MAJLIS IFTAR RAMADAN MERIAHKAN PENDUDUK DESA KEDA BUKIT ULAR

MAJLIS IFTAR RAMADAN MERIAHKAN PENDUDUK DESA KEDA BUKIT ULAR

PADANG TERAP – Majlis Iftar Ramadan yang diadakan di Desa KEDA Bukit Ular berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan dan keberkatan apabila kira-kira 100 orang jemaah dari kalangan penduduk setempat hadir bagi meraikan keberkatan bulan Ramadan.
Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil ringkas sebelum masuk waktu berbuka puasa.
Selepas menikmati hidangan berbuka, para jemaah menunaikan solat Maghrib secara berjemaah, diikuti dengan solat Isyak dan solat sunat Tarawih, yang menambahkan lagi keberkatan majlis ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Puan Norhafizah binti Mashor, yang mewakili Pegawai Pembangunan Zon 2 Padang Terap. Kehadiran beliau bersama Encik Mohd Syaril bin Idris dan Encik Mohamad Khalil bin Abdullah dari Pejabat KEDA Zon 2 Padang Terap, serta Encik Abdul bin Ibrahim, Pengerusi JPKKP Kampung Kubang Palas, mencerminkan komitmen dalam memperkukuhkan hubungan antara masyarakat setempat.
Sepanjang majlis, suasana mesra dan ukhuwah jelas dirasai apabila penduduk dapat berkumpul serta mengeratkan silaturahim sambil memperbanyakkan amalan ibadah dalam bulan yang penuh keberkatan ini.
Inisiatif seperti ini bukan sahaja memupuk semangat perpaduan, malah menghidupkan budaya keagamaan dalam komuniti Desa KEDA Bukit Ular.
MAJLIS IFTAR DESA KEDA BUKIT KURA PERKUKUH UKHWAH PENDUDUK

MAJLIS IFTAR DESA KEDA BUKIT KURA PERKUKUH UKHWAH PENDUDUK

PADANG TERAP – Majlis Iftar Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Bukit Kura yang dianjurkan oleh Pejabat KEDA Zon 2, Padang Terap dengan kerjasama Jawatankuasa 4P Desa KEDA Bukit Kura telah berlangsung dengan jayanya semalam.
Majlis ini dihadiri oleh kira-kira 150 orang penduduk setempat, mencerminkan semangat kebersamaan dan keakraban dalam menghayati keberkatan bulan Ramadan.
Program dimulakan sekitar jam 7.00 malam dengan bacaan tahlil ringkas yang diketuai oleh Ustaz Ahmad bin Mohamad Amin, diikuti dengan majlis berbuka puasa bersama.
Setelah itu, para hadirin menunaikan solat Maghrib, Isyak, serta solat sunat Tarawih secara berjemaah, mengimarahkan lagi suasana Ramadan dalam komuniti.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Pegawai Pembangunan KEDA Zon 2, Encik Shahurin bin Md Isa, bersama Puan Norhafizah binti Mashor selaku Penyelia Desa KEDA Bukit Kura.
Turut hadir ialah Encik Syaril bin Idris, Puan Faiznur binti Mohd Radzhi, serta Penolong Pengurus Bahagian Hartanah dan Prasarana KEDA, Puan Idawati binti Wahab.
Menurut pihak penganjur, majlis ini bukan sekadar acara berbuka puasa, tetapi juga berfungsi sebagai platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk dan pegawai KEDA dan ia juga mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuhkan ukhuwah dan menghidupkan suasana Ramadan dalam komuniti.
Pejabat KEDA Zon 2 merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jawatankuasa 4P dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan majlis ini.
Semoga segala usaha yang dilakukan mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT.
KEKALKAN KECEMERLANGAN AGENSI DEMI RAKYAT

