RERUAI PAMERAN KEDA TERIMA KEHADIRAN MENTERI

RERUAI PAMERAN KEDA TERIMA KEHADIRAN MENTERI

SINTOK – Jutaan terima kasih diucapkan kepada YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri yang telah menyempurnakan perasmian sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024 dan sudi berkunjung ke reruai pameran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang turut serta dalam sambutan berkenaan.
YB Datuk Seri Saifuddin sempat meluangkan masa melangkah naik ke lori pameran KEDA dan mendengar taklimat ringkas mengenai perkhidmatan KEDA yang disampaikan oleh Encik Muhammad Nasir bin Abdullah, petugas di Unit Komunikasi Korporat KEDA. Turut serta dalam kunjungan berkenaan adalah Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Puan Zaiton binti Yahya dan Puan Noor Azma binti Deris, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah.
KEDA menyertai sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024 kali ini yang berlangsung di tapak pesta konvokesyen UUM dengan mengadakan reruai pameran yang menyediakan perkhidmatan pertanyaan mengenai bantuan yang disalurkan serta tawaran pengajian TVET di Kolej KEDA.
Lebih seribu orang yang kebanyakannya adalah pelajar UUM, hadir memeriahkan sambutan kali ini dengan mengambil bahagian dalam beberapa acara yang berlangsung seperti Fun Run, Fun Ride, Senamrobik, Zumba Challenge serta reruai pameran dan perkhidmatan jabatan dan agensi seperti KEDA, JPJ, AADK, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Hari Sukan Negara (HSN) merupakan sambutan nasional yang telah disambut sejak tahun 2015. HSN bertujuan membudayakan dan merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat di Malaysia menerusi amalan gaya hidup yang cergas dan aktif.
RERUAI PAMERAN KEDA MENARIK PERHATIAN PENGUNJUNG DI HARI SUKAN NEGARA 2024 PERINGKAT NEGERI KEDAH

RERUAI PAMERAN KEDA MENARIK PERHATIAN PENGUNJUNG DI HARI SUKAN NEGARA 2024 PERINGKAT NEGERI KEDAH

SINTOK – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) mencuri tumpuan dengan penyertaan melalui reruai pamerannya sempena Hari Sukan Negara (HSN) 2024 Peringkat Negeri Kedah yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok semalam.
Reruai KEDA mendapat sambutan hangat daripada pengunjung yang terdiri daripada pelajar, penduduk setempat, dan usahawan. Mereka hadir bagi mendapatkan maklumat mengenai kursus bimbingan serta bantuan yang disediakan untuk memajukan usahawan di Kedah.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat pameran produk-produk usahawan bimbingan KEDA serta mengetahui lebih lanjut tentang Kolej KEDA dan peluang kursus yang ditawarkan.
Majlis perasmian HSN 2024 telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang menekankan kepentingan inisiatif seperti Hari Sukan Negara dalam menggalakkan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat.
Sambutan kali ini meriah dengan kehadiran kira-kira 11,000 peserta dari pelbagai latar belakang.
Antara aktiviti sukan yang menarik perhatian adalah acara Fun Run, pertandingan larian, dan kayuhan basikal, selain 30 acara lain yang disusun bagi menceriakan sambutan.
Program kebangsaan ini diadakan setiap tahun pada Sabtu minggu kedua Oktober sebagai platform untuk memupuk budaya sukan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Beberapa acara utama sepanjang HSN 2024 termasuk HSN x FM Fun Ride sejauh 30km, Larian Untuk Negara x FM Fun Run sejauh 5km, dan Berjalan Ria Madani x FM Fun Walk sejauh 3km.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah EXCO Kerajaan Negeri Kedah, Mohammad Radhi Md Din mewakili Menteri Besar Kedah, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali, Ketua Polis Kedah, Dato’ Fisol Salleh, Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Zaiton Yahya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kedah, dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani yang mewakili Naib Canselor UUM.
PASUKAN BOLA TAMPAR PANTAI KEDA MENANG PERLAWANAN PERSAHABATAN, PERSEDIAAN UNTUK SUPANUN

