PROGRAM JIWA KOMUNITI MADANI DUN TANJUNG DAWAI MERIAHKAN MASYARAKAT SETEMPAT

PROGRAM JIWA KOMUNITI MADANI DUN TANJUNG DAWAI MERIAHKAN MASYARAKAT SETEMPAT

MERBOK – Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Komuniti Persekutuan (JPKKP) Sungai Pial, dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Kuala Muda telah berjaya menganjurkan Program Jiwa Komuniti Madani Peringkat DUN Tanjung Dawai di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Pial, Merbok di sini.
Program ini turut mendapat sokongan daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang hadir membuka reruai pameran untuk memperkenalkan pelbagai perkhidmatan kepada penduduk setempat.
Reruai KEDA antara yang mendapat perhatian pengunjung bagi mengetahui bantuan-bantuan usahawan yang disediakan dan cara untuk memohon.
Program yang berlangsung dengan penuh meriah ini turut melibatkan pelbagai agensi lain iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah menganjurkan jualan murah yang menarik minat ramai, manakala Program Penjagaan Kesihatan B40 (PEKA B40) menyediakan perkhidmatan kesihatan percuma kepada penduduk.
Selain itu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membuka kaunter untuk pembukaan akaun SSPN, sementara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula menawarkan perkhidmatan pengemaskinian data akaun pelanggan.
Program ini telah dirasmikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Kuala Muda, Puan Juliana binti Ibrahim, dan turut dihadiri oleh beberapa pemimpin tempatan dari DUN Tanjung Dawai serta lebih daripada 200 orang penduduk kampung.
Majlis ini juga diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk gimik pelancaran Bulan Kemerdekaan, acara sukaneka, pertandingan basikal tercantik, dan cabutan bertuah yang menambah keceriaan suasana.
Penganjuran program seperti ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan antara agensi dengan masyarakat, selain memastikan perkhidmatan terbaik dapat disampaikan kepada golongan sasaran.
Program ini juga menjadi platform untuk mendekati dan memahami keperluan penduduk setempat, seterusnya membina komuniti yang lebih padu dan harmoni.
NATIONAL SYMPOSIUM ON RURAL PLANNING AND DEVELOPMENT 2024

NATIONAL SYMPOSIUM ON RURAL PLANNING AND DEVELOPMENT 2024

PUTRAJAYA – Simposium Perancangan dan Pembangunan Desa Peringkat Kebangsaan 2024 telah berjaya dianjurkan dengan tema “Economic Diversity, Resilient Future: Growing Rural Prosperity”.
Program ini berlangsung di Dewan Damar Sari, Blok F8, Kompleks F, Putrajaya dan melibatkan kerjasama strategik antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Simposium tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi.
Program ini sebagai platform perkongsian amalan baik perancangan dan pembangunan desa oleh pelbagai agensi dalam dan luar negara.
Acara ini turut menampilkan dua sesi forum utama bertemakan “Sorotan dan Hala Tuju Perancangan dan Pembangunan Desa” dan “Desa Masa Depan: Perspektif dan Visi”. Forum-forum ini melibatkan penyertaan lapan panel pakar dari dalam dan luar negara, termasuk wakil dari Belanda, Bangladesh, Indonesia, Filipina, Thailand, dan Pakistan.
Panel-panel ini membincangkan isu-isu penting yang berkaitan dengan perancangan dan pembangunan desa serta berkongsi amalan terbaik dari negara masing-masing.
Simposium ini berjaya menarik penyertaan kira-kira 1,000 peserta tempatan serta delegasi dari Centre Integrated Rural Development for Asia and the Pacific (CIRDAP).
Selain itu, beberapa kedutaan dari negara-negara seperti Indonesia, Filipina, Myanmar, Laos, Iran, Pakistan, Bangladesh, Fiji, Belanda, Sri Lanka, dan Nepal turut hadir bagi memeriahkan lagi simposium ini.
Sebanyak 10 pameran dari pelbagai agensi dan jabatan peringkat Persekutuan dan Negeri turut diadakan bagi memaparkan inisiatif dan projek pembangunan desa yang sedang dan bakal dijalankan.
KEDA turut diwakili oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Puan Hajah Afifah binti Haji Omar bersama beberapa pegawai lain termasuk Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar, Pengurus Niagatani, Encik Sulaiman bin Mohd Noor, Pengarah Kolej KEDA, Encik Che Ridzuan bin Mohd Isa, serta Pengurus Perancangan, Pemantauan dan Penilaian, Cik Shuhaila binti Hamzah.
Simposium ini diharap dapat menjadi platform untuk meningkatkan lagi kerjasama antara pelbagai pihak dalam usaha memajukan perancangan dan pembangunan desa di Malaysia.
PELUNCURAN GARIS PANDUAN PENGURUSAN DAN TATAKELOLA BADAN BERKANUN PERSEKUTUAN