KEKALKAN KECEMERLANGAN AGENSI DEMI RAKYAT

ALOR SETAR – Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom menyeru seluruh pegawai dan kakitangan KEDA agar mengekalkan kecemerlangan dengan pelantikan kepimpinan baharu Pengurus Besar KEDA, Puan Hajah Afifah binti Haji Omar, yang dilantik pada 2 Mac 2025.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KEDA yang berlangsung di Hotel Raia, Alor Setar.
“Saya berharap agar seluruh warga KEDA konsisten mengekalkan kecemerlangan agar agensi ini dapat membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut menekankan agar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dapat terus membantu KEDA dalam usaha memperkasakan pembangunan luar bandar di Kedah.
Pada majlis tersebut, seramai 33 pegawai dan kakitangan KEDA menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebagai penghargaan atas dedikasi dan kecemerlangan dalam tugas masing-masing.
Beliau berharap penerima anugerah ini terus mengekalkan prestasi terbaik dalam menyumbang kepada kejayaan organisasi.
HUBUNGAN BAIK ANTARA KEDA DENGAN PEMIMPIN MASYARAKAT DAPAT MEMUDAHKAN PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

HUBUNGAN BAIK ANTARA KEDA DENGAN PEMIMPIN MASYARAKAT DAPAT MEMUDAHKAN PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

Mahang – Dalam melaksanakan usahanya untuk membangunkan sosio-ekonomi dan modal insan masyarakat luar bandar, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) perlu memastikan adanya hubungan baik dengan pemimpin masyarakat tempatan.
Ini penting dalam memastikan pembangunan yang strategik dapat dilaksanakan dan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan serta memenuhi syarat.
Perkara ini diucapkan oleh YBhg. Datuk Haji Muhar bin Hussain, Pengerusi GiatMara Parlimen Kulim/Bandar Baharu, semasa merasmikan Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 di pekarangan Surau At-Taqwa, Desa KEDA Dingin, Mahang, Kulim.
Beliau menyifatkan pendekatan yang diambil KEDA selama ini iaitu berbincang dan menjaga hubungan baik dengan pemimpin masyarakat tempatan perlu diteruskan agar bantuan yang akan disalurkan, tepat kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan menepati syarat permohonan.
Malah dengan melibatkan pemimpin tempatan, masyarakat dapat digerakkan untuk menjayakan aktiviti sosial yang dianjurkan KEDA atau agensi kerajaan yang lain.
YBhg. Datuk Muhar yang hadir bersama delegasi pimpinan bahagian Kulim/Bandar Baharu, mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada KEDA atas kejayaan mengadakan majlis iftar yang melibatkan penduduk Desa KEDA, khususnya di Desa KEDA Dingin, Kulim.
Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Timbalan Pengerusi KEDA, YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir bin Haji Wan Sulaiman, Pengurus Niagatani, Encik Sulaiman bin Mohd Noor, Pengarah Kolej KEDA, Encik Che Ridzuan bin Mohamad Isa dan Pegawai Pembangunan KEDA Zon 6 Kulim, Encik Muhammad Hakim bin Ahmad Nadzir.
Dalam majlis berkenaan, sebanyak 30 bakul makanan turut disumbangkan kepada penerima terpilih terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan dalam kalangan penduduk Desa KEDA Dingin dan Kampung Dingin yang terletak bersebelahan dengan Desa KEDA ini. Sumbangan berkenaan disampaikan sendiri oleh YBhg. Datuk Muhar bersama YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir.
Penduduk yang ditemui mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai KEDA yang hadir dari dekat dan jauh, malah dari Ibu Pejabat KEDA Alor Setar, memandangkan kedudukan Desa KEDA Dingin yang terletak jauh di selatan negeri Kedah dan bersebelahan pula dengan daerah Selama di negeri Perak.
Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 peringkat Parlimen Kulim/Bandar Baharu.
KEDA RAI 33 PEGAWAI TERIMA ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2024

KEDA RAI 33 PEGAWAI TERIMA ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2024

