan sebagai medium memperkukuh nilai MADANI iaitu Ihsan dan Perpaduan melalui seni bahasa yang kreatif dan halus dengan mengubah tanggapan pantun bukan sekadar warisan kebudayaan namun ianya menjadi alat penyebaran mesej keharmonian.
Seramai 10 pasukan mendaftar sebagai peserta sayembara ini. Pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mewakili Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah berjaya menjadi johan sayembara ini dengan menumpaskan pasukan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPN Selangor) yang mewakil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di pentas akhir.
MUNSYI MUDA BAHASA KEDA DIJEMPUT DALAM MAJLIS PENTAULIAHAN MUNSYI MUDA BAHASA 2023/2024 DAN SAMBUTAN INTAN 65 TAHUN

MUNSYI MUDA BAHASA KEDA DIJEMPUT DALAM MAJLIS PENTAULIAHAN MUNSYI MUDA BAHASA 2023/2024 DAN SAMBUTAN INTAN 65 TAHUN

KUALA LUMPUR – Bukan sahaja terlibat dalam menjadi jurupantun dan pramuwaktu Pesta Sayembara Pantun antara Kementerian bagi tahun ini, malah ketiga-tiga Munsyi Muda Bahasa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) turut terlibat dalam menyempurnakan Majlis Pentauliahan Munsyi Muda Bahasa 2023/2024 dan Sambutan Intan 65 Tahun.
Ketua Unit Komunikasi Korporat, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman, Encik Ameerul Zafran bin Saiful Amir (Unit Komunikasi Korporat) dan Encik Mohd Zaiem bin Johari (Pejabat KEDA Zon 4, Sik) telah hadir sebagai urusetia majlis tersebut yang berlangsung di INTAN Bukit Kiara, di sini.
Seramai 161 penjawat awam dari pelbagai kementerian dan agensi telah ditauliahkan sebagai Munsyi Muda Bahasa pada 6 November 2024, membolehkan mereka menjadi rujukan Bahasa Melayu di organisasi masing-masing.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berharap pentauliahan ini akan memperkasa penggunaan Bahasa Melayu di sektor awam sebagai model bahasa rasmi yang betul dan berwibawa. Menurut beliau, “Penggunaan Bahasa Melayu dalam dokumen kerajaan menjadi penanda aras bagi sektor swasta dan rujukan pihak luar negara.”
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim mewakili KPPA di INTAN dan turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md. Johari bin Hasan serta Timbalan Pengarah Kanan INTAN, YBhg. Datuk Dr. Haniff bin Zainal Abidin.
Program ini, diperkenalkan sejak 2015 oleh JPA dan Dewan Bahasa dan Pustaka, menetapkan Munsyi Muda Bahasa sebagai perujuk bahasa bagi memastikan bahasa rasmi kerajaan yang standard dan tepat, selaras dengan Ceraian P.O. 1.1.1 MyPPSM: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam.
SIRI KETIGA JUALAN KASIH KEDA MADANI BERLANGSUNG MERIAH

