KEDA TERLIBAT DALAM PROGRAM KITA MADANI NEGERI KEDAH

KEDA TERLIBAT DALAM PROGRAM KITA MADANI NEGERI KEDAH

SUNGAI PETANI – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah meneruskan sokongan kepada gerak kerja kerajaan dengan terlibat secara langsung dalam Program Kita MADANI.
Program yang telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, YB Dr. Mohammed Taufiq bin Johari telah melibatkan pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Penjara Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dengan Jualan Rahmah MADANI.
Turut hadir memeriahkan acara adalah skuad KedahFM yang berada sejak awal pagi di sana. Antara aktiviti yang dijalankan pula adalah pertandingan petanque, jualan produk usahawan dan pameran agensi seperti Pasukan Penyelamat serta Kolej Komuniti.
KEDA telah hadir dengan membuka lori pameran untuk memudahkan orang ramai bertanya mengenai KEDA termasuk pakej-pakej bantuan yang terdapat di agensi ini.
KOLEJ KEDA SERTAI MISI BANTUAN BENCANA BULAN SABIT MERAH MALAYSIA (BBSM) NEGERI KEDAH

KOLEJ KEDA SERTAI MISI BANTUAN BENCANA BULAN SABIT MERAH MALAYSIA (BBSM) NEGERI KEDAH

ALOR SETAR – Seramai 15 orang pelajar Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan seorang guru pengiring telah menghadiri Misi Bantuan Bencana di Negeri Kedah.
Misi yang telah dilancarkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Kedah ini berlansung pada 21 hingga 23 September 2024.
Program ini diadakan adalah bertujuan untuk melancarkan proses pengagihan barangan bantuan bencana kepada mangsa banjir di kawasan terjejas.
Para pelajar memainkan peranan penting dalam membantu menguruskan barangan bantuan agar sampai kepada mereka yang memerlukan dengan cepat dan berkesan, sekali gus meringankan beban mangsa bencana banjir di negeri Kedah.
Terima kasih kepada pelajar-pelajar yang sudi membantu mangsa. Kolej KEDA juga dalam perancangan untuk terus turun padang bagi membantu memperbaiki kelengkapan asas elektrik mangsa agar boleh digunakan.
Teruskan usaha murni ini dan semoga dibalas dengan kebaikan untuk segala amal baik ini.
DESA KEDA SUNGAI SENAM JADI TUAN RUMAH KESUDA 2024 DAERAH SIK

DESA KEDA SUNGAI SENAM JADI TUAN RUMAH KESUDA 2024 DAERAH SIK

SIK – Meriah! Itulah gambaran suasana sepanjang berlangsungnya Kejohanan Sukan Desa-Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KESUDA KEDA) 2024 Daerah Sik.
Kejohanan yang berlangsung di Desa KEDA Sungai Senam ini menerima penglibatan semua desa KEDA bagi daerah Sik yang sudah menjalani latihan awal untuk bertanding pada kejohanan ini.
Antara acara yang dipertandingkan adalah futsal, bola jaring dan karom. Pihak penganjur iaitu Pejabat KEDA Zon 4, Sik dan Jawatankuasa Pasukan Perancang Pelaksana Program (4P) turut memeriahkan kejohanan ini dengan acara lain iaitu sukaneka rakyat, pertandingan sepakan penalti, pameran agensi dan jualan usahawan tempatan.
Kejohanan turut disantuni dengan kehadiran Local Champion Desa KEDA Sungai Senam, Tuan Haji Abdul Rahman Khalek dan bekas pemain Liga Super Kedah, Al Hafiz Harun yang merupakan anak Desa KEDA Gulau.
Futsal dijuarai oleh Desa KEDA Kota Aur, bola jaring diungguli oleh Desa KEDA Sungai Senam manakala Desa KEDA Gulau memenangi acara karom.
Semoga budaya hidup sihat ini terus menjadi asas penjagaan kesihatan di kalangan penduduk Desa KEDA.
Tahniah!!
LAWATAN PEGAWAI PEJABAT DAERAH, TANAH DAN GALIAN BAGAN DATUK KE PROSPEK SIDAM