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) meraikan seramai 33 pegawai yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2024 dalam satu majlis penghargaan yang diadakan di Hotel Raia, Alor Setar.
Penganugerahan ini disempurnakan oleh Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom bersama Pengurus Besar KEDA, YBhg. Puan Hajah Afifah binti Haji Omar.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi KEDA, YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir bin Haji Wan Sulaiman , Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, YB Dato’ Ustazah Hajah Siti Ashah binti Haji Ghazali, serta Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YBhg. Dato’ Afandi bin Nordin.
Dalam ucapannya, Puan Hajah Afifah menekankan bahawa penganugerahan APC adalah simbol penghargaan kerajaan terhadap dedikasi dan prestasi cemerlang penjawat awam.
“Pelbagai kejayaan telah ditempa oleh KEDA sepanjang tahun lalu hasil kerja keras dan komitmen semua pihak dalam memartabatkan nama agensi ini. Walaupun anugerah bukanlah matlamat utama, keinginan untuk menjadi yang terbaik sentiasa terpahat dalam jiwa setiap warga KEDA,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penjawat awam merupakan benteng utama dalam memastikan perkhidmatan awam berfungsi dengan cekap dan berkesan dalam menjayakan agenda transformasi negara.
“Setiap warga KEDA perlu berkongsi visi yang sama dan saling membantu dalam merealisasikan matlamat ini.
“Dalam menghadapi cabaran mendatang, kita harus bersedia dengan minda terbuka dan menerima perubahan demi kemajuan yang lebih baik,” tambahnya.
Beliau berharap pengiktirafan ini menjadi motivasi kepada semua penerima untuk terus mengekalkan kecemerlangan, selain menjadi contoh kepada rakan sejawat dalam membudayakan perkhidmatan terbaik di KEDA.
——————————-
📸 Untuk mendapatkan gambar-gambar aktiviti di atas, sila klik pautan berikut:
——————————
PEMBANGUNAN LUAR BANDAR TERUS JADI AGENDA UTAMA KERAJAAN PERSEKUTUAN

PEMBANGUNAN LUAR BANDAR TERUS JADI AGENDA UTAMA KERAJAAN PERSEKUTUAN

PENDANG – Kerajaan persekutuan sedia ada di bawah pimpinan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim terus memberikan peruntukan yang besar dan komitmen tidak berbelah bahagi dalam agenda pembangunan luar bandar.
Malah agenda ini terus diperkasa dengan pelbagai projek dan program strategik serta berimpak tinggi di bawah seliaan secara langsung oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi.
Penjelasan berkenaan disampaikan oleh YBhg. Dato’ Suraya binti Yaacob, Setiausaha Politik kepada YB Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, semasa merasmikan Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 Peringkat Parlimen Pendang di Desa KEDA Lahar Tunjung, di sini.
Walau diiringi suasana hujan, YBhg. Dato’ Suraya berharap agar masyarakat luar bandar menghargai segala peruntukan yang telah diberikan oleh kerajaan persekutuan, juga berterima kasih kepada pihak yang bertungkus lumus menjalankan tugas sepertii Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan agensinya seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
Majlis iftar yang menerima kehadiran lebih 350 orang termasuk pegawai KEDA yang bertugas di Kompleks Ibu Pejabat KEDA Alor Setar, berlangsung dalam suasana harmoni walau disinggahi hujan lebat untuk seketika.
Penduduk Desa KEDA sekitar seperti Desa KEDA Tanjung Setol, Desa KEDA Hujung Keton, Desa KEDA Asam Jawa dan Desa KEDA Paya Lipai juga hadir dengan menaiki bas untuk sama-sama memeriahkan majlis.
Turut hadir dalam majlis ini adalah Pengurus Hartanah dan Prasarana, Encik Mohd Elias bin Hassan, Pengurus Pembangunan Usahawan, Encik Rojani bin Romeli dan Pegawai Pembangunan KEDA Zon 3, Pendang/Pokok Sena, Encik Mohd Hafiz bin Ahmad.
Penduduk yang ditemui menyifatkan Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 ini sebagai pentas untuk penduduk kampung mengeratkan hubungan dengan warga kerja KEDA yang telah banyak membantu mereka dalam pelbagai urusan pembangunan sosio-ekonomi dan modal insan.
Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 di Desa KEDA Lahar Tunjung, Pendang.
Salam Ramadan Kareem.
DESA KEDA GULAU DAN DESA KEDA TELAGA BATU MERIAHKAN SIRI IFTAR DAERAH SIK