SIRI KETIGA JUALAN KASIH KEDA MADANI BERLANGSUNG MERIAH

YAN – Meriah! Itulah gambaran suasana program anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) iaitu Jualan Kasih KEDA Madani apabila menerima kehadiran kira-kira lebih 3,000 pengunjung.
Pengunjung yang rata-rata adalah penduduk Yan dan sekitar telah hadir seawal jam 8.30 pagi bagi membeli 53 jenis barangan keperluan harian dengan harga lebih murah di pekarangan dewan Desa KEDA Singkir Badong, di sini.
Program kali ini telah dilancarkan oleh Pengerusi KEDA, Mejar Jeneral (B), Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom. Turut hadir adalah Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Kedah, YBhg. Puan Zuriana binti Mat Adam, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, YBrs. Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), YBrs. Hajah Afifah binti Haji Omar.
Menurut Dato’ Seri Jamil Khir ketika ditemu ramah, program yang bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari itu dapat memberi peluang kepada penduduk di daerah itu untuk membeli barangan seperti beras, ikan segar, sayur-sayuran dan buah-buahan secara langsung daripada pengusaha dengan penjimatan harga sehingga 30 peratus.
“Jualan hari ini merupakan rentetan sambutan baik dan luar biasa yang diterima ketika penganjuran di Ibu Pejabat KEDA Alor Setar dan Sik. Kita mahu membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat dan diharapkan ia dapat membantu mereka.”
“Jualan ini juga turut menjadi medium untuk mempromosi dan memasarkan produk usahawan dan seterusnya meningkatkan pendapatan peniaga. Turut dibuka adalah jualan 20 produk usahawan KEDA tempatan seperti ais sagat dan kuih tradisional,” ujar beliau.
Dalam masa yang sama, KEDA turut mengadakan jualan ‘combo sale’ dan ‘happy hour’ di mana tiga barangan iaitu ayam, minyak dan gula dijual dengan harga murah RM10.
Rata-rata pengunjung berpuas hati dengan program ini dan berharap agar ianya dapat diteruskan lagi di masa akan datang.
KEDA MENJADI NAIB JOHAN KEJOHANAN BOLA JARING MAKSAK KEDAH 2024

KEDA MENJADI NAIB JOHAN KEJOHANAN BOLA JARING MAKSAK KEDAH 2024

ALOR SETAR – Penyertaan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dalam Kejohanan Bola Jaring Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Negeri Kedah tidak sia-sia apabila berjaya merangkul naib johan dalam kejohanan tersebut.
Kejohanan yang diadakan ini adalah bagi memilih pemain untuk mewakili KEDAH bagi Kejohanan Bola Jaring MAKSAK Kebangsaan 2024 yang dijadualkan akan diadakan pada awal Disember ini di Paroi, Negeri Sembilan.
8 pasukan telah hadir bagi mencuba nasib untuk menjadi johan pada pertandingan yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan, di sini.
Kejohanan ini telah disertai kakitangan KEDA iaitu Puan Sunita binti Yahaya sebagai Pengurus Pasukan. Seterusnya adalah Ketua Unit Perolehan, Puan Noor Hidayah binti Zakaria, Puan Noor Amira bin Ahmad Shukkri (Bahagian Hartanah dan Prasarana), Puan Siti Nurhafiza binti Radzuan (Bahagian Khidmat Pengurusan), Puan Farah Husna binti Zainol Rashid (Unit Komunikasi Korporat), Puan Siti Faridah binti Ismail (Bahagian Niagatani) dan Cik Nur Izzatul Syiffa Binti Shamshuri (Pejabat KEDA Zon 3, Pendang/Pokok Sena).
Pada peringkat kumpulan, pasukan KEDA telah berjaya menjadi naib johan kumpulan B dan melayakkan pasukan ke peringkat separuh akhir. Tuah memihak kepada pasukan KEDA apabila berjaya menewaskan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seterusnya mara ke peringkat akhir.
Namun, tuah itu tidak berpanjangan apabila pasukan KEDA tewas kepada pasukan gabungan guru-guru seluruh negeri Kedah.
KEDA turut dinobatkan sebagai pasukan yang bermain secara Fair Play dalam kejohanan ini. Tahniah pasukan bola jaring KEDA di atas kejayaan membanggakan ini. Semoga terus membawa nama KEDA di persada lebih cemerlang.
KEDA RANGKUL NAIB JOHAN PERTANDINGAN CONGKAK TEMASYA OGHANG KEDAH

