BELIA DESA KEDA SUNGAI SEMIAR TIMBA PENGALAMAN KURSUS PEMBUATAN KHEMAH

BELIA DESA KEDA SUNGAI SEMIAR TIMBA PENGALAMAN KURSUS PEMBUATAN KHEMAH

SIK – Seramai 35 belia dari Desa KEDA Sungai Semiar, Sik telah berpeluang menimba pengalaman berharga melalui Kursus Pembuatan Khemah yang dianjurkan oleh Jabatan Teknologi Kimpalan, Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Sik, baru-baru ini.
Program ini merupakan sebahagian daripada kursus jangka pendek yang disasarkan kepada komuniti B40, dengan objektif untuk meningkatkan kemahiran, kecekapan, serta pendapatan golongan tersebut.
Melalui kursus ini, para peserta diberi pendedahan terhadap ilmu pengetahuan dan teknologi yang relevan dalam pelbagai kegiatan ekonomi.
Sepanjang kursus berlangsung, para peserta menunjukkan minat yang mendalam dan komitmen yang tinggi dalam mempelajari ilmu pembuatan khemah.
Mereka berusaha untuk memahami setiap aspek yang diajar dengan bertanya kepada tenaga pengajar tentang perkara-perkara yang kurang difahami semasa sesi praktikal.
Pihak KEDA berharap agar ilmu yang diperoleh oleh para peserta dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan pendapatan peribadi dan kesejahteraan komuniti Desa KEDA Sungai Semiar.
KEDA DAN KOLEJ KEDA SERTAI ISTIADAT PERBARISAN DAN PERARAKAN SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KE-67 PERINGKAT NEGERI KEDAH

KEDA DAN KOLEJ KEDA SERTAI ISTIADAT PERBARISAN DAN PERARAKAN SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KE-67 PERINGKAT NEGERI KEDAH

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) bersama Kolej KEDA telah hadir sebagai kontinjen berbeza dalam bersama-sama menyertai dan memeriahkan Istiadat Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024, di sini.
Seramai 40 orang staf KEDA terlibat dalam perbarisan pada kali ini dan turut terdiri dari 14 orang staf wanita.
Mereka yang segak berpakaian set lengkap sukan berwarna hijau telah berada di lokasi sejak jam 7.00 pagi.
Kontinjen yang diketuai oleh Encik Mohamad Heldi bin Abdul Rauf dari Bahagian Hartanah dan Prasarana telah menerima latihan 2 orang jurulatih dalaman iaitu Encik Mohd Zahir bin Hasan dan Encik Mohd Affendi bin Abd Ghani dari Bahagian Hartanah dan Prasarana telah menerima latihan dari serta dua orang jurulatih luar dari Rejimen 513, Askar Wataniah Kem Bukit Pinang, Alor Setar iaitu Sarjan Hasbullah bin Saidin dan Koperal Mohd Nazeri bin Hashim.
Sebelum bermula, Pengurus Besar KEDA, YBhg Tuan Ismasuhaimi bin Shariff telah sempat bertemu dan memberi kata-kata semangat akhir sebelum memulakan sesi kawad perbarisan.
Turut hadir dalam sesi ini adalah Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Hajah Afifah binti Haji Omar.
Bagi tahun 2024, KEDA telah menghantar dua kontinjen kawad kaki iaitu staf KEDA untuk kategori Agensi Persekutuan/Badan Berkanun/Swasta manakala Kolej KEDA akan bersaing bagi kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT).
LAWATAN MARDI KE KEDA

LAWATAN MARDI KE KEDA

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah menerima kunjung hormat daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar, baru-baru ini.
Kunjungan ini disambut mesra oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff bersama pegawai-pegawai dari Bahagian Niagatani KEDA.
Delegasi MARDI diketuai oleh Pegawai Penyelidik Pusat Pemindahan Teknologi dan Pembangunan, Encik Mohd Zubir bin Md Idris.
Lawatan ini bertujuan untuk meneroka peluang kerjasama antara MARDI dan KEDA, khususnya dalam memperkenalkan varieti tanaman baru keluaran MARDI yang berpotensi ditanam di tanah milik KEDA.
Selepas sesi perbincangan di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, kedua-dua pihak telah melawat projek Agrotourism yang sedang dibangunkan di Pantai Molek, Sik.
Lawatan ini memberi peluang kepada delegasi MARDI untuk melihat sendiri potensi projek tersebut dan meneroka peluang kerjasama yang lebih mendalam di masa hadapan.
KURSUS PEMANTAPAN PENGURUSAN CUTI KEDA TAHUN 2024