PASUKAN BOLA TAMPAR PANTAI KEDA MENANG PERLAWANAN PERSAHABATAN, PERSEDIAAN UNTUK SUPANUN

KANGAR – Dalam persediaan ke Karnival Sukan Pantai Badan Berkanun (SUPANUN) dan menyemarakkan sambutan Hari Sukan Negara 2024, pasukan bola tampar pantai Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah mengadakan perlawanan persahabatan bola tampar pantai 4 sebelah.
Perlawanan ini melibatkan KEDA dan pasukan bola tampar pantai SUKMA Perlis.
Dalam perlawanan persahabatan ini, KEDA mencatatkan kejayaan dengan menewaskan pasukan SUKMA Perlis 2-1.
Untuk Karnival Sukan Pantai Badan Berkanun (SUPANUN) yang akan berlangsung pada 16-20 Oktober 2024, KEDA akan menghantar 1 pasukan bola tampar pantai dan 1 pasukan petanque.
Perlawanan yang berlangsung di Gelanggang Bola Tampar Pantai, Persatuan Bola Tampar Perlis, di sini menyaksikan KEDA memulakan permainan dengan baik, meraih kemenangan set pertama dengan keputusan 22-20.
Namun, SUKMA Perlis bangkit pada set kedua dan berjaya memenanginya 17-21, menyamakan kedudukan. Tidak patah semangat, KEDA kembali menunjukkan dominasi dalam set ketiga, menutup perlawanan dengan kemenangan 21-18.
Kejayaan ini memberi keyakinan kepada pasukan KEDA dalam persiapan menghadapi cabaran di SUPANUN.
Semoga berjaya KEDA!
PASUKAN BOLA JARING KEDA SERTAI KARNIVAL BOLA JARING HARI SUKAN NEGARA PERINGKAT DAERAH KULIM

PASUKAN BOLA JARING KEDA SERTAI KARNIVAL BOLA JARING HARI SUKAN NEGARA PERINGKAT DAERAH KULIM

KULIM – Sebagai salah sebuah agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang beroperasi di negeri Kedah, sudah menjadi tanggungjawab Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dalam menyokong aktiviti yang memberikan kebaikan kepada rakyat.
Terbaru, pasukan bola jaring KEDA telah menyertai Karnival Bola Jaring Terbuka Kulim bertempat di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, di sini.
Kejohanan yang diadakan oleh Jabatan Belia dan Sukan ini diadakan bersempena sambutan Hari Sukan Negara yang diraikan pada bulan Oktober ini.
Seramai 21 pasukan terlibat dalam kejohanan ini dan KEDA telah diwakili oleh Ketua Unit Perolehan, Puan Noorhidayah binti Zakaria. Antara staf lain adalah Puan Sunita binti Yahaya dan Puan Noor Amira binti Ahmad Sukkri dari Bahagian Hartanah dan Prasarana, Puan Siti Faridah binti Ismail dari Bahagian Niagatani, Puan Siti Nurhafiza binti Radzuan dari Bahagian Khidmat Pengurusan, Puan Farah Husna binti Zainol Rashid dari Unit Komunikasi Korporat dan Cik Nur Izzatul Syiffa binti Shamshuri dari Pejabat KEDA Zon 3, Pendang.
Pasukan KEDA telah kecundang di peringkat suku akhir kepada pasukan Mutiara Impian yang dimana pasukan Mutiara Impian ini bergelar juara apabila menumpaskan Pasukan Freedom di peringkat akhir.
Kepada semua pemain KEDA, tahniah di atas komitmen dan kejayaan melangkah ke suku akhir.
Selamat terus bergiat aktif. Dengan aktifnya stad KEDA, semova ianya menjadi pencetus kepada operasi agensi yang lebih produktif.
Jom cergas bersama!
KEDA RAIH ANUGERAH MENTOR MENTEE TERBAIK SEMPENA HARI PSIKOLOGI DAN SIMPOSIUM AKRAB KKDW