KEDA RANGKUL NAIB JOHAN PERTANDINGAN CONGKAK TEMASYA OGHANG KEDAH

ALOR SETAR – Seorang kakitangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) iaitu Puan Fudzla Suria binti Abdul Karim dari Unit Pengurusan Sumber Manusia KEDA telah berjaya merangkul naib johan pertandingan congkak sempena Temasya Oghang Kedah anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kedah (JKKNK).
Program yang diadakan di perkarangan Stadium Darul Aman, disini terbuka kepada semua penjawat awam dan orang awam di negeri Kedah ini. KEDA telah menghantar 11 orang staf wanita melalui dua kategori iaitu pertandingan congkak (6 orang) dan batu seremban (5 orang).
Selain Puan Fudzla Suria berjaya menjadi Naib Johan, antara pencapaian lain KEDA untuk acara congkak adalah melalui Cik Nur Amanina binti Mohamad Bakri (Bahagian Niagatani) mendapat tempat ke-4 dan Puan Imira binti Ismail (Bahagian Pembangunan Komuniti) mendapat tempat ke-7 dalam pertandingan ini.
Bagi acara batu seremban pula, Puan Norazila binti Che Awang (Unit Pengurusan Sumber Manusia) mendapat tempat ke-7, Puan Noryakin binti Abdul Rahman (Bahagian Hartanah dan Prasarana) mendapat tempat ke-9 dan Puan Amirah binti Adimat (Ketua Unit Audit Dalam) mendapat tempat ke-10 dalam pertandingan ini.
Antara kakitangan lain yang hadir mewakili KEDA untuk pertandingan congkak adalah Puan Nurul Ain binti Mannsor (Bahagian Perancangan Pemantauan dan Penilaian), Puan Nurratul Aini binti Elias (Unit Perolehan) dan Puan Thohibah binti Razali (Unit Pengurusan Sumber Manusia) manakala bagi pertandingan batu seremban, kakitangan yang turut hadir mewakili KEDA adalah Puan Azita binti Ishak (Unit Pengurusan Sumber Manusia) dan Cik Iwani binti Salleh (Bahagian Hartanah dan Prasarana).
Tahniah kepada semua pemenang dan mewakili KEDA. Semoga terus membawa nama KEDA di persada paling cemerlang.
SANTUNI MADANI TERIMA SAMBUTAN POSITIF MASYARAKAT

SANTUNI MADANI TERIMA SAMBUTAN POSITIF MASYARAKAT

ALOR SETAR – Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang diadakan di Masjid Al-Ihsan, Seberang Perak, Alor Setar mendapat sambutan positif daripada penduduk setempat.
Program ini berlangsung dari jam 9 pagi hingga 10 malam, dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang bertujuan merapatkan hubungan silaturahim dan perpaduan.
Pengerusi Komuniti Rukun Tetangga Daerah Kota Setar, YBhg. Dato Abdul Kadir bin Mohamad, menyatakan sokongannya terhadap program ini yang membawa manfaat besar kepada masyarakat setempat.
Beliau mencadangkan agar program seperti ini diperluaskan ke kawasan lain, memandangkan pendekatan menyantuni masyarakat menerusi pelbagai aktiviti terbukti berjaya meningkatkan semangat kejiranan dan mengeratkan ikatan antara penduduk.
“Program seperti ini harus diperluaskan ke lebih banyak kawasan, bukan sahaja untuk memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan penduduk, tetapi juga untuk memperkuatkan ikatan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini bukan sahaja memberi peluang kepada penduduk untuk bersosial tetapi juga menghidupkan kembali nilai-nilai tradisi, seperti gotong-royong dan kerjasama dalam masyarakat,” katanya ketika ditemui pada Program Santuni MADANI yang diadakan semalam.
Menurutnya, pada sebelah pagi, program ini memberi peluang kepada penduduk untuk berinteraksi dengan wakil-wakil dari 18 agensi kerajaan dan swasta yang turut hadir membuat pameran.
“Penduduk bukan sahaja berpeluang mendapatkan maklumat berguna daripada agensi, malah dapat mengemukakan pertanyaan atau mendapatkan khidmat nasihat secara langsung dalam suasana santai,” katanya.
Di samping itu, program Santuni MADANI juga dilihat sebagai inisiatif yang mampu menggalakkan golongan muda untuk lebih terlibat dalam kegiatan kemasyarakatan. Menurut salah seorang peserta muda yang ditemui, program ini memberikan platform untuk mereka menyumbang tenaga dalam aktiviti-aktiviti sukarelawan serta mengenali lebih banyak peluang kerjaya dan pendidikan daripada agensi-agensi yang hadir.
Majlis diakhiri dengan jamuan makan malam yang turut disertai oleh penduduk setempat, sebagai simbolik pengakhiran program. Kemeriahan program sepanjang hari tersebut mencerminkan sokongan dan harapan masyarakat agar Santuni MADANI terus menjadi wadah penting dalam memperkukuh jaringan komuniti di Kedah.
Penduduk yang ditemui rata-rata berharap agar program ini menjadi satu acara tahunan, sebagai satu usaha berterusan dalam menyemarakkan semangat perpaduan dan membantu membangunkan komuniti secara menyeluruh.
LAWATAN KERJA PENGURUS BESAR KEDA KE PROJEK PEMBANGUNAN DAN EKONOMI DAERAH LANGKAWI