KURSUS PEMANTAPAN PENGURUSAN CUTI KEDA TAHUN 2024

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Unit Pengurusan Sumber Manusia (UPSM) menunjukkan komitmen dalam memperkukuhkan pengurusan cuti kakitangan dengan menganjurkan Kursus Pemantapan Perintah Am Bab C (Pengurusan Cuti) baru-baru ini.
Kursus ini dianjurkan dengan kerjasama Institut Pengurusan dan Integriti Negeri Kedah Darul Aman (INSPIN) dan dihadiri seramai 30 peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai yang bertanggungjawab menguruskan cuti di bahagian, unit, dan pejabat KEDA Zon masing-masing.
Kursus ini disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, Mohamad Ribwan bin Abas. Kursus yang berlangsung di Dewan KCS, INSPIN ini merangkumi lima slot utama, yang masing-masing menekankan aspek-aspek penting dalam pengurusan cuti.
Slot pertama memberi fokus kepada kelas pegawai dan kuasa meluluskan cuti, diikuti dengan slot kedua yang membincangkan cuti yang diberikan kerana perkhidmatan.
Slot ketiga pula menumpukan kepada cuti atas sebab perubatan, manakala slot keempat membincangkan cuti tidak berekod. Kursus ini diakhiri dengan slot terakhir yang menyentuh mengenai cuti-cuti lain.
Menariknya, kursus ini turut menyaksikan penglibatan aktif para peserta melalui sesi soal jawab yang membolehkan mereka mendapatkan penjelasan lanjut dan berkongsi pengalaman dalam menguruskan cuti.
KEDA berharap kursus ini dapat memberikan panduan yang berguna kepada pegawai-pegawai yang menguruskan cuti di tempat masing-masing, sekali gus meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam pengurusan cuti di organisasi tersebut.
KEJOHANAN SUKAN DESA-DESA KEDA DAERAH BALING TAHUN 2024

KEJOHANAN SUKAN DESA-DESA KEDA DAERAH BALING TAHUN 2024

BALING – Kejohanan Sukan Desa-Desa KEDA Daerah Baling tahun 2024 telah berlangsung dengan jayanya di Pusat Sukan Malinja, Mukim Kupang, baru-baru ini, dengan kehadiran seramai 250 orang peserta dan penyokong.
Acara ini melibatkan penyertaan daripada sembilan pasukan futsal dan sembilan pasukan bola jaring yang mewakili pelbagai Desa KEDA dalam Daerah Baling.
Kejohanan ini mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat yang hadir memberi sokongan padu kepada peserta.
Kejohanan yang penuh semangat kesukanan ini bukan sahaja mempamerkan pertandingan yang kompetitif, tetapi juga bertindak sebagai platform penting untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara komuniti Desa KEDA.
Selain itu, acara ini turut diserikan dengan perlawanan persahabatan ukhwah futsal yang melibatkan kakitangan Pejabat KEDA Zon 5 Baling dan wakil Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Daerah Baling.
Dalam pertandingan futsal, Desa KEDA Sadek berjaya merangkul gelaran juara, manakala dalam acara bola jaring, Desa KEDA Batu Lapan tampil cemerlang sebagai juara.
Kejayaan ini pastinya menjadi kebanggaan kepada kedua-dua pasukan serta menjadi pemangkin semangat kepada semua peserta untuk kejohanan-kejohanan akan datang.
KEDA SANTUNI PENYEWA, BINCANG ISU TUNGGAKAN SEWA

