1000 PENDUDUK MERIAHKAN SANTUNI MADANI KEDA

1000 PENDUDUK MERIAHKAN SANTUNI MADANI KEDA

ALOR SETAR – Program Satu Pemimpin Satu Kampung (SANTUNI MADANI) anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di pekarangan Masjid Al-Ihsan, Seberang Perak, Tongkang Yard, berjaya menarik kehadiran kira-kira 1000 penduduk setempat.
Program ini berlangsung sepanjang hari, bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir pada 10.00 malam, dengan pelbagai aktiviti menarik disusun khas untuk penduduk.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman, YB. Teh Swee Leong bersama Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff serta Setiausaha Bahagian Komuniti Desa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YBhg. Encik Che Mohd Zulkifli bin Ismail.
Program ini dibahagikan kepada dua segmen utama, iaitu Kepimpinan Komuniti dan Sesi Libat Urus Masyarakat, yang mana penduduk berpeluang untuk berinteraksi dengan 18 agensi kerajaan dan swasta melalui kaunter perkhidmatan bergerak dan pameran. Antara agensi yang terlibat termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Askar Wataniah, Polis Diraja Malaysia (PDRM),PERKESO, Tabung Haji, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS),IKM Mara dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti disediakan iaitu sukan Rakyat seperti congkak, mobile legends, karom, sepak raga bulatan, dan pertandingan mewarna turut dianjurkan untuk menghiburkan peserta daripada pelbagai peringkat umur.
Turut diadakan pemeran dan Khidmat kaunter bergerak, promosi Kolej KEDA dan Ceramah Perdana.
Objektif utama program ini adalah untuk memupuk penglibatan aktif pemimpin kampung dalam pembangunan komuniti serta memberi pendedahan kepada penduduk tentang peranan penting agensi kerajaan dan swasta dalam membantu pembangunan kampung.
KEDAHFM BANTU PROMOSI PROGRAM SANTUNI MADANI KEDA

KEDAHFM BANTU PROMOSI PROGRAM SANTUNI MADANI KEDA

ALOR SETAR – Terima kasih KedahFM atas kesudian untuk membantu mempromosikan program Satu Pemimpin Satu Kampung peringkat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
Pengurus Besar KEDA, YBhg Tuan Ismasuhaimi bin Shariff telah menghadiri sesi temubual eksklusif KedahFM di Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Abdul Halim, di sini yang turut ditemani Ketua Unit Komunikasi Korporat, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman.
Program Santuni MADANI peringkat KEDA akan berlangsung pada 27 Oktober 2024 (Ahad), bertempat di Masjid Al-Ihsan, Seberang Perak, Alor Setar bermula jam 9 pagi hingga 9 malam.
Pelbagai aktiviti disediakan seperti ceramah kepimpinan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan (Wilayah), ceramah keselamatan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), pameran dan khidmat kaunter dari 15 agensi, aktiviti bersama Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dan ceramah perdana dari Ustaz 3 Beradik.
Program Satu Pemimpin Satu Kampung atau ringkasnya Santuni Madani ini, merupakan cetusan idea bernas Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. Hasrat beliau adalah bagi meningkatkan potensi kampung dan keupayaan komuniti msyarakat melalui sesi libat urus dan pemantauan secara berterusan.
Tanggungjawab utama pelaksanaan program ini diletakkan kepada setiap pemimpin dan ketua jabatan yang ada. Ianya dilaksanakan sedemikian bagi memupuk budaya “sense of belonging” atau “rasa kekitaan” dan “proud with” atau “berbangga” dengan kampung yang ada kaitan dengan pemimpin itu sendiri pemimpin.
Objektif program adalah untuk memperkaya sikap cakna pemimpin yang sentiasa menyantuni dan menjadi suri teladan kepada penduduk kampung kelahiran atau kampung yang dipilih.
Jom meriahkan Program Santuni MADANI peringkat KEDA!
KEDA KONGSI PENGALAMAN URUSKAN PROJEK PPK HUJUNG KETON@TAMAN DESA TAWAKKAL