PELUNCURAN GARIS PANDUAN PENGURUSAN DAN TATAKELOLA BADAN BERKANUN PERSEKUTUAN

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah menyempurnakan Majlis Peluncuran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan yang diadakan di Hotel, Premiera, di sini baru-baru ini.
Dalam ucapannya, YAB Perdana Menteri menekankan betapa pentingnya usaha menambahbaik dan mempergiatkan lagi prestasi badan-badan berkanun Persekutuan.
Beliau menyatakan bahawa ianya garis panduan ini diperkenalkan untuk memastikan setiap badan berkanun terus berfungsi selari dengan matlamat asal penubuhannya, dan dapat memainkan peranannya dengan lebih berkesan dalam menyokong pembangunan negara.
“Garis panduan ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan tahap pengurusan dan tatakelola badan berkanun Persekutuan, tetapi juga untuk memastikan prinsip integriti terus dipelihara dan diamalkan oleh semua pihak,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa dengan pelaksanaan garis panduan ini, badan-badan berkanun akan lebih telus dalam menjalankan operasi mereka, sekaligus mengelakkan diri daripada terlibat dalam sebarang tindakan yang melanggar tatakelola. Ini secara tidak langsung akan menjauhkan mereka daripada menjadi subjek siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Audit Negara.
Majlis peluncuran ini turut dihadiri oleh Ketua-Ketua Jabatan dan agensi kerajaan, serta wakil-wakil daripada badan-badan berkanun seluruh negara.
Mewakili KEDA iaitu Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Puan Hajah Afifah binti Haji Omar, Pengurus Perancangan, Pemantauan dan Penilaian (BPPP), Puan Suhaila binti Hamzah dan Ketua Unit Integriti dan Perundangan (UIP), Puan Nurul Aqilah binti Azmi.
PUSPANITA KEDA JOHAN KAROM PROGRAM JALINAN MUAFAKAT PERINGKAT DAERAH YAN TAHUN 2024

PUSPANITA KEDA JOHAN KAROM PROGRAM JALINAN MUAFAKAT PERINGKAT DAERAH YAN TAHUN 2024

YAN – Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah dinobatkan sebagai johan dalam pertandingan karom sempena Program Jalinan Kasih Muafakat Majlis Daerah Yan baru-baru ini.
Program anjuran Majlis Daerah Yan yang berlangsung di Dewan Al-Wustha, Guar Chempedak ini telah disertai oleh 2 kakitangan KEDA.
Program yang berlangsung selama dua hari itu meriah dengan pelbagai aktiviti menarik, termasuk pertandingan badminton, karom, pingpong, dart, rewang penyediaan bubur asyura, tazkirah ringkas, cabutan bertuah, dan diakhiri dengan ziarah kasih kepada 20 penerima Food Bank Zakat bersama persatuan.
Tujuan utama program ini adalah untuk mengeratkan silaturrahim sesama anggota serta membina semangat muafakat dan kerjasama dalam kalangan peserta.
Selain itu, program ini juga bertujuan meningkatkan semangat kesukanan dan menggalakkan penyertaan dalam aktiviti-aktiviti riadah yang sihat.
Program Jalinan Kasih Muafakat ini merupakan satu inisiatif yang berjaya mengumpulkan pelbagai pihak bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan dan membentuk komuniti yang lebih padu dan sejahtera.
MAJLIS TANDATANGAN MEMORANDOM PERSEFAHAMAN ANTARA KEDA DAN MYDIN

