LAWATAN TAPAK KE PROJEK-PROJEK PROSPEK KEDA DI SIK

LAWATAN TAPAK KE PROJEK-PROJEK PROSPEK KEDA DI SIK

SIK – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) bersama Bahagian Kemajuan Tanah dan Wilayah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengadakan Mesyuarat Penyelarasan dan Lawatan Tapak ke projek-projek Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) di daerah Sik baru-baru ini.
Hadir sama delegasi dari Pejabat KKDW Negeri dan Pejabat Daerah Sik serta KEDA dari Bahagian Perancangan, Penilaian dan Pemantauan, Bahagian Niagatani, Bahagian Pembangunan Usahawan, Bahagian Hartanah dan Prasarana dan Pejabat KEDA Zon 4 Sik.
Lawatan tapak yang diketuai oleh Bahagian Perancangan, Pemantauan dan Penilaian (BPPP) KEDA bagi melihat tahap kemajuan projek yang dilaksanakan.
Lawatan tapak dilakukan di beberapa projek antaranya, 3 Lawatan Komponen Ekonomi Fertigasi, 1 Lawatan Komponen Ekonomi Perusahaan Makan dan Minuman, 1 Lawatan Komponen Prasarana (Tandas Masjid Badrul Huda) dan 1 Lawatan Komponen Perumahan (Bina Baharu).
Besar harapan KEDA agar projek-projek ini mampu menjana ekonomi masyarakat luar bandar khususnya penduduk di daerah itu sendiri serta membantu pembangunan negeri Kedah.
KEDA TUMPU PEMBANGUNAN MINDA KREATIF ANAK-ANAK LUAR BANDAR

KEDA TUMPU PEMBANGUNAN MINDA KREATIF ANAK-ANAK LUAR BANDAR

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) komited akan memberi tumpuan kepada pembangunan minda kreatif kepada anak-anak luar bandar di negeri ini.
Pengurus Besar KEDA, Tuan Ismasuhaimi bin Shariff berkata, usaha itu dilakukan melalui Bahagian Pembangunan Komuniti (BPK) KEDA melalui Program Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Melalui Rubik’s Cube Kepada Anak-Anak Luar Bandar di Negeri Kedah.
“Ini adalah usaha pihak KEDA untuk meningkatkan keupayaan kemahiran dan pembangunan kreatif minda anak-anak luar bandar dalam menyelesaikan masalah.
“Pendidikan STEM melalui Rubik’s Cube melatih minda anak-anak untuk berfikiran kreatif dalam menyelesaikan masalah melalui permainan kiub rubik mengikut tempoh yang ditetapkan,”.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik melalui Rubik’s Cube Kepada Anak-Anak Luar Bandar di Negeri Kedah di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, di sini hari ini.
Melalui program ini, seramai 40 anak-anak luar bandar menyertai aktiviti kerana permainan Rubik’s boleh dijadikan hobi baru kepada mereka.
Program ini menarik minat peserta kerana menampilkan Pemain Rubik’s Cube terkemuka dalam Malaysia, Haris Azizan.
Pada program ini peserta diberi pendedahan asal-usul Rubik’s Cube dan teknik-teknik menyelesaikan masalah, tayangan montaj Rubik’s Cube dan pertandingan.
Program ini merupakan program siri ke 2 selepas berjaya diadakan di Desa KEDA Kampung Berjaya, Jeniang sebelumnya.
BELIA DESA KEDA DIBERI PENDEDAHAN ASAS SUKAN ARUS DERAS WHITE WATER RAFTING