KEDA SANTUNI PENYEWA, BINCANG ISU TUNGGAKAN SEWA

PADANG TERAP – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Unit Kutipan Hasil telah mengambil langkah proaktif dalam menangani isu tunggakan bayaran sewa dengan mengadakan sesi turun padang bagi menyantuni penyewa di kawasan berkenaan.
Unit Kutipan Hasil yang diketuai oleh Ketua Unit, Encik Dzulkarnain bin Abdul Manaf telah mengadakan pertemuan dengan penduduk Desa KEDA Bagan dan Desa KEDA Pong Selatan yang berada di bawah pengawasan Pejabat KEDA Zon 2, Padang Terap.
Sesi ini turut menerima kehadiran Pengurus Hartanah dan Prasarana, Encik Mohd Elias bin Hassan.
Inisiatif ini bertujuan untuk berbincang mengenai isu tunggakan bayaran sewaan rumah dan mencari jalan penyelesaian agar pembayaran sewa dapat dijalankan dengan lebih lancar pada masa hadapan.
Pertemuan ini dimulakan di Desa KEDA Bagan dan diteruskan pada keesokan harinya di Desa KEDA Pong Selatan.
Dalam sesi perbincangan tersebut, pihak KEDA telah memberikan penerangan yang jelas berkaitan tunggakan bayaran sewa, implikasi daripada keingkaran membayar, serta proses pindah hak milik geran. Penerangan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman penyewa mengenai tanggungjawab mereka.
Maklum balas yang diterima daripada penduduk selepas penerangan menunjukkan kesedaran yang semakin meningkat mengenai pentingnya pembayaran sewa tepat pada masanya. Mereka juga memberikan respon positif terhadap usaha KEDA dalam membantu menyelesaikan isu ini.
Turut hadir dalam sesi tersebut adalah pegawai-pegawai dari Unit Rumah Bahagian Hartanah dan Prasarana (BHP) KEDA, yang turut sama membantu menjelaskan isu-isu berkaitan.
KEDA berharap agar dengan pendekatan ini, semua penyewa dapat membayar sewa dengan lancar dan mengelakkan sebarang tunggakan pada masa hadapan.
MAJLIS SEKALUNG BUDI SEJAMBAK KASIH DATUK CHE MURAD SAYANG BIN RAMJAN

MAJLIS SEKALUNG BUDI SEJAMBAK KASIH DATUK CHE MURAD SAYANG BIN RAMJAN

ALOR SETAR – Mantan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang juga merupakan mantan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YB Datuk Che Murad Sayang bin Ramjan telah diraikan dalam satu penghargaan Majlis Sekalung Budi Sejambak Kasih.
Majlis yang diadakan di Menara Alor Setar telah dihadiri 70 orang tetamu termasuk Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom, Timbalan Pengerusi KEDA, YBhg. Dato’ Wira Wan Uzir bin Haji Wan Sulaiman serta Barisan Ahli Lembaga Pengarah KEDA.
Selain itu, turut hadir adalah Pengurus Besar KEDA, YBhg Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, Timbalan Pengurus Besar Pengurusan, Hajah Afifah binti Haji Omar serta barisan pengurus bahagian, pengarah Kolej KEDA, ketua-ketua unit dan pegawai -pegawai pembangunan KEDA di zon.
Majlis ini juga telah menerima kehadiran Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Puan Noor Hayati binti Ishak yang mewakili Pengurus Besar PERDA dan Pengarah KKDW Negeri Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Encik Mohd Nizam bin Mokhtar.
Majlis dimulai dengan ucapan alu-aluan Pengerusi KEDA disusuli ucapan buat yang dirai, YB Datuk Che Murad Sayang bin Ramjan.
Pihak pengurusan KEDA turut menyampaikan cenderamata tanda kenang-kenangan serta acara memotong kek bersama tetamu yang dirai.
YB Datuk Che Murad Sayang bin Ramjan mula bertugas di KKDW sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) sejak November 2018 dan menjadi ALP KEDA bermula November 2023.
Awal Julai 2024 yang lalu, YB Datuk Che Murad Sayang bin Ramjan telah dilantik dan bertugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis yang baru.
Buat YB Datuk Che Murad Sayang bin Ramjan, selamat bertugas dengan cemerlang di tempat baru, terima kasih atas segala khidmat nasihat dan curahan bakti serta mohon ampun maaf atas segala kekhilafan dan kekurangan KEDA sepanjang bersama.
Malam hari berlagu unggas,
Memecah sunyi di dalam hutan,
Walau terpisah tempat dan tugas,
Jasamu tetap dalam ingatan.
AMANAT PENGURUS BESAR BERSAMA PASUKAN KAWAD KAKI KEDA 2024

