SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ PERINGKAT DESA KEDA BAGAN SENA

KULIM – Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan antara tanda kekuasaan Allah SWT yang diperlihatkan kepada hamba-Nya.
Peristiwa yang mengandungi seribu satu hikmah dan mukjizat ini amat besar nilainya di sisi orang-orang muslim dan ia kekal terpahat dalam lipatan sejarah Islam.
Justeru, Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Zon 6, Kulim meraikan sambutan tersebut dengan menganjurkan Ceramah Agama di Desa KEDA Bagan Sena, Kulim Kedah.
Ceramah sempena Majlis Sambutan Israk dan Mikraj tersebut disampaikan oleh Ketua Unit Agama Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bukit Mertajam, Ustaz Ahmad Fikri bin Abid.
Program Israk dan Mikraj ini diadakan di Surau Desa KEDA Bagan Sena dengan tajuk Memperingati Israk dan Mikraj.
Dalam ceramahnya, beliau antara lain mengajak umat Islam memperbanyakkan amal ibadah termasuk menunaikan solat lima waktu sehari semalam kerana pada awalnya Allah SWT memerintahkan mendirikan sebanyak 50 waktu namun Rasulullah SAW memohon agar dikurangkan sehingga perintah solat menjadi lima waktu sehari semalam seperti hari ini.
Turut dikongsi iaitu perintah solat lima waktu ini sangat dipegang erat oleh Rasulullah SAW dan Baginda sangat menitikberatkan kepada umat Baginda supaya tidak meninggalkan solat lima waktu kerana ia adalah tiang agama Islam dan kunci agar diterima segala amalan di dunia.

KETUA SETIAUSAHA KKDW MELAWAT DESA KEDA TELUK BEREMBANG DAN PROJEK LEKOSHOW PULAU TUBA

LANGKAWI – Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YBhg. Dato’ Sri Ramlan bin Dato Harun telah mengadakan lawatan kerja ke Kedah dan memulakan sesi lawatan dengan melawat sekitar Desa KEDA Teluk Berembang, di sini.
Sesi lawatan yang diurus selia oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) ini bermula 18 Februari 2024 sehingga 20 Ferbruari 2024.
Dato’ Sri KSU KKDW telah dibawa melawat Desa KEDA Teluk Berembang, salah satu desa KEDA yang terdapat di Langkawi.
Desa KEDA Teluk Berembang telah dibina pada tahun 2003. Desa ini terdiri daripada 56 buah rumah dan memiliki anggaran penduduk seramai 210 orang.
Dato’ Sri KSU KKDW turut singgah dan melawat projek LEKOSHOW di desa yang sama.
LEKOSHOW adalah projek ekonomi dibawah program Women Biz Entrepreneurship yang diuruskan oleh Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU).
Kelainan keropok lekor LEKOSHOW ini adalah menggunakan ikan kebasi yang banyak terdapat di sini.
Turut hadir dalam sesi lawatan ini adalah Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Hajah Afifah binti Haji Omar.
Selain itu, turut terlibat dalam lawatan ini adalah Pengurus Perancangan, Pemantauan dan Penilaian, Encik Elias bin Hassan, Pengurus Niagatani, Encik Sulaiman bin Mohd Noor, Pengurus Pembangunan Usahawan, Encik Mohd Ariff bin Mohd Rodzi, Pegawai Pembangunan KEDA Zon 1, Langkawi, Encik Othman bin Hashim dan staf Pejabat KEDA Zon 1, Langkawi.

SESI DISKUSI BERSAMA KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF LADA

LANGKAWI – Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YBhg. Dato’ Sri Ramlan bin Dato’ Harun telah mengadakan pertemuan ringkas bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Langkawi (LADA), YBhg. Dato’ Haslina binti Abdul Hamid, di sini.
Pertemuan yang berlangsung secara ringkas dan sederhana ini padat dengan diskusi melibatkan projek-projek pembangunan KEDA serta jalinan kerjasama promosi melibatkan dua agensi ini.
Turut hadir dalam sesi ini adalah Pengurus Besar KEDA, YBhg Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dan Timbalan Pengurus (Pengurusan), Hajah Afifah binti Haji Omar.
Selain itu, turut terlibat adalah Pengurus Perancangan, Pemantauan dan Penilaian, Encik Elias bin Hassan, Pengurus Niagatani, Encik Sulaiman bin Mohd Noor, Pengurus Pembangunan Usahawan, Encik Mohd Ariff bin Mohd Rodzi, Pegawai Pembangunan KEDA Zon 1, Langkawi, Encik Othman bin Hashim dan staf Pejabat KEDA Zon 1, Langkawi.
Semoga pertemuan ini dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala antara dua agensi lembaga kemajuan ini.