BELIA DESA KEDA DIBERI PENDEDAHAN ASAS SUKAN ARUS DERAS WHITE WATER RAFTING

KULIM – 30 orang belia di daerah Kulim diberi pendedahan Kursus Asas Sukan Arus Deras White Water Rafting di Taman Eko Rimba Sungai Sedim, di sini.
Pendedahan ini adalah usaha Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) untuk memperkasakan belia dalam Wilayah KEDA agar menjadi lebih kuat, kreatif, hebat dan cemerlang.
Kursus Asas Sukan Arus Deras ini diadakan selama 2 hari dengan kerjasama Pertubuhan Jiwa Lestari yang dilantik menguruskan perjalanan kursus itu.
Kursus ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada anak-anak muda komuniti setempat di kawasan sekitar Sedim tentang aktiviti sukan White Water Rafting.
Sungai Sedim adalah salah satu tempat eko-pelancongan yang terkenal dengan aktiviti sukan arus deras di Negeri Kedah, kursus ini akan dapat memberi peluang kepada golongan muda untuk meneroka aktiviti ini yang boleh dijadikan sebagai salah satu sumber pendapatan mereka.
Selain itu, ia memberi nilai tambah kepada jurupandu rekreasi dengan memberi peluang kepada mereka untuk menambah ilmu serta mengetahui aspek teknikal dalam menjalankan aktiviti sukan arus deras.
Pada sesi awal, peserta diberi taklimat berkaitan keselamatan, peralatan dan seterusnya aktiviti water confidence dan aktiviti White Water Rafting.
Program berakhir dengan majlis penyampaian sijil kepada peserta.
KARNIVAL RAKYAT MADANI DI DESA KEDA KAMPUNG BERJAYA

KARNIVAL RAKYAT MADANI DI DESA KEDA KAMPUNG BERJAYA

KUALA MUDA – Karnival Rakyat Madani telah diadakan meriah di Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Kampung Berjaya, Jeniang di sini dengan pelbagai pengisian aktiviti sepanjang program berlangsung.
Antara aktivitinya adalah khidmat potong rambut percuma kepada anak-anak Desa KEDA yang bakal memasuki sesi persekolahan baru 2024/2025.
Selain itu terdapat juga pertandingan memasak untuk golongan wanita, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan sukan rakyat untuk pelbagai lapisan umur.
Perkhidmatan daripada beberapa agensi turut diadakan melibatkan Lembaga Zakat, Lembaga Tabung Haji (Pembukaan Akaun Percuma), Pejabat Kesihatan Daerah (Peperiksaan Kesihatan Percuma dan Pameran Ubat) serta Jabatan Perangkaan Negara (Pendaftaran PADU).
Program kecergasan diri turut tidak ditinggalkan iaitu Program Senam Robik yang diadakan kepada para ibu dan bapa serta anak-anak Desa KEDA.
Program bermula jam 8.00 pagi dan berakhir jam 5.00 petang melibatkan seluruh penduduk Desa KEDA Kampung Berjaya serta penduduk sekitar.
Program ini disempurnakan oleh Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar.
Turut hadir memeriahkan program iaitu pegawai-pegawai dari Bahagian Pembangunan Komuniti (BPK) dan Pejabat KEDA Zon 7 Kuala Muda/Yan.

KEDA HADIRI KONGRES EKONOMI BUMIPUTERA 2024

PUTRAJAYA – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) turut tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama memeriahkan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) pada tahun ini.
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff telah mengetuai delegasi KEDA ke kongres ini.
Turut hadir adalah Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, Pengurus Niagatani, Encik Sulaiman bin Mohd Noor, Pengurus Pembangunan Usahawan, Encik Mohd Ariff bin Mohd Rodzi dan Pengarah Kolej KEDA, Encik Che Ridzuan bin Mohamad Isa.
Selain itu yang turut hadir adalah Penolong Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohamad Nasri bin Ahmad Shukri, Penolong Pengurus Niagatani, Encik Mohd Nabil bin Jaffri, Penolong Pengarah Kolej KEDA, Encik Luqman bin Nazari, Pegawai Pembangunan KEDA Zon 2, Padang Terap, Encik Khairul Ridhwan bin Abd Aziz@Abd Razak, Puan Noor Halinda binti Awang dan Encik Mohamad Taufik bin Rosli dari Bahagian Pembangunan Usahawan.
KEB 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 Februari 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) ini adalah bertujuan memperluas agihan ekonomi dan mengembangkan lagi ekonomi Bumiputera selaras dengan kerangka ekonomi MADANI.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja kongress ini telah merasmikan program ini.
Kongres ini lebih bermakna apabila Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim sendiri telah menyempurnakan upacara penutup kongres ini.
Dengan tema Positif, Progresif, Inovatif, semoga KEB 2024 ini mencetuskan anjakan usaha memperkasa agenda ekonomi Bumiputera di negara Malaysia tercinta ini.
CERAMAH PERDANA ISRAK MIKRAJ DAN MARHABAN YA RAMADAN DESA KEDA BANDAR

