KEDA BANTU RINGANKAN BEBAN PELAJAR MENGHIDAP KANSER TAHAP 4

KEDA BANTU RINGANKAN BEBAN PELAJAR MENGHIDAP KANSER TAHAP 4

KUALA NERANG – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) meneruskan komitmen dalam menyampaikan perkhidmatannya kepada rakyat.
Terbaru, KEDA telah menyerahkan sumbangan kutipan derma oleh warga kerjanya termasuk penduduk desa KEDA kepada Wan Fahimah Binti Wan Mohamad Othman, 27 tahun, pelajar Ijazah Sarjana Muda al-Quran dan Pengajian Qiraat, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) yang menderita penyakit kanser payu dara tahap 4.
Kutipan telah dibuat melalui Tabung Sumbangan Kasih KEDA yang telah dilancarkan sempena Majlis Pelepasan Konvoi Semarak Kasih Merdeka KEDA Tahun 2024 di Kompleks Ibu Pejabat KEDA. Majlis ini telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah, Encik Stien Van Lutam.
Tabung ini telah diedarkan ke desa-desa KEDA semasa konvoi siri pertama dan kedua serta mendapat sambutan bak dari penduduk desa yang turut menderma. Sumbangan dari KEDA ini telah disampaikan oleh Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom. Turut hadir adalah Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff dan Dekan Kulliyah Usuluddin, Sains Al-Quran dan Bahasa Arab, YBhg. Ustaz Dr Mohamad Hazli bin Ismail.
Dato’ Seri Jamil Khir ketika ditemui menyatakan rasa simpati terhadap kajadian yang menimpa dan berdoa agar keluara ini sentiasa kuat dalam menghadapi dugaan.
“Mewakili pihak KEDA, kami bersimpati dengan kejadian yang menimpa. Keluarga ini menetap di dalam kawasan operasi KEDA dan kami memang optimis untuk membantu mana termampu.
Sebagai contoh, pada tahun 2023, sebelum adik Wan Fatimah didiagnos penyakit tersebut, ibunya, Puan Rodhiah binti Safie telah menerima menerima geran bantuan ekonomi KEDA melalui Program Peningkatan Pendapatan (PPP) bagi bisnes jualan kuih muihnya.
InsyaAllah, buat masa ini KEDA telah memberikan komitmen dalam proses untuk membantu membaik pulih rumah kepada keluarga ini melibatkan kos sebanyak RM 15,000. Kos ini meliputi pembaikan bumbung rumah dan bilik air. Projek baik pulih ini dijangka akan dapat disempurnakan pada awal November.
Semoga dengan sumbangan ini, dapat meringankan beban keluarga dan kesakitan yang dialami oleh adik Wan Fatimah.”, ujar beliau.
Pada Januari 2024, Wan Fahimah, anak kedua dari 8 beradik ini tular di media sosial apabila telah disahkan menghidap penyakit kanser payu dara tahap 4. Beliau terpaksa menangguhkan pengajian bagi menjalani rawatan kimoterapi dan pada masa yang sama mengambil kerja separuh masa sebagai tukang cuci di Pantai Merdeka, Sungai Petani.
LAWATAN PROGRAM "JOM JELAJAH ILMU" MURID BEKEPERLUAN PENDIDIKAN KHAS (MBPK) KE KOLEJ KEDA

LAWATAN PROGRAM “JOM JELAJAH ILMU” MURID BEKEPERLUAN PENDIDIKAN KHAS (MBPK) KE KOLEJ KEDA

SIK – Seramai 24 orang Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) dari sekolah-sekolah sekitar Kedah telah menyertai Program “Jom Jelajah Ilmu” yang diadakan di Kolej KEDA baru-baru ini.
Program ini bertujuan untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang unik kepada para pelajar, di samping mendedahkan mereka kepada pelbagai aktiviti kemahiran yang ditawarkan di Kolej KEDA.
Melalui program ini, pelajar berpeluang mempelajari kemahiran-kemahiran baru, sekali gus membina keyakinan diri dan semangat kerjasama antara satu sama lain.
Menurut Pengurusan Kolej KEDA, lawatan ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkaya pengetahuan para pelajar, malah menjadi satu platform penting untuk memperkenalkan mereka kepada pelbagai peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang TVET.
Pihak Kolej juga merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah atas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam memastikan kejayaan program ini.
Kolej KEDA sangat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada usaha untuk memperkasa Murid Berkeperluan Pendidikan Khas melalui program seperti ini dan ia selari dengan komitmen Kolej KEDA untuk menyokong pendidikan inklusif dan pembangunan kemahiran yang berterusan.
Program ini diharap dapat memberikan inspirasi kepada lebih ramai MBPK untuk meneroka potensi diri dan seterusnya mencapai kejayaan dalam bidang yang diminati.
PROGRAM GOTONG-ROYONG DAN KHIDMAT MASYARAKAT DI DESA KEDA KELEDANG