LAWATAN PEGAWAI PEJABAT DAERAH, TANAH DAN GALIAN BAGAN DATUK KE PROSPEK SIDAM

KULIM – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah menerima delegasi pegawai dari Pejabat Daerah, Tanah dan Galian Bagan Datuk yang hadir melawat ke salah satu projek dibawah seliaan KEDA.
Mereka hadir bagi melawat Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) di Sidam yang merupakan projek rintis Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk dijadikan sebagai penanda aras bagi mereka melaksanakan projek ini di Bagan Datuk.
Delegasi dari Negeri Perak ini telah diketuai oleh YBhg. Datuk Haji Khairuddin bin Tarmizi, Pegawai Tugas-Tugas Khas III kepada Menteri KKDW yang juga merupakan Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Perak.
Turut hadir bersama adalah Pegawai Daerah Bagan Datuk, Tuan Muhammad Ghopran bin Yeop Hamzah. Selain pegawai dari Pejabat Daerah, Tanah dan Galian, pegawai lain yang mengiringi adalah pegawai agensi tempatan seperti Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Pejabat KKDW Negeri Perak, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Pertanian.
Hadir mewakili KEDA adalah Pengurus Niagatani, Encik Sulaiman bin Mohd Noor, Ketua Unit Komunikasi Korporat, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman, Jurutera Awam, Encik Muhammad Faiz Helmi bin Shukri, Pegawai Pembangunan KEDA Zon 6, Kulim, Encik Muhammad Hakim bin Ahmad Nadzir dan Penolong Pengurus Perancangan, Pemantauan dan Penilaian, Encik Muhammad Amin bin Abdul Rahim.
Setelah selesai taklimat, delegasi lawatan dibawa melawat 6 lokasi penerima bantuan PROSPEK di sini termasuk Pusat Kegiatan Ekonomi (PKE) Sidam yang menjadi hub tumpuan aktiviti ekonomi program ini.
Terima kasih kepada semua delegasi Bagan Datuk yang hadir ke PROSPEK Sidam ini. Semoga perkongsian ini memberi input berguna kepada peserta.
Bagi kami di KEDA, agensi ini sedia membantu untuk menjayakan aspirasi kerajaan hari ini agar rakyat mendapat limpahan kebaikan dari perancangan dan gerak kerja kerajaan ini.
BENGKEL PEMANTAPAN KEPIMPINAN 4P DESA DESA KEDA DAERAH BALING 2024

BENGKEL PEMANTAPAN KEPIMPINAN 4P DESA DESA KEDA DAERAH BALING 2024

PANGKOR – Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Zon 5, Baling telah menganjurkan Bengkel Pemantapan Kepimpinan Pasukan Perancang Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Daerah Baling bagi tahun 2024.
Bengkel ini dihadiri oleh 36 orang peserta dari keseluruhan 9 Desa KEDA Baling dan dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman iaitu Encik Mohd Hafiz bin Hairun Faezi dari Consultant Mind Vision Training.
Objektif utama bengkel ini adalah untuk memberikan pendedahan mengenai tanggungjawab dan peranan kepimpinan 4P dalam urus tadbir desa-desa KEDA serta mengenalpasti kekuatan dan kelemahan diri yang mempengaruhi pemikiran serta tindakan seorang.
Antara aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang bengkel ini adalah seperti teambuilding (Explore-race, Telematch), riadah (Burung dalam sangkar dan Formasi bentuk) serta peserta juga diberi peluang untuk menonjol bakat individu serta laksanakan tugasan untuk berkerja dalam semangat berkumpulan seperti analisis SWOT dan pelan tindakan.
Bengkel ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar.
Turut hadir adalah Pegawai Pembangunan KEDA Zon 5, Baling, Encik Mohamad Yusran Azali bin Mohamad Fadzil dan kakitangan Pejabat KEDA Zon 5, Baling.
Semoga peserta yang rata-rata adalah pimpinan utama desa KEDA menggunakan segala input bengkel untuk membantu penduduk dan KEDA agar desa ini sentiasa harmoni dan sejahtera.
DESA KEDA GULAU DAN KOTA AUR LENGKAPKAN SAMBUTAN BULAN PATRIOTISME