DESA KEDA GULAU DAN DESA KEDA TELAGA BATU MERIAHKAN SIRI IFTAR DAERAH SIK

SIK – Kemeriahan Majlis Iftar Ramadan Daerah Sik diteruskan di Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dengan Desa KEDA Gulau dan Desa KEDA Telaga Batu menjadi lokasi seterusnya.
Ia adalah bagi menzahirkan semangat kebersamaan serta keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
Seperti tradisi, program dimulakan dengan Ziarah Kasih serta penyampaian sumbangan bakul makanan kepada warga Desa KEDA yang uzur dan terlantar sakit.
Inisiatif ini telah disempurnakan oleh pimpinan Bahagian Sik bersama Jawatankuasa Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) desa berkenaan selain pencetus kelaianan dari Pegawai Pembangunan KEDA Zon 4, Sik, Encik Mohd Noor Farzli bin Adenan.
Di Desa KEDA Telaga Batu, kemeriahan Ramadan dirasai lebih awal apabila penduduk bergotong-royong dalam Program Kacau Bubur Lambuk Komuniti Madani, yang dijalankan dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Sik.
Aktiviti ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah mencerminkan nilai budaya masyarakat yang saling membantu.
Majlis turut diisi dengan tahlil ringkas sebelum tiba waktu berbuka puasa, menjadikan program ini lebih bermakna.
Pejabat KEDA Zon 4, Sik merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa 4P serta penduduk kampung yang telah menjayakan program ini dengan penuh semangat kemasyarakatan.
SIRI JELAJAH MAJLIS IFTAR KEDA MADANI DITERUSKAN DI DESA KEDA PASIR PUTIH

SIRI JELAJAH MAJLIS IFTAR KEDA MADANI DITERUSKAN DI DESA KEDA PASIR PUTIH

PADANG TERAP – Siri jelajah Majlis Iftar KEDA Madani Daerah Padang Terap diteruskan dengan penganjuran di Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Pasir Putih, melibatkan kehadiran lebih 140 orang penduduk.
Dengan konsep menyatuni penduduk desa melalui aktiviti berbuka puasa, iftar berjemaah ini adalah merupakan amalan tradisi KEDA bersama kumpulan sasarnya.
Lebih menarik, setiap desa KEDA yang menjadi lokasi perdana akan menerima kehadiran kumpulan besar staf KEDA yang turut memeriahkan program ini.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran pegawai dari Pejabat KEDA Zon 2, iaitu Encik Maswari Bin Mohammad Radzhi dan Encik Syaril bin Idris, serta Pegawai Penerangan Daerah Padang Terap, Encik Muhamad Fiteri Bin Abdul Manap.
Acara dimulakan dengan majlis tahlil, diikuti dengan berbuka puasa bersama, serta solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah.
Pejabat KEDA Zon 2, Padang Terap merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa 4P Desa KEDA Pasir Putih atas usaha menjayakan majlis ini serta sokongan padu daripada penduduk setempat.
KEDA SERAHKAN DIVIDEN LADANG SEJAHTERA