KEDA RAIH ANUGERAH MENTOR MENTEE TERBAIK SEMPENA HARI PSIKOLOGI DAN SIMPOSIUM AKRAB KKDW

PUTRAJAYA – Terus Cemerlang. Inilah ungkapan menggambarkan kejayaan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) apabila berjaya memenangi Anugerah Mentor Mentee Terbaik bagi tahun ini.
Pegawai KEDA terlibat iaitu mentor, Penolong Pengurus Perancangan Pemantauan dan Penilaian, Encik Houzall Othman bin Mohd Hashim telah hadir dan mewakili menteenya, Penolong Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohamad Nasri bin Ahmad Shukri untur menerima anugerah tersebut.
Anugerah telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YBhg. Dato’ Afandi bin Nordin.
Cerita cemerlang ini berterusan apabila KEDA telah dipilih sebagai agensi AKRAB Terbaik pada tahun lalu.
Selain menghantar staf untuk meraikan Hari Psikologi dan Simposium AKRAB KKDW, KEDA turut terlibat dalam pembukaan booth pameran dan lebih manis apabila penyelaras AKRAB KEDA, Encik Muhammad Nasir bin Abdullah dari Unit Komunikasi Korporat telah dijemput sebagai moderator untuk aktiviti Forum AKRAB.
Tahniah diucapkan kepada AKRAB KEDA. Semoga terus cemerlang dalam menyemarakkan nilai-nilai positif kepada staf dan mewujudkan positive vibes operasi organisasi disamping menempa nama di peringkat KKDW.
Akrab

AKRAB KEDA SERTAI HARI PSIKOLOGI DAN SIMPOSIUM AKRAB KKDW 2024

Putrajaya – Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) tidak ketinggalan memgambil bahagian dan memeriahkan sambutan Hari Psikologi Dan Simposium AKRAB Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2024 kali ini. Sambutan diadakan di Dewan Seri Lestari KKDW di sini yang berlangsung selama dua hari telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW, YBhg. Dato’ Afandi bin Nordin. Turut hadir semasa majlis perasmian adalah Pengurus Khidmat Pengurusan KEDA, Encik Mohd Ariff bin Mohd Rodzi yang mewakili Pengurus Besar. KEDA boleh berbangga dalam majlis kali ini apabila dua orang pegawainya, Penolong Pengurus Perancangan, Pemantauan dan Penilaian, Encik Houzall Othman bin Mohd Hashim dan Penolong Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohamad Nasri bin Ahmad Shukri, berjaya memenangi Anugerah Mentor-Mentee Terbaik. Pasukan AKRAB KEDA kali ini diketuai oleh Encik Muhammad Nasir bin Abdullah (Unit Komunikasi Korporat) selaku Penyelaras dan disertai oleh Encik Muhammad Taufik bin Mohd Saforidin (Pejabat KEDA Zon, Sik), Encik Abdul Mu’min bin Mohd Rozi (Unit Komunikasi Korporat), Cik Norhafizah binti Mohd Isa (Bahagian Perancangan, Pemantauan dan Penilaian) dan Puan Faliyatun Atiqah binti Nordin (Bahagian Niagatani). AKRAB KEDA membuka reruai pameran dan menyediakan aktiviti tarikan pengunjung seperti “Rahsia Di Sebalik Tarikh Lahir” yang menjelaskan gambaran personaliti seseorang berdasarkan tarikh lahir mereka. Aktiviti ini mendapat sambutan tinggi daripada peserta dan pengunjung acara. Selain itu, Encik Muhammad Nasir bin Abdullah telah dijemput menjadi moderator Forum AKRAB kali ini. Antara aktiviti lain yang diadakan semasa sambutan kali ini adalah Bicara Psikologi, Bicara AKRAB dan pameran reruai AKRAB agensi-agensi di bawah KKDW. Turut diadakan adalah Majlis Apresiasi AKRAB. Seperti penganjuran pada tahun-tahun sebelum ini, penganjuran kali ini juga diadakan sempena sambutan bulan kaunseling kebangsaan. Sambutan kali ini yang bertemakan “Tekad Empati, Aspirasi KKDW Sejahtera” diadakan bertujuan memperkasakan ahli AKRAB di KKDW dan seluruh agensinya sebagai kakitangan contoh yang menerapkan nilai empati dalam perkhidmatan. #LembagaKemajuanWilayahKedah #KEDA #mensejahterakanluarbandar