LAWATAN KERJA PENGURUS BESAR KEDA KE PROJEK PEMBANGUNAN DAN EKONOMI DAERAH LANGKAWI

LANGKAWI – Telah berlangsungnya lawatan kerja Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff ke daerah Langkawi bagi melihat status terkini perlaksanaan projek yang masih dijalankan mahupun telah siap sepenuhnya.
Tempat pertama yang dilawati adalah di Tapak KESOC, Jalan Kisap bagi menyempurnakan cabutan undi kerja-kerja Daerah Langkawi. Tuan Pengurus Besar KEDA meneruskan lawatan ke Desa KEDA Wang Tok Rendong (DKWTR) melibatkan Projek Campsite, penyerahan geran dan bakul makanan kepada penyewa yang berjaya membayar sepenuhnya.
Seterusnya, beliau ke Lawatan Tapak Projek Program Pemajuan Kawasan (PPK) Tanah Lot Generasi Kedua DKWTR dan Projek Kiosk PIKAT.
Lawatan Tuan Pengurus Besar KEDA ke destinasi seterusnya adalah Projek Pertanian Petani Luar Bandar (PPLB) bagi melihat Pengusaha Tanaman Jagung iaitu Encik Aziz di Kampung Lawer, Padang Matsirat.
Lawatan berakhir di pemantauan tanah hak milik KEDA di Kubang Badak.
Seterusnya, pada hari kedua, Tuan Pengurus Besar KEDA bebesar hati menyampaikan bantuan ekonomi kepada penerima-penerima bantuan di bawah PIKAT iaitu Projek Air Kelapa dan Tebu, Karipap Pusing Frozen Mahsuri, Suasana Bendang Café, My Wak Soya, Bahulu Warisan dan Gulai Panas Dan Asam Pedas Kengsom.
Turut berlangsung pada pagi tersebut adalah Sesi Taklimat dan Perjumpaan Warga DKWTR Bersama Unit Kutipan Hasil dan Unit Rumah Bahagian Hartanah dan Prasarana (BHP).
Program selama dua hari baru-baru ini turut diserikan dengan kehadiran Pengurus Bahagian Hartanah dan Prasarana (BHP), Encik Mohd Elias bin Hassan, Pengurus Bahagian Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar, Penolong Pengurus BHP, Encik Mohd Zahir bin Hasan, Ketua Unit Perolehan, Puan Noor Hidayah binti Zakaria serta Ketua Unit Kutipan Hasil, Encik Dzulkarnain Abdul Manaf.
USTAZ 3 BERADIK HADIR DI SANTUNI MADANI KEDA