AMANAT PENGURUS BESAR BERSAMA PASUKAN KAWAD KAKI KEDA 2024

ALOR SETAR – Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff telah mengadakan pertemuan dan perjumpaan bersama 50 ahli dan urus setia pasukan kawad kaki KEDA.
Pasukan kawad kaki yang terdiri daripada 14 orang staf wanita dan 26 orang staf lelaki ini akan mewakili KEDA dalam Perbarisan dan Perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024 di Dataran Masjid Zahir, di sini pada 31 Ogos 2024.
Turut hadir dalam sesi ini adalah Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Hajah Afifah binti Haji Omar, Pengurus Khidmat Pengurusan, Encik Mohd Ariff bin Mohd Rodzi dan Ketua Unit Komunikasi Korporat, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman.
Sesi dimulai dengan taklimat dari pihak urusetia yang dibentang oleh Ketua Unit Pentadbiran Am, Encik Mohd Khairul bin Ahmad.
Seterusnya pula ada ucaptama Tuan Pengurus Besar. Dalam ucapannya, beliau menyatakan ucapan terima kasih kepada usaha gigih peserta kawad bagi tahun ini.
“Bukan kemenangan yang terlalu kita kejar tetapi semangat membawa lencana KEDA di dada untuk mempamerkan yang terbaik adalah merupakan hal yang lebih penting.
Semua peserta perlu menjaga kesihatan dan membuat persiapan serapi-rapinya memandangkan keadaan cuaca yang kerap hujan sejak kebelakangan ini.
Semoga kejayaan menjadi milik kita,” ujar beliau.
Seterusnya, Tuan Pengurus Besar melancarkan seragam kawad kaki KEDA bagi tahun 2024 serta menyerahkan simbolik kit kawad kaki kepada 10 orang peserta.
Sesi ini juga tidak lepas dari menghargai barisan kejurulatihan yang melibatkan staf KEDA dan jemputan luar.
KEDA telah melantik dua orang jurulatih dalaman iaitu Encik Mohd Zahir bin Hasan dan Encik Mohd Affendi bin Abd Ghani dari Bahagian Hartanah dan Prasarana serta dua orang jurulatih luar dari Rejimen 513, Askar Wataniah Kem Bukit Pinang, Alor Setar iaitu Sarjan Hasbullah bin Saidin dan Koperal Mohd Nazeri bin Hashim.
Mereka menerima cenderamata kenang-kenangan sebagai tanda penghargaan di atas kesudian mengajar dan memperbaiki kualiti kontinjen kawad kaki KEDA pada tahun ini.
Bagi tahun 2024, KEDA telah menghantar 2 kontinjen kawad kaki iaitu staf KEDA untuk kategori Agensi Persekutuan/Badan Berkanun/Swasta manakala Kolej KEDA akan bersaing bagi kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Kepada Kontinjen Kawad Kaki KEDA dan Kolej KEDA, Semoga Berjaya!!
DESA KEDA SUNGAI KECIL ILIR DESTINASI TERAKHIR KONVOI SEMARAK KASIH MERDEKA KEDA 2024 SIRI 1