KEDA DAN SLAYYVB ADAKAN PERLAWANAN PERSAHABATAN BOLA TAMPAR

KEDA DAN SLAYYVB ADAKAN PERLAWANAN PERSAHABATAN BOLA TAMPAR

ALOR SETAR — Pasukan bola tampar wanita Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menampilkan aksi yang mengagumkan dalam perlawanan persahabatan menentang SLAYYVB, pasukan bola tampar wanita Batalion 2 Pasukan Gerakan Am.
Pertandingan ini menarik minat ramai peminat sukan dan menjadi pentas bagi kedua-dua pasukan menunjukkan bakat mereka.
SLAYYVB memulakan perlawanan dengan penuh semangat, mendominasi set pertama melalui serangan yang padu dan pertahanan yang mantap. Namun, KEDA tidak berputus asa dan menunjukkan kebangkitan dalam set berikutnya, dengan strategi permainan yang lebih teratur.
Perlawanan berlangsung sengit hingga ke set penentu, di mana kedua-dua pasukan saling bertukar kelebihan. Akhirnya, SLAYYVB meraih kemenangan dengan keputusan 1-2 namun pujian harus diberikan kepada kesungguhan dan kesungguhan pasukan bola tampar wanita KEDA ini.
Selain terus memperbaiki teknik permainan bola tampar, perlawanan ini juga menjadi platform untuk mengeratkan silaturrahim antara kedua-dua pasukan.
Pasukan KEDA diwakili oleh Puan Haslia Binti Abu Hasan (Bahagian Niagatani), Rohazniza Binti Mohamd Yusof (Bahagian Hartanah dan Prasarana), Puan Munirah Binti Abdul Rahman (Bahagian Hartanah dan Prasarana), Puan Nurul Aqilah Binti Ishak (Unit Pelaburan dan Kawal Selia Anak Syarikat), Puan Siti Ainshah binti Yusub (Kolej KEDA) dan Puan Farah Husna binti Zainol Rashid (Unit Komunikasi Korporat).
KEDA berharap dalam menyokong agenda Negara dalam menyemarakkan Sambutan Hari Sukan Negara.
Warga Aktif, KEDA Produktif!
KAKITANGAN KEDA IKUTI KURSUS CANVA

KAKITANGAN KEDA IKUTI KURSUS CANVA

PULAU PINANG – Seramai 10 kakitangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah mengikuti Kursus Canva yang dianjurkan oleh Institut Latihan Perindustrian (ILP) Perai baru-baru ini.
Kursus ini bertujuan untuk mempertingkatkan kemahiran kakitangan dalam menghasilkan bahan-bahan grafik yang menarik dan berkesan menggunakan platform reka bentuk dalam talian, Canva.
Kakitangan yang terlibat mewakili pelbagai bahagian dan unit KEDA, antaranya Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), Bahagian Pembangunan Komuniti (BPK), Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU), Bahagian Perancangan, Pemantauan dan Penilaian (BPPP), Pejabat Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Unit Teknologi Maklumat (UTM) dan Unit Komunikasi Korporat (UKK) KEDA.
Sepanjang kursus ini, peserta telah didedahkan kepada tiga modul utama. Modul pertama memberi tumpuan kepada pengenalan kepada Canva dan fungsinya, manakala modul kedua membahas Teori Rekabentuk Grafik, yang merangkumi teknik menghasilkan rekabentuk yang efektif, pemilihan warna yang sesuai, serta langkah-langkah penting dalam menghasilkan grafik.
Program diteruskan dengan modul ketiga yang memberi penekanan kepada penggunaan Antara Muka Canva. Modul ini diakhiri dengan sesi praktikal yang melibatkan penghasilan rekabentuk grafik seperti poster promosi, infografik, dan slaid persembahan.
Para peserta juga dilatih menggunakan alatan dan elemen reka bentuk Canva, termasuklah elemen grafik, lapisan dan kumpulan elemen, rekabentuk teks dan tipografi, serta penggunaan imej, media, video, dan animasi.
Sesi kursus diakhiri dengan aktiviti penghasilan rekabentuk grafik oleh peserta bagi menguji pemahaman mereka terhadap kandungan kursus. Hasil kreativiti peserta dinilai melalui rekabentuk poster, infografik, dan slaid persembahan.
Majlis penutupan kursus ini disempurnakan dengan penyampaian sijil penyertaan oleh Pengarah ILP Perai, Ts. Yuslan bin Yasok, kepada semua peserta.
Kursus ini diharapkan dapat meningkatkan kecekapan kakitangan KEDA dalam penghasilan bahan komunikasi yang lebih efektif, selari dengan perkembangan teknologi semasa.
PASUKAN BOLA SEPAK KEDA MENGADAKAN PERLAWANAN PERSAHABATAN BERSAMA MADA