KEDA SERAHKAN DIVIDEN LADANG SEJAHTERA

Sik – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) berjaya menyerahkan dividen Ladang Sejahtera Sik kepada para penerimanya seramai 10 orang, semasa Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 peringkat Parlimen Sik yang diadakan di Desa KEDA Sungai Senam di sini.
Penyerahan dividen berkenaan disampaikan sendiri oleh YBhg. Dato’ Muhamad Khizri bin Abu Kasim, Pengerusi KEDA Resort and Holidays Sdn Bhd.
Beliau yang hadir menyempurnakan majlis berkenaan berkata bahawa penyerahan dividen ini membuktikan KEDA sentiasa prihatin dan komited untuk membantu golongan miskin tegar dan B40 dalam kawasan operasinya, termasuk dalam daerah Sik.
Beliau turut menyatakan bahawa pemberian dividen ini menunjukkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sentiasa mematuhi tanggungjawab untuk memartabatkan masayarakat dan kawasan luar bandar.
Seramai 300 orang terdiri golongan dewasa, remaja malah kanak-kanak dan warga emas, hadir menjayakan majlis.
Antara pegawai tertinggi KEDA yang hadir adalah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dan Pengurus Niagatani, Encik Sulaiman bin Mohd Noor
Selain itu, majlis turut dihadiri Pengarah Kolej KEDA, Encik Che Ridzuan bin Mohamad, Pengurus Khidmat Pengurusan, Encik Mohd Ariff bin Mohd Rodzi serta Pegawai Pembangunan KEDA Zon 4 Sik, Encik Mohd Noor Farzli bin Adenan.
Projek Ladang Sejahtera Agropolitan Sik ini adalah merupakan projek tanaman getah yang berkeluasan 100 hektar.
Projek ini melibatkan 50 orang peserta Miskin Tegar yang telah dipilih melalui Mesyuarat Focus Group bagi menyertai projek ini. Mereka akan menerima pembayaran dividen hasil keuntungan Projek Ladang Sejahtera Agropolitan Sik.
Untuk projek tersebut, sebanyak 40,000 pokok getah ditanam dengan kepadatan pokok sebanyak 400 pokok sehektar.
Antara jenis klon pokok getah yang ditanam ialah PB350, PB314, RRIM928, RRIM929, dan RRIM2025.
DESA KEDA SUNGAI SENAM LOKASI IFTAR KEDA MADANI DAERAH SIK 2025

DESA KEDA SUNGAI SENAM LOKASI IFTAR KEDA MADANI DAERAH SIK 2025

SIK – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Pejabat KEDA Zon 4, Sik telah bekerjasama baik dengan Jawatankuasa Pasukan Perancang Pelaksana Program (4P) bagi mengadakan salah satu tradisi baik di KEDA iaitu majlis iftar perdana.
Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 peringkat Parlimen Sik telah diadakan di Desa KEDA Sungai Senam dengan melibatkan lebih 300 orang penduduk.
Lebih manis apabila majlis iftar ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Muhamad Khizri bin Abu Kasim, Pengerusi KEDA Resort and Holidays Sdn Bhd.
Beliau yang hadir menyempurnakan majlis berkenaan turut menyerahkan dividen Ladang Sejahtera Sik kepada 10 orang penerima.
300 orang yang hadir terdiri golongan dewasa, remaja malah kanak-kanak dan warga emas, hadir menjayakan majlis.
Walau kadang kala disulami hujan, tidak menghalang mereka yang hadir meraikan tetamu jemputan antaranya Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, Pengurus Niagatani, Encik Sulaiman bin Mohd Noor, Pengarah Kolej KEDA, Encik Che Ridzuan bin Mohamad Isa, Pengurus Khidmat Pengurusan, Encik Mohd Ariff bin Mohd Rodzi serta Pegawai Pembangunan KEDA Zon 4 Sik, Encik Mohd Noor Farzli bin Adenan.
Sebanyak 30 bakul makanan turut disumbangkan kepada penerima terdiri daripada warga emas dan mereka yang memerlukan.
Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 peringkat parlimen Sik di Desa KEDA Sungai Senam Sik.