SAMBUTAN ISRAK MIKRAJ PERINGKAT DESA KEDA KUBANG KENYENG, PADANG TERAP

PADANG TERAP – Pejabat KEDA Zon 2, Padang Terap turut tidak melepaskan peluang bagi mengimarahkan hari kebesaran Islam iaitu Sambutan Israk dan Mikraj dengan menganjurkan ceramah agama peringkat Desa KEDA Kubang Kenyeng baru-baru ini.
Ceramah khas sempena Sambutan Israk dan Mikraj telah disampaikan oleh Mudir Madrasah dan Imam Masjid As Saadah Kariah Kubang Kenyeng, Ustaz Saidon bin Adam.
Ceramah cenderung kepada seruan penduduk desa agar menghayati makna di sebalik peristiwa Israk dan Mikraj serta mengeratkan hubungan baik antara KEDA dengan penduduk sekitar.
Ceramah diadakan selepas solat Isya itu dihadiri 100 penduduk Desa KEDA dan sekitar.
Antara perkara yang disentuh dalam ceramahtersebut adalah peri pentingnya kekuatan iman dalam mempercayai peristiwa israk dan mikraj yang berlawanan dengan akal manusia yang waras.
Beliau menceritakan beberapa kisah di dalam Al-Quran dan hadis seperti peristiwa sepanjang perjalanan nabi dalam peristiwa Israk Mikraj, antaranya yang mengaitkan balasan dengan amalan kehidupan manusia di atas dunia sementara ini.

KEDA TERUSKAN KOLABORASI PROGRAM BERSAMA JABATAN PENDIDIKAN NEGERI KEDAH

ALOR SETAR – Bagi memastikan pendidikan luar bandar di negeri Kedah ini dapat terus dipertingkatkan, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) akan meneruskan jalinan kerjasama bersama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPN Kedah) bagi tahun 2024 ini.
Terbaharu, Bahagian Pembangunan Komuniti telah mengadakan pertemuan dengan pihak JPN Kedah berkenaan rancangan kolaborasi ini. Pertemuan ini telah berlangsung di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, di sini.
KEDA telah diwakili Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar dan pegawainya, Puan Aida Suzani binti Ishak manakala pihak JPN Kedah pula diwakili oleh Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembelajaran, Encik Malek bin Abu Hassan.
Sebagai informasi, pada tahun 2022, KEDA dan JPN Kedah telah menjalinkan kolaborasi dalam melaksanakan Program Tuisyen Pintar@KEDA.
Program ini telah melibatkan 113 buah sekolah di seluruh negeri Kedah dan hampir 4,000 pelajar mendapat manfaat daripada kerjasama program ini terutama dalam menyediakan kelas intensif kepada para murid.
Semoga jalinan kolaborasi antara dua agensi ini akan terus mekar dalam memartabatkan pendidikan di luar bandar khususnya dan negeri Kedah amnya.

KEDA BERSAMA PUSPANITA SELAMI KESEDIHAN KAKITANGAN DITIMPA MUSIBAH

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Bahagian Khidmat Pengurusan, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) dan Kelab Kebajikan, Sukan dan Kebudayaan KEDA melahirkan rasa simpati di atas kejadian yang menimpa keluarga Cik Amirah binti Ahmad, 29, kakitangan KEDA yang ditimpa musibah kebakaran baru-baru ini.
Cik Amirah merupakan kakitangan KEDA yang kini berkhidmat di Pejabat KEDA Zon 9, Bandar Baharu tinggal bersama kedua ibu bapa dan seorang kakak serta seorang adik lelaki di rumah dekat Kampung Alor Ibus, Mukim Tebengau di sini.
Kejadian yang berlaku pada jam 12.30 tengahari pada 8 Februari menyebabkan bahagian hadapan rumah mereka rosak dan ayahnya mengalami kecederaan di bahagian badan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.
Cik Amirah yang mengalami kecederaan di bahagian lengan memberitahu bahawa kejadian berpunca dari tong minyak petrol yang biasa digunakan untuk ke laut.
Ziarah kasih yang diketuai oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) dan Pengerusi PUSPANITA KEDA, Puan Hajah Afifah binti Haji Omar melahirkan rasa simpati ke atas kejadian yang menimpa dan berharap agar mangsa sekeluarga tabah dalam menghadapi dugaan yang menimpa.
Turut hadir, Ketua Unit Pentadbiran Am KEDA, Encik Mohd Khairul bin Ahmad.
Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) telah menyampaikan sumbangan wang tunai dan bantuan keperluan asas untuk meringankan beban keluarga.

KUNJUNGAN HORMAT PENGURUS BESAR KEDA.