PASUKAN BOLA SEPAK KEDA MENGADAKAN PERLAWANAN PERSAHABATAN BERSAMA MADA

ALOR SETAR – Keadaan hujan yang renyai-renyai tidak menjejaskan kesungguhan pasukan bola sepak Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) apabila masing-masing telah menunjukkan semangat kesukanan dalam perlawanan persahabatan yang diadakan semalam.
Perlawanan yang berlangsung di padang MADA, di sini bermula seawal jam 5 petang dengan kedua-dua pasukan hadir memanaskan badan sebelum wisel dibunyikan.
Dalam perlawanan ini, KEDA telah kecundang dengan dua gol berbalas satu namun ianya merupakan pengalaman berharga dalam menambahbaik prestasi pasukan.
Siri aktif perlawanan persahabatan melibatkan semua pasukan sukan KEDA telah dicetuskan Pengurus Besar KEDA, YBhg Tuan Ismasuhaimi bin Shariff dalam agensi ini menyokong semangat Sambutan Hari Sukan Negara yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Ini juga salah satu idea pihak pengurusan dalam melestarikan budaya hidup sihat dikalangan kakitangannya dengan moto Warga Aktif, KEDA Produktif.
Teruskan KEDA!
PASUKAN BOLA TAMPAR PANTAI KEDA MENGADAKAN PERLAWANAN PERSAHABATAN UNTUK SUPANUN

PASUKAN BOLA TAMPAR PANTAI KEDA MENGADAKAN PERLAWANAN PERSAHABATAN UNTUK SUPANUN

KANGAR – Pasukan Bola Tampar Pantai Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah mengadakan perlawanan persahabatan pertama mereka sebagai persediaan menyertai Sukan Pantai Badan Berkanun Malaysia (SUPANUN).
Seramai 6 orang staf KEDA yang diketuai oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar telah hadir di Gelanggang Bola Tampar Pantai, Persatuan Bola Tampar Perlis, di sini untuk bersaing bersama Pasukan Bola Tampar Pantai Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Antara staf lain yang turut hadir adalah Encik Mohd Shorizan bin Zamri (Bahagian Pembangunan Komuniti), Encik Muhammad Rafiq Izzat bin Radzuan (Bahagian Kewangan), Encik Mohamad Hafiz bin Ahmad Kamal (Unit Perolehan), Encik Abdullah Faiz bin Mohd Zain (Bahagian Pembangunan Komuniti), Encik Mohd Zairizal bin Mohd Zainol (Unit Perolehan) dan Encik Muhammad Abdul Muhaimin bin Ibrahim (Bahagian Khidmat Pengurusan).
Dalam perlawanan persahabatan ini, KEDA telah berjaya mengalahkan pasukan UniMAP dengan keputusan 2-1.
SUPANUN ini bakal berlangsung pada 16-20 Oktober 2024 di Pantai Balok, Pahang Darul Makmur dan KEDA telah menghantar dua penyertaan pasukan melalui sukan Bola Tampar Pantai dan Petanque.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada pasukan bola tampar pantai KEDA. Semoga dengan latihan seperti ini memberikan penambahbaikan kepada pasukan untuk beraksi lebih cemerlang di SUPANUN akan datang.