PROGRAM GOTONG-ROYONG DAN KHIDMAT MASYARAKAT DI DESA KEDA KELEDANG

BALING – Program Gotong-Royong dan Khidmat Masyarakat telah diadakan di Desa KEDA Keledang pada Rabu, baru-baru ini sebagai usaha untuk membantu penduduk yang terjejas akibat banjir kilat yang berlaku pada 23 Ogos lalu.
Seramai 17 orang pelatih dari Kolej KEDA bersama dua orang tenaga pengajar telah mengambil bahagian dalam program ini, di mana mereka memberi khidmat bakti memperbaiki peralatan dan perkakasan elektrik yang rosak akibat bencana tersebut.
Program ini bukan sahaja memberikan bantuan teknikal kepada penduduk yang memerlukan, tetapi juga menjadi platform untuk memupuk semangat kerjasama dan komuniti.
Hadir sama Pengarah Kolej KEDA, Encik Che Ridzuan bin Mohamad Isa, Pengurus Pembangunan Usahawan, Rojani bin Romeli, Pengerusi JPKKP Kampung Ketembar Kememeh, Jawatankuasa Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P), dan penduduk Desa KEDA Keledang turut hadir dan berperanan penting dalam memastikan kelancaran program ini.
Kerjasama erat antara pelbagai pihak berjaya menyemarakkan semangat kesukarelawan dan keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat setempat.
Pihak Pejabat KEDA Zon 5 merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program gotong-royong ini.
Sumbangan dan dedikasi mereka telah memberikan impak besar kepada penduduk yang terkesan, selain memperkukuh hubungan di kalangan komuniti setempat.
Program ini sekali lagi membuktikan komitmen KEDA dalam memberikan sokongan kepada masyarakat luar bandar dan memperkasakan komuniti yang memerlukan bantuan.
KEDA TERIMA 211 KEPING GERAN TANAH DESA KEDA

KEDA TERIMA 211 KEPING GERAN TANAH DESA KEDA

PADANG TERAP– Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) baru-baru ini menerima sebanyak 211 keping geran tanah bagi Desa KEDA Bukit Kura dan Desa KEDA Pasir Putih.
Penyerahan tersebut berlangsung dalam satu majlis rasmi yang diadakan di Dewan Komuniti Felcra Tualak, Padang Terap.
Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar hadir bagi mewakili Pengurus Besar KEDA, Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, untuk menerima geran-geran tersebut yang disampaikan oleh Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor.
Majlis penyerahan ini merupakan satu langkah penting dalam usaha memperkukuhkan hak milik tanah kepada penduduk-penduduk di Desa KEDA, sekali gus memacu pembangunan komuniti setempat.
Turut hadir dalam majlis itu ialah pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin tempatan, serta wakil-wakil komuniti.
Para penerima geran tanah menyambut baik inisiatif ini, yang dianggap sebagai satu langkah yang tepat bagi mengukuhkan kehidupan mereka di kawasan berkenaan.
PROGRAM SUKAN SEMPENA HARI KEMERDEKAAN KE 67 DI DESA KEDA SEMELIANG

PROGRAM SUKAN SEMPENA HARI KEMERDEKAAN KE 67 DI DESA KEDA SEMELIANG

PADANG TERAP – Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-67, Desa KEDA Semeliang telah menganjurkan Program Sukan yang berjaya menarik kehadiran kira-kira 90 orang peserta terdiri daripada penduduk tempatan serta ahli komuniti setempat.
Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 7.00 malam itu menyaksikan pelbagai aktiviti dan acara sukaneka yang meriah untuk kanak-kanak, dewasa, dan belia.
Sesi pagi dimulakan dengan pendaftaran acara sukaneka, diikuti oleh pertandingan sukaneka yang melibatkan kanak-kanak, dewasa, dan belia.
Program turut diserikan dengan jamuan makan tengahari kepada semua yang hadir.
Pada sebelah petang, tumpuan diberikan kepada pertandingan bola sepak yang menjadi acara utama.
Pertandingan melibatkan kategori di bawah 14 tahun, dengan perlawanan bagi menentukan tempat ketiga dan keempat dan kategori belia menentukan tempat pertama dan kedua.
Acara turut disertakan dengan cabutan nombor bertuah yang memberikan kegembiraan kepada para peserta.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah Getah Malaysia, YBhg. Dato’ Badrol Hisham bin Hashim.
Turut hadir dalam program ini adalah wakil Pejabat KEDA Zon 2, pemimpin komuniti setempat, serta Pengerusi dan Jawatankuasa Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Semeliang.
Pejabat KEDA Zon 2 mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini, yang bukan sahaja memupuk semangat kesukanan tetapi juga meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan penduduk Desa KEDA Semeliang.
KURSUS PEMANTAPAN BELIA DESA KEDA PERINGKAT ZON 7 KUALA MUDA YAN