DESA KEDA SUNGAI KECIL ILIR DESTINASI TERAKHIR KONVOI SEMARAK KASIH MERDEKA KEDA 2024 SIRI 1

BANDAR BAHARU – Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Sungai Kecil Ilir telah menjadi lokasi terakhir untuk dikunjungi dalam siri pertama Konvoi Semarak Kasih Merdeka KEDA Tahun 2024.
Desa ini melengkapkan perjalanan 49 orang penunggang motosikal yang terdiri daripada ahli KEDA Bikers dan tetamu jemputan luar dari pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Konvoi yang diketuai sendiri oleh Pengurus Besar KEDA YBhg Tuan Ismasuhaimi bin Shariff telah hadir sekitar jam 11.30 pagi dan konvoi ini disambut mesra oleh barisan staf Pejabat KEDA Zon 9, Bandar Baharu yang dipimpin oleh Pegawai Pembangunan KEDA Zon, Encik Muhammad Noorhisham bin Taib.
Tidak ketinggalan adalah kepimpinan Pasukan Perancang Pelaksana Program (4P) desa yang diketuai oleh Encik Abdul Rahym bin Bahak.
Di desa tersebut pada masa sama menganjurkan Kursus Pemantapan Bacaan Al-Fatihah yang dikendalikan oleh Mantan Imam Besar Masjid Negeri Masjid Zahir, YBhg. Dato’ Syeikh Roslan bin Abd Halim.
Majlis juga turut diserikan dengan kehadiran Pegawai Agama Daerah Bandar Baharu, Tuan Syeikh Fadhil bin Abdul Rahman.
Antara pegawai KEDA yang hadir sebagai urusetia dan peserta konvoi adalah Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar, Ketua Unit Komunikasi Korporat, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman, Pegawai Pembangunan KEDA Zon 4, Sik, Encik Mohd Noor Farzli bin Adenan dan Penolong Pengarah Kolej KEDA, Encik Muhamad Fikhri bin Zulkifli.
Majlis bermula dengan ucapan aluan wakil kepimpinan 4P desa dan disambung dengan ucapan Pengurus Besar KEDA.
Dalam ucapan, beliau mengajak para penduduk agar mensyukuri nikmat kemerdekaan yang dikecapi.
“Kita patut bersyukur kerana masih mampu aman dan damai di negara sendiri. Jika kita lihat bagaimana sengsaranya rakyat Palestin dengan penindasan tentera Zionis, kita perlu kekalkan kemerdekaan dengan menjaganya sebaik mungkin”, ujar beliau.
Majlis disambung dengan serahan bantuan bakul makanan dan bendera Jalur Gemilang kepada semua kepimpinan desa KEDA dibawah zon ini serta wakil kepimpinan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) sekitar.
Paling meriah apabila semua yang hadir diminta sama-sama menyanyikan lagi Jalur Gemilang sempena meraikan sambutan merdeka ini.
Terima kasih Pejabat KEDA Zon 9, Bandar Baharu, barisan kepimpinan 4P dan penduduk Desa KEDA Sungai Kecil Ilir.
Malaysia Madani : Jiwa Merdeka
Merdeka!!
DESA KEDA NAGALILIT, KULIM VENUE BICARA MAHABBAH USTAZ TIGA BERADIK

DESA KEDA NAGALILIT, KULIM VENUE BICARA MAHABBAH USTAZ TIGA BERADIK

KULIM – Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Nagalilit telah menjadi destinasi pilihan Pejabat KEDA Zon 6, Kulim dalam menganjurkan Bicara Mahabbah Merdeka 2024.
Dengan tajuk Malaysia Madani : Jiwa Merdeka, bicara ini menampilkan penceramah selebriti Ustaz 3 Beradik iaitu Ustaz Zarifi Daud, Ustaz Hariri Daud dan Ustaz Ihsan Daud.
Majlis ini diserikan dengan kehadiran Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff yang mengetuai Konvoi Semarak Kasih Merdeka Siri 1.
Konvoi ini disertai oleh 49 orang ahli KEDA Bikers dan riders jemputan luar dari agensi kerajaan, swasta dan NGO.
Antara pegawai yang hadir bagi program bicara ini adalah Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar, Ketua Unit Komunikasi Korporat, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman, Pegawai Pembangunan KEDA Zon 4, Sik, Encik Mohd Noor Farzli bin Adenan dan Penolong Pengarah Kolej KEDA, Encik Muhamad Fikhri bin Zulkifli.
Kehadiran Pengurus Besar telah disambut mesra oleh Pegawai Pembangunan KEDA Zon 6, Kulim, Encik Muhammad Hakim bin Ahmad Nadzir dan Pengerusi Pasukan Perancang Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Nagalilit, Encik Muhammad Saad bin Hashim.
Pengurus Besar dibawa melawat tapak pasar malam, dan tapak pertandingan replika hiasan merdeka. Seterusnya semua menunaikan solat Maghrib berjemaah, makan malam, serahan bantuan bakul makanan, serahan simbolik bendera Jalur Gemilang dan bantuan one off Lembaga Tabung Haji kepada penduduk.
Bicara Mahabbah ini berlangsung meriah dengan penceramah selebriti berjaya menyelitkan nyanyian nasyid dan zikir dalam forum bicara mereka.
Dengan fokus menjurus kepada menikmati nikmat kesyukuran, semua diminta untuk mengekalkan kemerdekaan ini dengan agama menjadi wadah pengekalannya kerana kemerdekaan ini perlu membantu manusia di dunia dan juga akhirat.
Terima kasih Pejabat KEDA Zon 6, Kulim, Jawatankuasa 4P dan penduduk Desa KEDA Nagalilit.
Malaysia Madani : Jiwa Merdeka
MERDEKA!