KEDA KONGSI PENGALAMAN URUSKAN PROJEK PPK HUJUNG KETON@TAMAN DESA TAWAKKAL

PENDANG – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) berkongsi pengalaman menguruskan Projek Pemajuan Kawasan (PPK) Hujung Keton @ Taman Desa Tawakkal kepada delegasi dari Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) hari ini.
Lawatan kerja tersebut melibatkan 11 pegawai KESEDAR yang diketuai oleh Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), YBhg. Tuan Mohd Fadhly bin Ab Manaf.
Majlis taklimat dimulakan oleh Penolong Pengurus Hartanah dan Prasarana KEDA, Puan Nur Idawati binti Abdul Wahab, diikuti oleh Jurutera Awam, Encik Muhammad Faiz Helmi bin Shukri, dan Pegawai Pembangunan Zon 3 Pendang, Encik Mohd Hafiz bin Ahmad. Mereka berkongsi pengalaman mengenai pengurusan projek yang dimulakan pada tahun 2017 dan mula diduduki peserta pada tahun 2021.
Selain itu, proses pemilihan peserta, temuduga, serta syarat-syarat dalam dokumen perjanjian turut dijelaskan dan dikongsi kepada delegasi KESEDAR.
Para pegawai KESEDAR menunjukkan minat mendalam, dan sesi taklimat tersebut lebih kepada dialog interaktif antara kedua-dua pihak.
Delegasi KESEDAR turut dibawa melawat kawasan penempatan Taman Desa Tawakkal yang merupakan salah satu projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), dan dilaksanakan oleh KEDA dengan kos keseluruhan RM11 juta.
Projek ini merangkumi pembinaan 57 unit rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), kemudahan bekalan air, elektrik, serta gelanggang futsal.
Taman Desa Tawakkal dibangunkan dengan matlamat membantu masyarakat miskin luar bandar serta meningkatkan taraf kehidupan mereka. Pembangunan taman ini juga dijangka memajukan kawasan sekitar Pendang dan memastikan keselamatan penduduk lebih terjamin.
KURSUS FAMILY ON ALERT (FOA) BERSAMA PENDUDUK DESA KEDA DAERAH LANGKAWI

KURSUS FAMILY ON ALERT (FOA) BERSAMA PENDUDUK DESA KEDA DAERAH LANGKAWI

LANGKAWI – Program Family On Alert (FOA) bertemakan Pembentukan Keluarga Resilien telah berjaya diadakan selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Oktober 2024 di Hotel Langkasuka Langkawi, di sini.
Kursus ini dianjurkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Langkawi dengan kerjasama Pejabat KEDA Zon 1 Langkawi, melibatkan penyertaan 30 orang peserta daripada penduduk Desa KEDA Teluk Berembang dan Desa KEDA Wang Tok Rendong.
Program ini bertujuan membina ketahanan diri serta ketahanan keluarga di kalangan peserta untuk menghadapi pelbagai cabaran hidup yang semakin mencabar.
Sepanjang kursus, para peserta telah terlibat dalam pelbagai aktiviti seperti ceramah motivasi, Latihan Dalam Kumpulan (LDK), serta permainan interaktif yang bertujuan mengeratkan hubungan kekeluargaan dan membina kepercayaan antara ahli keluarga.
Menurut penganjur, program ini memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bagi memperkukuh daya tahan keluarga dalam menghadapi cabaran kehidupan, sekali gus membina sokongan yang lebih kuat antara anggota keluarga.
Di penghujung program, peserta menyatakan bahawa mereka merasa lebih yakin dan bersedia untuk mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam kehidupan seharian demi kesejahteraan keluarga mereka.
Pihak penganjur berharap agar kursus ini dapat memberikan impak positif yang berpanjangan dalam membentuk keluarga yang lebih resilen dan berdaya tahan.
MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN PROJEK PERUMAHAN RAKYAT SEJAHTERA (PPRS) KEPADA PENERIMA FASA 2 DAN 3 PARLIMEN JERAI 2024

MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN PROJEK PERUMAHAN RAKYAT SEJAHTERA (PPRS) KEPADA PENERIMA FASA 2 DAN 3 PARLIMEN JERAI 2024

YAN – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Bahagian Pembangunan Komuniti (BPK) dan Pejabat KEDA Zon 7 (Kuala Muda/Yan) telah mengadakan Majlis Penyerahan Bantuan PPRS kepada penerima bagi fasa 2 dan 3 2024 bagi Parlimen Jerai.
Seramai 67 penerima bantuan PPRS bagi tahun 2024 Parlimen Jerai telah hadir didalam majlis ini dan melibatkan tiga kawasan DUN iaitu Gurun, Guar Chempedak dan Sungai Limau.
Majlis ini diserikan dengan kehadiran Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir Baharom yang turut menyampaikan bakul makanan kepada penerima bantuan PPRS.
Didalam ucapannya, beliau mengingatkan semua penerima agar sentiasa bersyukur dengan rezeki yang telah diberikan oleh Allah SWT melalui KEDA dan KKDW.
“Di dalam ratusan permohonan yang diterima untuk baikpulih rumah, Alhamdulillah, nama tuan-tuan dan puan-puan telah terpilih. Yang belum terima, bersabarlah dan banyakkan berdoa agar nama anda pula akan terpilih selepas ini”, katanya.
Tambahnya, YAB Timbalan Perdana Menteri I, merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sentiasa peka dan cakna dengan permasalahan masyarakat luar bandar dan sedang berusaha membantu semua pihak yang memerlukan.
Untuk rekod, setakat ini (Oktober 2024) sahaja seramai 73 penerima bantuan baikpulih rumah dan dua penerima bantuan bina baru telah dipilih bagi Parlimen Jerai.
Semoga dengan bantuan ini dapat memberikan keselesaan kepada semua penerima dan seterusnya dapat membina keluarga yang sejahtera.
KEDA HUNI TEMPAT KEEMPAT SUPANUN 2024