KURSUS PEMANTAPAN BELIA DESA KEDA PERINGKAT ZON 7 KUALA MUDA YAN

BANDAR BAHARU – Pejabat Pembangunan KEDA Zon 7 Kuala Muda/Yan dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Muda telah menganjurkan Kursus Pemantapan Belia KEDA Zon 7 di Farmstay Relau, Bandar Baharu baru-baru ini.
Kursus selama 3 hari ini telah dihadiri oleh 26 orang peserta telah hadir didalam kursus tersebut yang melibatkan 5 buah kampung didalam kawasan operasi KEDA Zon 7.
Tujuan kursus ini diadakan adalah bagi memberikan peluang kepada belia desa KEDA Zon 7 mengasah bakat kepimpinan dan serta mengurus organisasi belia di kampung masing-masing.
Selain itu, peserta juga didedahkan dengan kemahiran mengatur strategi program di kampung masing-masing dan penganjuran aktiviti belia di kawasan masing-masing.
Program ini telah dirasmikan oleh Pengurus Bahagian Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar.
Turut hadir, Pegawai Belia Daerah Kuala Muda, Encik Kamarul Azlan bin Abdull Hamid dan Pegawai Pembangunan KEDA Zon 7, Anuar bin Omar.
KEDA mengharapkan agar penganjuran kursus seperti ini dapat melahirkan pemimpin pewaris di Desa-Desa KEDA bagi kelangsungan kepimpinan kampung.
Malah, kursus seperti ini dapat membuka minda dan pemikiran belia kearah yang lebih baik dan berusaha membangunkan kampung masing-masing.
PROGRAM SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN YANG KE-67 DI DESA KEDA DAERAH BALING TAHUN 2024

PROGRAM SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN YANG KE-67 DI DESA KEDA DAERAH BALING TAHUN 2024

BALING – Program Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-67 telah disambut dengan penuh semangat dan meriah oleh penduduk di beberapa Desa KEDA di Daerah Baling.
Program yang berlangsung pada hari Sabtu baru-baru ini melibatkan Desa KEDA Ulu Legong, Desa KEDA Teluk Teduri, Desa KEDA Batu Lapan, dan Desa KEDA Sadek, di mana penduduk daripada pelbagai lapisan umur turut serta dalam acara yang penuh warna-warni ini.
Pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan dengan kerjasama kepimpinan Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), yang berjaya menarik penyertaan ramai.
Antara acara yang diadakan termasuklah pertandingan kerusi muzik, senamrobik, perarakan merdeka oleh kanak-kanak dari Tabika dan Taska KEMAS Ulu Legong, pertandingan mewarna, tayangan filem Malbatt Misi Barkara serta pelbagai sukaneka yang memeriahkan program.
Acara yang paling dinanti-nantikan dan mendapat sambutan hangat daripada penduduk ialah pertandingan pakaian tradisional serta pertandingan baju kemerdekaan tercantik, yang berjaya menyerlahkan kreativiti dan semangat patriotisme peserta.
Program Sambutan Hari Kemerdekaan ini diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada semua desa KEDA yang terlibat, sebagai tanda penghargaan kepada usaha dan semangat yang ditunjukkan oleh setiap peserta sepanjang program berlangsung.
PROGRAM SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DI DESA KEDA KUBANG KENYENG MERIAH