USTAZ 3 BERADIK HADIR DI SANTUNI MADANI KEDA

ALOR SETAR – Program Ceramah Perdana sempena Pelancaran Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) Peringkat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menjadi menarik dengan kehadiran pendakwah selebriti Ustaz 3 Beradik.
Ustaz Zarifi Daud, Ustaz Hariri Daud dan Ustaz Ihsan Daud hadir menerima jemputan dari KEDA dengan membawa tajuk “Cintakan Rasul, Kasihkan Allah”.
Hadir dalam ceramah perdana ini adalah Pengurus Besar KEDA, YBhg Tuan Ismasuhaimi bin Shariff. Turut hadir adalah Pengerusi Komuniti Rukun Tetangga Daerah Kota Setar, YBhg. Dato Abdul Kadir bin Mohamad, Imam Masjid Al-Ihsan, YBrs. Ustaz Mohd Fitri Hafizan bin Ahmad Kamal.
Pencaramah selebriti ini hadir dengan kelainan kerana turut mengadakan persembahan nyanyian dan selawat yang diselitkan sepanjang sesi ceramah mereka.
Majlis bermula seawal jam 7 malam dengan ahli kariah masjid hadir bagi turut sama menunaikan solat fardhu maghrib secara berjemaah.
Seusai selesai solat maghrib, pihak urusetia menjemput kesemuanya untuk bersama-sama bersedia untuk ceramah perdana tersebut..
Alhamdulillah, majlis berjalan lancar dengan majlis diakhiri oleh solat Isyak yang turut diadakan secara berjemaah dan jamuan makan.
SANTUNI MADANI INISIATIF PEMERKASAAN KOMUNITI

SANTUNI MADANI INISIATIF PEMERKASAAN KOMUNITI

ALOR SETAR -Lembaga Kemajuan Wilayah KEDA (KEDA) memperkasakan komunitinya melalui Program Santuni MADANI yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertujuan untuk meningkatkan potensi dan keupayaan komuniti luar bandar melalui pendekatan pemimpin yang lebih dekat dengan rakyat.
Hasrat program ini adalah untuk melibatkan pemimpin dalam sesi libat urus secara berterusan bagi menangani isu-isu sosioekonomi seperti kemiskinan, keciciran pendidikan, masalah kesihatan, pengangguran, keselamatan, infrastruktur, dan penyalahgunaan dadah.
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff berkata program ini membahagikan aktivitinya kepada dua segmen utama iaitu Kepimpinan Komuniti dan Sesi Libat Urus Masyarakat.
“Peserta dalam kalangan pemimpin komuniti seperti Jawatankuasa 4P Desa-desa KEDA dan pemimpin setempat telah menghadiri Klinik Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Luar Bandar. Ceramah disampaikan oleh pegawai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberikan penekanan terhadap ancaman Sindiket Penipuan Atas Talian (Scammer).
“Objektif utama program ini adalah untuk memupuk pemahaman dan penglibatan pemimpin kampung mengenai peranan mereka dalam pembangunan masyarakat serta memberi pendedahan terhadap peranan agensi kerajaan dan swasta dalam pembangunan kampung. Ini sekaligus mendorong komuniti untuk melibatkan diri dalam pembangunan yang dipacu oleh masyarakat itu sendiri, “.
Beliau berkata pada Sidang Media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Satu Pemimpin Satu Kampung (SANTUNI MADANI) Peringkat KEDA di Masjid Al-Ihsan, Seberang Perak, di sini hari ini.
Beliau berkata masyarakat setempat berpeluang berinteraksi dengan 18 agensi kerajaan dan swasta yang menyediakan kaunter bergerak dan pameran.
Melalui program ini, jelas beliau, KEDA berusaha mendekatkan pemimpin dan agensi kerajaan kepada komuniti bagi membantu menangani isu-isu sosioekonomi yang dihadapi oleh penduduk setempat.
Tambah beliau, program ini juga memberi peluang kepada pemimpin untuk berbakti semula kepada kampung halaman mereka, sekaligus memperkukuhkan semangat kebersamaan.
“Santuni MADANI bukan sahaja mendekatkan pemimpin kepada komuniti, tetapi juga menyediakan platform untuk masyarakat memperoleh maklumat dan sokongan yang diperlukan dalam mengembangkan potensi kampung.
Program ini menjadi landasan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai program-program yang ditawarkan oleh kerajaan dan agensi berkaitan, serta usaha berterusan untuk memperkasakan komuniti luar bandar, ” katanya.