KEDA HUNI TEMPAT KEEMPAT SUPANUN 2024

KUANTAN – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah berjaya menghuni tempat keempat keseluruhan bagi Kejohanan Sukan Pantai Badan Berkanun (SUPANUN) bagi tahun 2024 ini.
KEDA telah menghantar dua pasukan iaitu pasukan bola tampar pantai dan petanque untuk kejohanan ini.
Pasukan bola tampar pantai telah mendapat tempat ketiga bersama manakala bagi sukan petanque, pasukan double wanita memperoleh naib johan manakala pasukan triple lelaki memperoleh tempat ketiga.
SUPANUN 2024 yang berlangsung dari 15 Oktober 2024 sehingga 20 Oktober 2025 di Pusat Rekreasi Pantai Balok, di sini ini menerima 30 penyertaan agensi badan berkanun seluruh negara.
Sebanyak 6 acara telah dipertandingkan iaitu Bola Tampar Pantai, Petanque, Bola Jaring Pantai, Bola Sepak Pantai, Tarik Tali dan Sepak Takraw.
Johan keseluruhan SUPANUN 2024 dimenangi oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) manakala Majlis Bandaraya Shah Alam dinobat sebagai Naib Johan dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menghuni tempat ketiga keseluruhan.
Tahniah diucapkan kepada pasukan KEDA yang telah berusaha membawa nama KEDA di tempat terbaik dalam SUPANUN 2024 ini.
PASUKAN BOLA TAMPAR PANTAI KEDA TEMPAT KETIGA SUPANUN 2024

PASUKAN BOLA TAMPAR PANTAI KEDA TEMPAT KETIGA SUPANUN 2024

Wilayah Kedah (KEDA) dalam Kejohanan Sukan Pantai Badan Berkanun (SUPANUN) bagi tahun 2024 membuahkan hasil apabila pasukan KEDA berjaya mendapat tempat ketiga bersama untuk kejohanan tersebut.
Pasukan ini telah diwakili oleh 7 orang kakitangan KEDA yang diketuai oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar.
Turut hadir adalah Encik Mohd Shorizan bin Zamri dan Encik Abdullah Faiz bin Mohd Zain dari Bahagian Pembangunan Komuniti, Encik Mohamad Hafiz bin Ahmad Kamal dan Mohd Zairizal bin Mohd Zainol dari Unit Perolehan.
Seterusnya adalah Encik Muhammad Rafiq Izzat bin Radzuan dari Bahagian Kewangan dan Encik Muhammad Abdul Muhaimin bin Ibrahim dari Bahagian Khidmat Pengurusan.
Perjuangan pasukan KEDA terhenti di peringkat separuh akhir apabila tumpas kepada pasukan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA yang juga dari Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Kejohanan Bola Tampar Pantai SUPANUN yang menampilkan format 4 orang pemain ini menerima 22 penyertaan dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) muncul sebagai johan setelah menumpaskan RISDA di peringkat akhir.
Tahniah KEDA!
Teruskan kecemerlangan.
PASUKAN PETANQUE KEDA RAIH NAIB JOHAN DAN TEMPAT KETIGA DI SUPANUN 2024

PASUKAN PETANQUE KEDA RAIH NAIB JOHAN DAN TEMPAT KETIGA DI SUPANUN 2024

KUANTAN – Pasukan Petanque Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) pulang ke Kedah dengan gembira apabila berjaya meraih naib johan kategori double wanita dan triple lelaki di Kejohanan Sukan Pantai Badan Berkanun (SUPANUN) bagi tahun 2024 ini.
Pemain KEDA dibarisi 10 orang pemain yang diketuai oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Hajah Afifah binti Haji Omar.
Pasukan double wanita yang diwakili Puan Nor Asmida binti Hassan (Unit Teknologi Maklumat) dan Puan Nurratul Aini binti Elias (Unit Perolehan) berjaya merangkul naib johan apabila tewas kepada pasukan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di peringkat akhir.
Selain itu, pasukan lelaki yang diwakili oleh Encik Mohd Ariff bin Mohd Rodzi (Pengurus Khidmat Pengurusan), Encik Suhaimi bin Ahmad (Pejabat Timbalan Pengurus Besar Pengurusan) dan Encik Mohd Hazwan bin Badrunsham (Unit Pengurusan Sumber Manusia) mendapat tempat ketiga pertandingan.
Antara staf lain yang hadir mewakili KEDA adalah Encik Muhammad Haniff bin Zaheran (Unit Kutipan Hasil), Encik Abdul Rahman bin Ismail (Bahagian Khidmat Pengurusan), Puan Nur Zatul ‘Aalia binti Roslan (Unit Pelaburan dan Kawal Selia Anak Syarikat) dan Puan Fatin Nabilah Binti Che Osman (Unit Perolehan).
Sebanyak 13 pasukan bertanding untuk sukan ini yang berlangsung pada 15 Oktober 2024 sehingga 19 Oktober 2024 di Pantai Balok, di sini.
KEDA berjaya menduduki tempat keempat keseluruhan SUPANUN 2024 yang menerima 30 penyertaan agensi badan berkanun seluruh negara ini.
Tahniah pasukan petanque KEDA!
Teruskan kecemerlangan!
HARI SUKAN NEGARA KEDA 2024 TAMPILKAN KELAINAN