PROGRAM SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DI DESA KEDA KUBANG KENYENG MERIAH

PADANG TERAP – Program Sambutan Hari Kebangsaan Sempena Hari Kemerdekaan Kali Ke-67 Tahun 2024 telah diadakan dengan penuh meriah di Desa KEDA Kubang Kenyeng, Zon 2, di sini.
Program yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Pejabat KEDA Zon 2 ini telah menarik kehadiran kira-kira 350 orang penduduk setempat serta pemimpin komuniti.
Acara bermula seawal jam 3.00 petang dengan pelbagai aktiviti menarik bagi memeriahkan sambutan. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah perarakan kemerdekaan, yang melibatkan penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat, serta pertandingan mewarna tema hari kebangsaan peringkat kanak-kanak yang menceriakan lagi suasana.
Majlis diteruskan dengan majlis perasmian program yang telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Getah Malaysia, YBhg. Dato’ Badrol Hisham bin Hashim.
Dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya semangat perpaduan dan kecintaan terhadap tanah air dalam memastikan kemerdekaan yang telah dikecapi terus dipertahankan.
Selain itu, penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan turut diadakan sebelum program diteruskan dengan kenduri rakyat dan jamuan makan yang menyediakan pelbagai juadah tempatan untuk dinikmati bersama.
Acara malam pula bermula dengan solat Maghrib dan Isyak berjemaah yang diikuti oleh ceramah agama bertemakan “Jiwa Merdeka” yang disampaikan oleh Al Fadhil Ustaz Suhaimi bin Shuib. Ceramah ini menekankan aspek kerohanian dan penghayatan kemerdekaan dari perspektif Islam.
Bagi menambah lagi kemeriahan, para hadirin turut dihiburkan dengan Tayangan Filem Patriotik Mat Kilau dan Pertunjukan Bunga Api yang memukau.
Cabutan nombor bertuah yang diadakan pada penghujung program menambahkan lagi keterujaan para peserta yang hadir.
Turut hadir memeriahkan program ini ialah wakil dari Pejabat KEDA Zon 2, pemimpin-pemimpin komuniti setempat, serta Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Kubang Kenyeng.
Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, terutamanya kepada Pengurusan KEDA yang sentiasa menyokong usaha memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat luar bandar.
SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN MERIAH DI 4 DESA KEDA DAERAH SIK

SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN MERIAH DI 4 DESA KEDA DAERAH SIK

SIK – Sambutan Bulan Kemerdekaan Tahun 2024 di daerah Sik disambut meriah oleh penduduk di empat Desa KEDA, iaitu Desa KEDA Sungai Semiar, Desa KEDA Telaga Batu, Desa KEDA Sungai Senam, dan Desa KEDA Bendang Man.
Pelbagai aktiviti diadakan bagi memeriahkan suasana sambutan di setiap Desa KEDA, antaranya aktiviti yang dilaksanakan termasuk perarakan mengelilingi kampung, sesi zumba, pertandingan memanah, sepak raga tuju, dan sukaneka.
Selain itu, program ini turut diserikan dengan cabutan bertuah, bacaan Yasin, qiyamulail, tayangan wayang pacak, dan tembakan bunga api yang menceriakan malam kemerdekaan.
Setiap Desa KEDA juga mendapat perhatian dan sokongan daripada kepimpinan komuniti serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) setempat, yang turut serta dalam memastikan kelancaran dan kemeriahan program.
Dengan penglibatan yang aktif daripada penduduk setempat, sambutan ini bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme tetapi juga mengukuhkan ikatan silaturahim dalam komuniti Desa KEDA.
PENDUDUK DESA KEDA BENDANG MAN TERLIBAT DALAM KAJIAN INFRASTRUKTUR DIGITAL NEGARA

PENDUDUK DESA KEDA BENDANG MAN TERLIBAT DALAM KAJIAN INFRASTRUKTUR DIGITAL NEGARA

SIK – Penduduk Desa KEDA Bendang Man, Sik telah dipilih sebagai responden dalam Sesi Kajian Infrastruktur Digital Negara yang dijalankan baru-baru ini oleh pasukan penyelidikan dari Universiti Teknologi MARA (UITM) Kedah.
Sesi kajian ini dijalankan melalui perbincangan kumpulan fokus (focus group discussion) yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat di Desa KEDA Bendang Man. Antara responden yang terlibat termasuklah kumpulan usahawan kecil, pekerja swasta, pelajar, Orang Kurang Upaya (OKU), dan warga emas.
Kajian ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada penduduk setempat mengenai infrastruktur digital di kawasan mereka, sekaligus membantu pihak berwajib dalam memperbaiki dan memperkukuhkan jaringan digital di luar bandar.
Pegawai Pembangunan Zon 4, Sik, Encik Mohd Noor Farzli bin Adenan, turut hadir menjayakan sesi kajian tersebut.