MAJLIS TANDATANGAN MEMORANDOM PERSEFAHAMAN ANTARA KEDA DAN MYDIN

SUBANG JAYA – Majlis Tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) sempena kunjung hormat Pengurusan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan anak syarikat bersama MYDIN Mohamed Holdings Sdn Bhd (MYDIN) telah diadakan di Ibu Pejabat MYDIN Mohamed Holdings Sdn Bhd, Subang Jaya, Selangor.
Majlis ini bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama antara KEDA dan MYDIN dalam berkongsi pengetahuan, maklumat dan kepakaran berkaitan pengurusan perniagaan yang lebih dinamik dan berdaya maju kepada penduduk luar bandar dan setempat.
Turut diadakan dalam majlis ini adalah pembentangan mengenai premis sewaan di bawah pengurusan KEDA Properties & Management Sdn Bhd serta produk air mineral semulajadi di bawah pengurusan KEDA Agrobiz Sdn Bhd.
Selain itu, perbincangan juga dijalankan berkaitan penawaran pembukaan cawangan baharu MYDIN di Kulim.
Penandatangan MoU adalah Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin, dan, Pengerusi KEDA, Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir Baharom. Saksi bagi majlis ini adalah Pengarah Eksekutif Iman Ikhlas Sdn Bhd, Encik Azmin Datuk Saduruddin, dan Pengerusi KEDA Holdings Sdn Bhd, Dato’ Hasmuni Hassan.
Antara lain yang hadir dalam majlis ini adalah pihak MYDIN Mohamed Holdings Sdn Bhd (MYDIN), Pengarah Urusan, Pengarah Eksekutif, Dato’ Murad Ali Mydin, Pengarah Eksekutif Iman Ikhlas Sdn Bhd, Encik Azmin Datuk Saduruddin, Pengarah Kewangan dan Aset, Encik Azwan Ahimmat, Pengurus Kanan Bahagian Import dan Eksport, Encik Haji Norman Rajen, Ketua Jawatan Pemasaran dan Komunikasi Jenama, Encik Hussain Karim Ally.
Pihak Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Pengerusi KEDA Properties & Management Sdn Bhd, Dato’ Shaiful Hazizy Zainol Abidin, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer Abu Bakar dan Pengurus Besar KEDA Holdings Sdn Bhd, Encik Muhammad Syakir Zufairi Radziyuddin.
Majlis ini diharapkan dapat membuka peluang kerjasama yang lebih erat dan berkesan antara KEDA dan MYDIN, serta memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar dalam meningkatkan kemajuan dan dinamik perniagaan mereka.
KURSUS PENULISAN DOKUMEN RASMI KERAJAAN KEDA TAHUN 2024

KURSUS PENULISAN DOKUMEN RASMI KERAJAAN KEDA TAHUN 2024

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Unit Pengurusan Sumber Manusia (UPSM) dan Bahagian Khidmat Pengurusan telah menganjurkan Kursus Penulisan Rasmi Kerajaan untuk memperkasakan kakitangan dalam penulisan dokumen rasmi.
Kursus yang berlangsung selama dua hari di Dewan Bidara, Aras 5, Kompleks Ibu Pejabat KEDA, disertai 43 kakitangan dari pelbagai bahagian dan unit.
Kursus ini, yang dijalankan dengan kerjasama INTAN Kampus Wilayah Utara (INTURA), merangkumi modul seperti pengenalan penulisan dokumen rasmi, format surat, memo, emel, dan minit mesyuarat kerajaan.
Program ini bertujuan meningkatkan kemahiran penulisan rasmi kakitangan KEDA dan mendapat sambutan baik daripada peserta yang berpeluang bertanya dan berkongsi pandangan.
Menurut seorang peserta, “Kursus ini sangat bermanfaat dan memberikan banyak pengetahuan baharu dalam penulisan dokumen rasmi kerajaan. Kami dapat mempraktikkan apa yang telah dipelajari secara langsung melalui latihan yang disediakan.”
Pihak penganjur berharap kursus ini dapat meningkatkan kecekapan dan profesionalisme kakitangan KEDA dalam urusan penulisan dokumen rasmi kerajaan.
Mereka juga berharap program ini dapat dilaksanakan secara berkala untuk memastikan semua kakitangan terus berkemahiran dan berpengetahuan dalam penulisan dokumen rasmi yang tepat dan berkesan.
KEDA SERTAI HIMPUNAN PEMBEBASAN PALESTIN