HARI SUKAN NEGARA KEDA 2024 TAMPILKAN KELAINAN

ALOR SETAR – Bagi menampilkan kelainan untuk Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) bagi tahun 2024 ini, pihak urusetia mengolah peraturan serta memperkenal pertandingan baru.
Antara kelainan yang ditampilkan urusetia kepada 250 kakitangan KEDA yang hadir adalah seperti acara bola tampar campuran yang hanya membenarkan satu pukulan sahaja bagi setiap pasukan.
Bagi acara congkak pula yang kebiasaannya dimainkan kaum hawa, kali ini pertandingan ini terbuka kepada staf lelaki pula.
Begitu juga dengan acara dart yang biasanya didominasi staf lelaki, namun kali ini hanya terbuka kepada staf perempuan.
Antara kelainan adalah pengenalan kepada pertandingan gusti lengan lelaki dan wanita serta e-sport.
Kesemua aktiviti ini adalah bagi menunjukkan kebersamaan KEDA dalam menyahut seruan kerajaan kepada HSN 2024 #cergasbersama kali ini.
Majlis telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg Tuan Ismasuhaimi bin Shariff. Turut hadir adalah Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Hajah Afifah binti Haji Omar.
Dalam ucapan Pengurus Besar beliau menyeru agar staf KEDA terus mempergiat aktiviti sukan dan kecergasan dalam kehidupan dan menjayakan misi Warga Aktif KEDA Produktif.
“Saya yakin dengan adanya budaya bersukan ini, ia dapat mengeratkan silaturahim dan kesepaduan disamping mengekalkan kesihatan yang baik di kalangan kita,” ujar beliau.
Hari Sukan Negara ini adalah merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan di mana ia adalah satu langkah pro aktif didalam proses transformasi ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan (Sporting Nation).
PEMENTASAN TEATER SEMI MUZIKAL KANAK-KANAK DI KEDAH

PEMENTASAN TEATER SEMI MUZIKAL KANAK-KANAK DI KEDAH

ALOR SETAR – Pementasan teater semi muzikal kanak-kanak yang menampilkan bakat-bakat cilik dari usia 4 hingga 25 tahun telah dipentaskan dengan jayanya di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah.
Pementasan ini dianjurkan oleh Persatuan Teater Alor Setar dengan kerjasama erat JKKN Kedah dan disokong oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
Program ini diserikan dengan kehadiran Pengurus Bahagian Pembangunan Komuniti KEDA, Mohd Azam bin Omar, Pengarah JKKN Kedah, Puan Sabarina binti Masadi dan Pengetua Sekolah Menengah Jitra, Puan Zaiton binti Hashim. Mereka turut menyaksikan kebolehan dan bakat luar biasa yang dipamerkan oleh para peserta dan ia menonjolkan kanak-kanak dan remaja dari pelbagai latar belakang pendidikan
Anak-anak luar bandar turut dijemput menyaksikan acara ini termasuk pelajar dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman, IPG Ipoh, SMK Jitra, Akademi Sains Pendang, SMK Lubuk Merbau, dan JMTI Pulau Pinang. sekaligus membuka peluang kepada mereka untuk menghargai seni teater serta menimba pengalaman berharga.
Kerjasama antara KEDA dan Persatuan Teater Alor Setar, serta JKKN Kedah, merupakan satu langkah strategik dalam menyemarakkan seni dan budaya di kalangan komuniti luar bandar.
Komitmen KEDA untuk terus menyokong program seperti ini pada masa akan datang kerana pembangunan bakat dan apresiasi terhadap seni harus diperkasa dari akar umbi, terutamanya dalam kalangan anak-anak luar bandar.
Dengan sokongan berterusan dari pelbagai agensi, program seperti ini diharap dapat melahirkan generasi muda yang berbakat besar dalam bidang seni dan kebudayaan, serta memberi inspirasi kepada lebih ramai kanak-kanak untuk menceburi dunia teater.