ALOR SETAR – Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali menerima kunjungan hormat Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Ismasuhaimi Shariff di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Pertemuan ringkas ini bertujuan mengeratkan hubungan kerjasama di antara KEDA bersama Kerajaan Negeri Kedah ke arah memajukan pembangunan ekonomi dan sosial serta menumpukan pembangunan infrastruktur termasuk pertanian dan perindustrian bagi memastikan jurang kemiskinan dikurangkan selain mewujudkan keseimbangan antara kawasan bandar dan luar bandar dalam wilayah KEDA.
Hadir sama Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Khairul Azmeer Abu Bakar dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Afifah Omar.
Sumber: Warta Kedah

BENGKEL IPPK MANTAPKAN PENGURUSAN KEPIMPINAN DESA KEDA BAGAN SENA, KULIM

LANGKAWI – Pengurusan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Pejabat KEDA Zon 6, Kulim terus memperkasakan Jawatankuasa Pasukan Perancang Pelaksana Program (4P) ke arah melahirkan kepimpinan yang berkualiti dan cemerlang.
Bengkel Institusi Pentdbiran Peringkat Kampung (IPPK) diadakan selama 3 hari 2 malam di Langkawi dihadiri seramai 20 Jawatankuasa 4P dan Belia Desa Bagan Sena, Kulim.
Peserta yang menyertai kursus ini di beri pendedahan pengurusan dan pentadbiran kampung yang menyeluruh dalam persediaan cabaran kepimpinan desa masa kini.
Selain itu, kursus ini bertujuan menyuntik semangat kerjasama sesama jawatankuasa dalam mentadbir desa KEDA masing-masing.
Pengisian aktiviti program yang lengkap dapat memberikan pendedahan kepada semua jawatankuasa 4P dan pertubuhan belia sangat bertepatan dalam menambahkan ilmu pengetahuan untuk mereka dalam pengurusan kampung yang lengkap dan tersusun.
Dengan penglibatan oleh Local Champion yang dilantik iaitu Encik Badrul Hisham bin Che Li yang menyampaikan taklimat sepanjang program yang dijalankan.
Bengkel yang dijalankan amatlah bersesuaian dalam memberikan pendedahan kepada semua 4P dan pertubuhan belia dalam menguruskan kampung dengan lebih cemerlang.

SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ DI DESA KEDA KELEDANG, BALING

BALING – Pejabat KEDA Zon 5, Baling terus menganjurkan program ceramah agama sempena sambutan Israk dan Mikraj.
Kali ini dengan kerjasama jawatankuasa Pasukan Perancang Pelaksana Program (4P), Program Israk dan Mikraj 2024/1445H telah diadakan di Surau Desa KEDA Keledang, Baling.
Ceramah Israk dan Mikraj telah disampaikan oleh Pegawai Psikologi Pejabat Kesihatan Daerah Baling, Ustazah Nur Afiqah binti Hj Majmud atau lebih dikenali dengan Dai’ Afiqah.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah dan diteruskan dengan majlis ilmu iaitu ceramah mengenai Peristiwa Israk Mikraj yang telah menjadi salah satu pembuktian keimanan terhadap kebenaran Baginda SAW kerana ia merupakan satu mukjizat.
Antara lain yang dikongsi iaitu peristiwa Israk Mikraj ini, menghubungkan antara dua Masjid besar iaitu Masjid Al-Haram di Makkah dan Masjid Al-Aqsa di Palestin, sebelum Baginda SAW dinaikkan ke langit. Kedua-duanya merupakan masjid suci bagi kaum Muslimin.

KEISTIMEWAAN ISRAK DAN MIKRAJ DIKONGSI KEPADA PENDUDUK DESA KEDA BANGGOL PETAI, BALING

BALING – Sambutan Israk Mikraj adalah satu peristiwa penting bagi umat Islam. Peristiwa paling agung dalam sejarah Islam ini dianggap sebagai satu anugerah daripada ALLAH SWT.
Bagi memperingati peristiwa ini, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Pejabat Pembangunan Zon 5, Baling dengan kerjasama Jawatankuasa Pasukan Perancang, Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Banggol Petai telah mengadakan ceramah Israk dan Mikraj yang bertajuk Keistimewaan Perjalanan Israk dan Mikraj. Ceramah ini dikongsi kepada penduduk Desa KEDA dan setempat oleh penceramah jemputan, Ustazah Nur Afiqah binti Mahmud.
Antara yang dikongsi iaitu Israk Mikraj memperlihatkan bahawa kekuasaan ALLAH SWT mengatasi peraturan kebiasaan alam. Bayangkan, perjalanan yang biasanya memakan tempoh sebulan pergi dan sebulan pulang, hanya berlaku pada waktu separuh malam sahaja.
Israk Mikraj bukan sahaja membuktikan kuasa ALLAH SWT, tetapi turut menjadi bukti kepentingan Baitul Maqdis di Palestin.