KEDA SERTAI HIMPUNAN PEMBEBASAN PALESTIN

Kuala Lumpur – Seramai 46 orang pegawai dan kakitangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menyertai Himpunan Pembebasan Palestin yang diadakan di Stadium Axiata Arena di Bukit Jalil. Mereka yang mewakili seluruh warga kerja KEDA menyertai lebih dua puluh ribu orang yang membanjiri stadium sebagai simbolik rakyat Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, yang menyokong penuh usaha membebaskan Palestin daripada terus dijajah oleh rejim Zionis Israel.
Acara yang bermula sejak jam 6.00 petang, dihadiri pelbagai lapisan masyarakat terutama warga kota, dipenuhi dengan pelbagai acara bertemakan pembebasan Palestin seperti pidato keamanan, persembahan dan bacaan doa serta qunut nazilah.
Kemuncak acara adalah ucapan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, yang menyatakan dengan tegas pendirian Malaysia adalah sentiasa berdiri teguh bersama rakyat Palestin, mahukan rejim Israel menghentikan penindasan serta menyokong penuh segala usaha untuk membebaskan malah memerdekakan negara Palestin.
Beliau juga menyeru agar seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberi sokongan kepada usaha kerajaan membawa suara rakyat Palestin di pentas antarabangsa dan setiap rakyat mesti mempunyai rasa sayangkan tanah air serta cintakan keamanan sejagat. Ianya selaras dengan teras MADANI antaranya Kesejahteraan, Hormat dan Ihsan.
Acara turut dimeriahkan dengan ucapan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi bersama menteri-menteri utama dalam kabinet kerajaan.
Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah dan sentiasa peka dengan keadaan yang menimpa Palestin serta berdiri teguh bersama rakyat Palestin yang ditindas. Antara usaha yang diambil adalah mengadakan Himpunan Solidariti Kemanusiaan KEDA Bersama Palestin dan kutipan tabung derma.
Seluruh warga kerja KEDA berdoa agar Palestin akan kembali bebas daripada segala kekejaman dan penindasan serta kehidupan rakyat Palestin kembali aman dan sejahtera.