CERAMAH PERDANA ISRAK MIKRAJ DAN MARHABAN YA RAMADAN DESA KEDA BANDAR

BALING – Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Zon 5, Baling meneruskan promosi dua hari agung dalam kalendar Islam ini dengan menganjurkan ceramah Israk Mikraj dan Marhaban Ya Ramadhan.
Ceramah yang diadakan di Desa KEDA Bandar, di sini menampilkan tokoh yang terkenal di negeri ini iaitu Mantan Pegawai Hal Ehwal Islam Negeri Kedah, YBhg. Dato’ Syeikh Ahmad Faisol bin Hj Omar.
Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar telah mewakili Pengurus Besar KEDA sebagai tetamu dan menyempurnakan ceramah ini.
Turut hadir adalah Penolong Pengurus Perancangan, Pemantauan dan Penilaian, Puan Nur Idawati bin Abd Wahab serta barisan kakitangan Ibu Pejabat, staf Pejabat KEDA Zon 5, Baling dan pegawai kerajaan tempatan.
Majlis telah dimulakan dengan aluman Qasidah yang disampaikan oleh anak muda Desa KEDA Bandar. Turut diselitkan soalan kuzi setelah ceramah selesai.
Selamat bertemu Ramadan yang mulia dan semoga kita mendapat manfaat darinya.
PUSPANITA KEDA KE GALERI AURA ISLAM DEKATI ARTIFAK ISLAM

PUSPANITA KEDA KE GALERI AURA ISLAM DEKATI ARTIFAK ISLAM

ISKANDAR PUTERI – Sejarah Islam merupakan sejarah yang cukup indah dan wajar dikaji oleh umat Islam. Ini penting agar cerita sejarah ini menjadi ikutan atau pengiktibaran dalam kita meneruskan kehidupan sebagai hamba Allah di muka bumi ini.
Berteraskan falsafah tersebut, ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah berkunjung ke Galeri Aura Islam, di sini.
40 orang ahli yang hadir dalam rombongan ini telah berkesempatan melihat dengan lebih dekat artifak-artifak peninggalan Islam terdahulu.
Galeri Aura Islam adalah merupakan satu-satunya galeri di benua Asia yang menyimpan, memulihara dan mempamerkan lebih dari 200 artifak-artifak asli yang terdiri daripada koleksi Rasulullah SAW dan tamadun Islam dahulu.
Terdapat lebih 200 artifak asli yang terdapat disini seperti rambut dan capal baginda Rasulullah SAW, barangan astronomi Islam dan koleksi kain kiswah Kaabah.
Semoga dengan kunjungan ini dapat menambahkan ilmu dan kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Sesungguhnya Agama Islam ini indah, mari kita teruskan pamerkan keindahannya agar lebih ramai tertarik dan menganutinya.
LAWATAN PUSPANITA KEDA KE KEJORA