DESA KEDA GULAU DAN KOTA AUR LENGKAPKAN SAMBUTAN BULAN PATRIOTISME

SIK – Sambutan Bulan Patriotisme Desa KEDA Zon 4 melabuhkan tirai dengan meriah apabila Desa KEDA Gulau dan Desa KEDA Kota Aur berjaya melengkapkan penganjuran Sambutan Hari Malaysia pada hujung minggu lalu.
Ini merupakan penutup kepada rangkaian aktiviti sempena bulan kemerdekaan yang telah dilaksanakan di empat Desa KEDA lain sebelum ini.
Pelbagai aktiviti menarik telah dirancang sepanjang sambutan, dengan penglibatan daripada pelbagai agensi luar serta kerjasama erat daripada kepimpinan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP). Antaranya adalah pertandingan sukaneka, persembahan kebudayaan, dan ceramah patriotik yang berjaya menyemarakkan lagi semangat cinta tanah air dalam kalangan penduduk setempat.
Majlis sambutan turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi KEDA Resort and Holiday Sdn Bhd, Datuk Muhamad Khizri bin Abu Kasim, yang meluangkan masa bersama komuniti setempat.
Kehadiran beliau menambahkan lagi semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan peserta.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Pembangunan Zon 4, Sik, Encik Mohd Noor Farzli bin Adenan, yang mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat atas kejayaan penganjuran program ini. Beliau berharap sambutan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha memperkukuhkan semangat kebangsaan dalam kalangan generasi muda khususnya.
Dengan kejayaan ini, Sambutan Bulan Patriotisme Desa KEDA Zon 4 dapat dilihat sebagai satu platform penting dalam mempererat hubungan komuniti sambil menyemarakkan semangat kemerdekaan negara.
PENGURUS BESAR KEDA ZIARAH MANGSA KEBAKARAN KETIKA SESI SERAHAN BANTUAN BAKUL MAKANAN BANJIR

PENGURUS BESAR KEDA ZIARAH MANGSA KEBAKARAN KETIKA SESI SERAHAN BANTUAN BAKUL MAKANAN BANJIR

ALOR SETAR – Sudah jatuh ditimpa tangga. Inilah peribahasa Melayu menggambarkan kesedihan yang dialami mangsa, Salmah Hasan, 73 tahun di mana rumah didiaminya yang baru dilanda banjir telah terbakar pagi tadi.
Kejadian yang berlaku di Kampung Seberang Perak, Tongkang Yard, di sini telah menyebabkan rumah tersebut hangus sepenuhnya namun tiada kehilangan nyawa dilaporkan.
Pengurus Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff yang ketika itu berada di kawasan sekitar kerana terlibat dalam aktiviti serahan bantuan bakul makanan kepada mangsa banjir bersama jawatankuasa Masjid Al-Ihsan, di sini telah hadir ke tapak kejadian bagi menyantuni mangsa kebakaran terbabit.
Turut hadir bersama adalah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Puan Hajah Afifah bin Haji Omar, Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar, Pengurus Niagatani, Encik Sulaiman bin Mohd Noor dan Pengurus Khidmat Pengurusan, Encik Mohd Ariff bin Mohd Rodzi.
Selain kakitangan KEDA, sesi ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi bin Mohd Zain dan jawatankuasa Masjid Al-Ihsan.
YBhg.Tuan Ismasuhaimi juga berkesempatan bertanya khabar kepada mangsa dan menyerahkan bakul makanan kepada mangsa yang ditemai anaknya Siti Nazila Rosli, 31 tahun.
Dua beranak ini berdepan dugaan berganda selepas rumah didiami mereka dinaiki air sejak seminggu lalu hangus terbakar pada jam 9 pagi pada Selasa.
Ketika kejadian, mangsa bersama anaknya berada di rumah lain yang baru disewa pada awal bulan ini.
KEDA PERUNTUK RM115 RIBU BANTU MANGSA BANJIR DI KEDAH