Iklan Jawatan Kosong 1 Ogos 2024 – 14 Ogos 2024

ejawatan

HARI INTERAKTIF AKRAB KEDA DIHADIRI AKRAB KKDW DAN AGENSINYA

HARI INTERAKTIF AKRAB KEDA DIHADIRI AKRAB KKDW DAN AGENSINYA

ALOR SETAR – Hari Interaktif Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah berlangsung meriah dengan sambutan baik dari kakitangan KEDA.
Program ini juga turur mendapat kerjasama dari AKRAB KKDW yang hadir ke Kompleks Ibu Pejabat KEDA bersempena Kembara AKRAB KKDW ke PERDA dan KEDA.
20 orang pegawai yang terlibat dalam delegasi ini juga terdiri daripada ahli AKRAB agensi dibawah KKDW seperti RISDA, MARA, KEMAS, JAKOA, FELCRA dan KEJORA. Mereka telah diketuai oleh Ketua Pegawai Psikologi KKDW, Puan Zulaiha binti Aman dan Pegawai Psikologi KKDW yang juga merupakan Penyelaras AKRAB KKDW, Puan Norazizah binti Azizan.
Kehadiran delegasi ini telah disambut mesra oleh Pengurus Perancangan, Pemantauan dan Penilaian yang juga merupakan Pengerusi AKRAB KEDA, Encik Mohd Elias bin Hassan, Penyelaras AKRAB KEDA, Encik Muhammad Nasir bin Abdullah dan ahli AKRAB KEDA.
Program yang bermula seawal jam 9 pagi berlangsung serentak dengan bukaan reruai aktiviti seperti pertandingan mewarna terbuka staf KEDA, reruai Kenali Personaliti Diri serta reruai Kenali Diri melalui teknik mewarna yang diuruskan oleh AKRAB KKDW dan agensi.
Pada masa yang sama berlangsung sesi taklimat KEDA kepada delegasi yang hadir. Seterusnya, tepat jam 11.30 pagi, telah dianjurkan sesi bual bicara eksekutif dengan tajuk “Kerjaya dan Keluarga”.
Moderator sesi ini adalah Ketua Unit Komunikasi Korporat yang juga merupakan ahli AKRAB KEDA, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman. Dua panelis telah dijemput untuk bual bicara ini iaitu Puan Zulaiha dan Puan Norazizah sendiri.
Selesai sahaja bual bicara dan makan tengah hari, semua ahli AKRAB KKDW dan KEDA telah berkunjung ke Pusat Kesihatan Mental Komuniti Masyarakat Pendang (MENTARI PENDANG).
Selain perkongsian mengenai fungsi pusat ini, ahli AKRAB turut bersama-sama pelatih dalam mempelajari cara membuat sandwich yang diajar oleh tenaga pengajar Kolej KEDA. Ini salah satu peluang perniagaan yang boleh dijana pusat ini bersama pelatih di masa akan datang.
Alhamdulillah, semoga semua yang terlibat mandapat manfaat dan ilmu dalam program Hari Interaktif AKRAB KEDA Tahun 2024 ini. Jom kita lebih kenali dan terlibat aktiviti AKRAB.
AKRAB KEDA KE MENTARI PENDANG

AKRAB KEDA KE MENTARI PENDANG

PENDANG – Seramai 20 orang ahli Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah mengadakan lawatan ke Pusat Kesihatan Mental Komuniti Masyarakat Pendang (MENTARI PENDANG).
Turut hadir bersama adalah 20 orang pegawai AKRAB dari Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan agensi dibawahnya seperti RISDA, MARA, KEMAS, JAKOA dan KEJORA.
Ketibaan pasukan lawatan telah disambut mesra oleh Dr. Idyawati binti Abdul Karim, Pakar Psikatari Hospital Sultanah Bahiyah.
Dalam sesi taklimat, Dr. Idyawati menerangkan fungsi MENTARI yang merupakan pendekatan baharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meningkatkan jangkauan dan integrasi semula masyarakat dengan kesihatan mental.
MENTARI memudahkan akses masyarakat kepada rawatan penyakit mental dengan penekanan adalah pada rawatan diberi seawal mungkin agar keadaan pesakit tidak bertambah buruk.
Dr. Iydawati jugak turut memaklumkan peri pentingnya pengurusan kesihatan mental di kalangan masyarakat dan seharusnya pencegahan awal perlu dibuat.
Masyarakat juga perlu sedar bahawa ianya bukan satu perkara yang negatif dalam kita mengubati kesihatan mental ini.
Sesi ini bertambah menarik dengan sesi soal jawab daripada ahli AKRAB KEDA dan KKDW.
Seterusnya peserta dibawa untuk mempelajari teknik membuat sandwich yang boleh dijadikan peluang perniagaan pusat MENTARI ini.
Sesi yang melibatkan ahli AKRAB dan pelatih MENTARI PENDANG ini telah ditunjuk ajar oleh tenaga pengajar kulinari dari Kolej KEDA.
Terima kasih MENTARI PENDANG, terima kasih AKRAB KKDW, agensi dan KEDA.