LAWATAN PUSPANITA KEDA KE KEJORA

KOTA TINGGI – Seramai 40 orang ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah mengadakan lawatan ke Lembaga Kemajuan Wilayah Johor Tenggara (KEJORA).
Delegasi PUSPANITA KEDA telah diketuai oleh Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil KEDA yang juga merupakan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Hajah Afifah binti Haji Omar hadir ke KEJORA bagi mendapatkan pendedahan mengenai gerak kerja operasi KEJORA yang juga merupakan salah satu agensi Lembaga Kemajuan Wilayah dibawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Selain itu, lawatan ini adalah sebagai wadah mengeratkan silaturrahim selain berkongsi pandangan mengenai pembangunan PUSPANITA masing-masing di masa akan datang.
Kehadiran delegasi PUSPANITA KEDA telah disambut mesra oleh Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil KEJORA, Puan Marlina binti Amir yang juga Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEJORA.
Seusai tiba, rombongan dibawa melawat Ibu Pejabat KEJORA dan mendengar taklimat fungsi KEJORA dari wakil agensi tersebut. Seterusnya, rombongan dibawa berkunjung ke Industri Kecil Sederhana (IKS) Bandar Mas dan Rumah Rakit Kampung Johor Lama.
Terima kasih kepada pihak KEJORA yang sudi menerima kunjungan dari PUSPANITA KEDA. Semoga ukhuwah yang terjalin kekal erat sehingga ke akhirnya.
SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ DI DESA KEDA TELUK TEDURI, BALING

SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ DI DESA KEDA TELUK TEDURI, BALING

BALING- Pejabat KEDA Zon 5, Baling terus menganjurkan program penghayatan sempena Sambutan Israk dan Mikraj 1445H.
Program mendapat kerjasama jawatankuasa Pasukan Perancang Pelaksana Program (4P), Program Ceramah Israk Mikraj telah diadakan di Surau Desa KEDA Teluk Teduri, Baling di Bawah Pejabat KEDA Zon 5, Baling.
Program bermula pada sebelah siang dengan aktiviti gotong-royong membersih kawasan surau dan sekitar kampung kemudiannya, program disambung pada sebelah malam dengan program ceramah selepas selesai solat maghrib berjemaah.
Program ceramah Peristiwa Israk dan Mikraj yang disampaikan diharap dapat memperkukuhkan pegangan akidah dan mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa yang diperlihatkan oleh Allah SWT kepada Nabi SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj itu.
KEDA KOMITED PERKASA KOMUNITI BEBAS DADAH

KEDA KOMITED PERKASA KOMUNITI BEBAS DADAH

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) komited terus memperkasakan komuniti Desa KEDA dalam wilayahnya agar bebas dadah dan ke arah melahirkan Pembangunan Desa Lestari.
Usaha ini dilakukan melalui Program Kluster Komuniti iaitu Community Empowerment (CE) Pejabat KEDA Zon 4, Sik bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sik dan Unit Narkotik Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Daerah Sik.
Program yang diadakan di KEDA Resort Bendang Man, Sik itu bertujuan memberi pendedahan kepada pemimpin masyarakat terutamanya kepimpinan Ahli Jawatankuasa 4P Desa KEDA Daerah Sik berkaitan penyalahgunaan dadah, substans dan pelencongan sosial serta cara menangani masalah tersebut dengan lebih efektif.
Selain itu, melalui program ini semangat kerjasama di antara pemimpin komuniti dengan agensi dapat dipupuk justeru menggalakkan percambahan idea di kalangan peserta untuk perancangan program-program bagi menangani masalah ini.
Turut menjayakan program iaitu Pegawai Pembangunan Zon 4, Sik, Encik Mohd Noor Farzli bin Adenan, Ketua Pegawai AADK Daerah Sik, Puan Maznah binti Maszar dan Ketua Bahagian Narkotik IPD Sik, Inspektor Mohd Nazri bin Mohd Nasir.
Antara pengisian program ini ialah ceramah berkaitan senario dadah dan peranan komuniti, serta sesi soal jawab bersama agensi.