KEDA PERUNTUK RM115 RIBU BANTU MANGSA BANJIR DI KEDAH

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah memperuntukkan sebanyak RM115 ribu bagi penyediaan bakul makanan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di wilayahnya.
Pengumuman ini dibuat oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, selepas beliau meninjau dan menyantuni mangsa banjir di sekitar Kampung Seberang Perak yang juga merupakan lokasi program Santuni MADANI bagi agensi ini.
Menurut YBhg. Tuan Ismasuhaimi, peruntukan tersebut melibatkan bantuan RM80 ribu bagi mangsa di luar Desa KEDA, RM30 ribu bagi mangsa dari kalangan staf KEDA, agensi dibawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta penduduk Desa KEDA manakala selebihnya ada bagi penduduk dalam kawasan program Santuni MADANI ini.
Menurut beliau lagi, selain menyediakan bakul makanan, KEDA telah menggerakkan kembali pasukan tugasan khas (Task Force) sukarelawan iaitu Skuad Prihatin KEDA.
Kolej KEDA yang juga merupakan salah satu entiti dibawah KEDA juga telah menghantar seramai 15 orang pelajar dan seorang guru pengiring dalam Misi Bantuan Bencana yang bermula pada 21 hingga 23 September 2024.
Misi ini telah dilancarkan oleh Persatunan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Negeri Kedah yang bertujuan bagi melancarkan proses agihan barangan bantuan bencana kepada mangsa banjir di kawasam terjejas.
“Kami berharap bantuan bakul makanan yang diberikan ini dapat sedikit sebanyak mengurangkan kesedihan dan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir.
Saya juga telah mengarahkan pegawai-pegawai KEDA di Zon untuk mengumpulkan data berkenaan rumah yang rosak atau musnah akibat banjir untuk kita bantu atau panjangkan kepada pihak berwajib.
Kolej KEDA melalui pelajarnya juga akan turun untuk membantu mangsa memperbaiki perkakasan elektrik yang rosak akibat banjir ini,” ujar beliau.
Pada masa yang sama, KEDA telah menyerahkan 50 set bakul makanan kepada jawatankuasa Masjid Al-Ihsan untuk diserahkan kepada anak kariah yang terjejas.
Sumbangan ini telah diterima oleh Imam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Ihsan, Ustaz Muhammad Fitri Hafizan bin Ahmad Kamal. Turut hadir dalam sesi ini adalah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Hajah Afifah binti Haji Omar, Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar, Pengurus Niagatani, Encik Sulaiman bin Mohd Noor dan Pengurus Khidmat Pengurusan, Encik Mohd Ariff bin Mohd Rodzi.
Santuni MADANI atau Program Satu Kampung Satu Pemimpin ini telah diilhamkan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar bin Ibrahim dimana setiap pemimpin di negara ini dipertanggungjawabkan menjaga sebuah kampung bagi mengetahui secara langsung masalah yang dihadapi di kampung berkenaan.
Ini merupakan satu kaedah oleh pihak kerajaan dalam meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat melalui pemantauan secara langsung serta libat urus bagi mengenal pasti masalah sosio ekonomi dan keperluan penduduk di kampung tersebut.
KEDA telah memilih Kampung Seberang Perak dalam kariah Masjid Al-Ihsan ini sebagai lokasi Santuni MADANI agensi ini.
Majis pelancaran program telah dirancang untuk diadakan melancarkan pada 30 September 2024 akan datang namun terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu ekoran bencana banjir yang melanda kawasan ini.
PEJABAT KEDA ZON 5, BALING ANJUR SAMBUTAN MAULIDURASUL DI 4 DESA KEDA

PEJABAT KEDA ZON 5, BALING ANJUR SAMBUTAN MAULIDURASUL DI 4 DESA KEDA

BALING – Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menganjurkan Sambutan Maulidurasul di empat Desa KEDA di bawah Zon 5 sebagai usaha memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW pada 16 September 2024 bersamaan 12 Rabiulawal 1446H.
Desa yang terlibat adalah Desa KEDA Kemangi, Desa KEDA Teluk Teduri, Desa KEDA Keledang, dan Desa KEDA Sadek.
Program Sambutan Maulidurasul di Desa KEDA Kemangi dimulakan dengan Tazkirah Maulidurasul oleh Imam Masjid Kuala Kuang, Kupang, Ustaz Abdul Ghani bin Yaakub. Beliau berkongsi sejarah kelahiran Rasulullah S.A.W serta perjuangan Baginda dalam menyebarkan agama Islam. Penduduk turut mengadakan perarakan dan bacaan zikir di sekitar desa.
Di Desa KEDA Teluk Teduri, program yang melibatkan penduduk dewasa, belia, dan kanak-kanak meriah dengan perarakan dan persembahan Selawat Qasidah oleh kumpulan muslimin dan muslimat. Rakaman Tazkirah Maulidurasul yang membincangkan cabaran kehidupan Rasulullah S.A.W turut ditayangkan kepada hadirin.
Seterusnya, di Desa KEDA Keledang, majlis diserikan dengan Ceramah Agama oleh Imam Masjid Ketembar Kememeh, Kupang, Ustaz Abdul Halim bin Man, yang mengetengahkan kisah-kisah perjuangan Rasulullah S.A.W.
Program Sambutan Maulidurasul di Desa KEDA Sadek dimulakan dengan perarakan, diikuti Tazkirah Maulidurasul oleh Imam Masjid Daerah Baling, Ustaz Mohamad Somad bin Mat Dom. Program disempurnakan dengan ucapan daripada Pengerusi Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Sadek dan Wakil Pegawai Yayasan Taqwa, yang menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 91 penerima asnaf.
Sambutan ini berjaya mempereratkan silaturahim antara penduduk Desa KEDA dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan umat Islam di kawasan tersebut.
PROGRAM KESENIAN ISLAM SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL TAHUN 2024 PEJABAT KEDA ZON 2 MERIAH DENGAN PELBAGAI PENGISIAN AKTIVITI

PROGRAM KESENIAN ISLAM SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL TAHUN 2024 PEJABAT KEDA ZON 2 MERIAH DENGAN PELBAGAI PENGISIAN AKTIVITI

PADANG TERAP – Program Kesenian Islam Sempena Sambutan Maulidur Rasul Tahun 2024 anjuran Pejabat KEDA Zon 2 berlangsung meriah di Desa KEDA Bendang Tok Teri, Kuala Nerang dekat sini.
Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi dan berakhir pada 12.00 tengah hari ini diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik yang melibatkan penyertaan daripada komuniti setempat.
Antara aktiviti yang dianjurkan ialah Pertandingan Hafazan Surah Lazim, Pertandingan Hafazan Bacaan Solat, Pertandingan Mewarna, dan Sukaneka Kesenian Islam. Sebanyak enam jenis sukaneka diadakan, dengan penyertaan kanak-kanak dan dewasa yang menjadikan suasana lebih ceria dan bersemangat.
Seramai 70 peserta kanak-kanak mengambil bahagian dalam program ini, yang melibatkan lima tabika dari Desa KEDA dan empat tabika luar, iaitu Tabika Belukar Luas, Tabika Padang Kerasak, Tabika Kampung Masjid, dan Tabika Lebai Saman. Jumlah kehadiran keseluruhan dianggarkan seramai 150 orang.
Program ini telah dirasmikan oleh wakil Pejabat KEDA Zon 2 dan turut dihadiri oleh Pengerusi Pasukan Perancang dan Pelaksana (4P) Desa KEDA Bendang Tok Teri. Dalam ucapan perasmian, penghargaan dan ucapan terima kasih disampaikan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini, termasuk Pejabat Pembangunan KEDA Zon 2, Padang Terap, serta semua yang terlibat.
Program ini diadakan bagi memperingati sambutan Maulidur Rasul serta memupuk semangat perpaduan dan nilai-nilai kesenian Islam dalam kalangan masyarakat setempat, terutamanya golongan kanak-kanak.