PEGAWAI KEDA HADIRI BENGKEL PENYELARASAN KOMUNIKASI STRATEGIK BERSAMA UNIT KOMUNIKASI KORPORAT KKDW DAN PEGAWAI MEDIA DAN PERHUBUNGAN AWAM AGENSI

PUTRAJAYA – Dua orang pegawai Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah menghadiri Bengkel Penyelarasan Komunikasi Strategik bersama Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Pegawai Media & Perhubungan Awam Agensi.
Dua pegawai tersebut adalah Ketua Unit Komunikasi Korporat, Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman dan Encik Abdul Mu’min bin Mohd Rodzi.
Bengkel yang berlangsung seharian di KKDW, di sini bermula dengan sesi diskusi bersama Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri, Encik Suhaimi bin Ahmad. Turut hadir adalah Setiausaha Akhbar Menteri KKDW, Encik Md. Fadzmel bin Md. Fadzil dan Ketua Unit Komunikasi Korporat KKDW, Puan Norainis binti Mohd Noor.
Sesi bengkel diteruskan dengan Taklimat Perang Saraf Gerak Saraf dan Pengurusan Isu oleh Dr. Noor Niwandi bin Mat Noordin, Felo Operasi Psikologi, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Sesi ini memfokuskan kepada strategi agensi untuk menangani isu agar harmoni dan diterima rakyat secara positif.
Para peserta juga berpeluang untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan kaedah membendung berita palsu dan komentar negatif melalui Taklimat Menangkis Berita Palsu dan Komentar Negatif oleh Encik Munir Anaam Zuljadan dari Institut Akhbar Malaysia.
Kemuncak bengkel ialah apabila Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW, YBhg. Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi dan Timbalan Menteri KKDW, Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang hadir bersama-sama para peserta.
YAB Timbalan Perdana Menteri sempat menitipkan amanat dan beramah mesra menjawab soalan yang diajukan para peserta.
Dalam amanat, beliau menyeru agar semua agensi menguruskan persepsi sebaik-baiknya agar produk yang dibawa setiap agensi dapat diterima baik rakyat dan memberi imej positif kepada agensi dan KKDW secara tidak langsung.

PROGRAM PENGHAYATAN TAHUN BARU WARGA MADANI DESA KEDA ZON 4, SIK

SIK – Penduduk Desa KEDA Kota Aur, Sik menyambut tirau tahun baru 2024 dengan aktiviti gotong-royong bagi membersih dan menceriakan kawasan perumahan mereka bersempena program penghayatan tahun baru warga madani desa KEDA pada tahun ini.
Hampir 100 orang penduduk telah mengambil bahagian di dalam aktiviti ini yang dijalankan dengan suasana semangat tahun baru.
Antara pihak yang turut serta dalam Program Gotong-royong ialah penduduk desa KEDA, Komuniti penduduk kampung berdekatan dan turut serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 5 Rejimen Renjer Diraja.
Program ini jelasnya telah meningkatkan tahap kebersihan, kesihatan, keselamatan desa KEDA.
Tahniah kepada semua yang terlibat dalam aktiviti ini, yang bukan sahaja memberikan faedah kepada komuniti kampung, tetapi memperkukuhkan hubungan, keharmonian dan perpaduan di kalangan komuniti.
Budaya gotong-royong adalah budaya masyarakat kita sejak turun-temurun.Ia dapat mengeratkan silaturahim,merapatkan ukhuwah. Pengibatan semua pihak dalam menjayakan program mampu membina kembali dan menyuburkan semangat perpaduan.

KEDA OPTIMIS UNTUK BERKOLABORASI DENGAN LEMBAGA ZAKAT NEGERI KEDAH UNTUK PEMBANGUNAN MASYARAKAT DESA

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) mengambil langkah strategik untuk mencari rakan kolabarasi bagi mengukuhkan operasi agensi.
Terbaru, seramai 10 pegawai KEDA yang mewakili pihak pengurusan telah mengadakan sesi kunjung hormat ke Pejabat Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
Delegasi pihak pengurusan KEDA telah diketuai oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff. Turut hadir adalah Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Hajah Afifah binti Haji Omar.
Kehadiran KEDA telah disambut dengan penuh kemesraan oleh pihak LZNK yang diketuai sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, YBhg. Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman.
Sesi kunjung hormat ini diisi dengan perbincangan berkaitan bidang tugas agensi masing-masing dan ruang kerjasama antara agensi.
Tuan Pengurus Besar KEDA dan Dato’ Syeikh Ketua Pegawai Eksekutif LZNK optimis untuk menyambung sesi kunjung hormat ini dengan kolabarasi bersama terutama berkenaan operasi, teknologi dan penjenamaan.
Ini dilihat satu peluang yang baik memandangkan kedua-dua agensi mempunyai bidang tugas yang sama dalam membasmi kemiskinan dan pembangunan masyarakat.
Terima kasih LZNK atas layanan mesra kepada KEDA ketika berkunjung ke sana. Jika berkelapangan, jemputlah hadir ke KEDA.
Semoga ukhuwah yang terjalin ini terus berkekalan.

“HAYATI ASPIRASI DESA MADANI KKDW”, PENGERUSI KEDA

ALOR SETAR – Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menyeru agar Aspirasi Desa Madani yang diilhamkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) ini dihayati dan dipraktikkan dalam gerak kerja operasi agensi ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, di sini.
Majlis yang dihadiri 250 orang kakitangan KEDA inj meliputi seluruh bahagian termasuk staf dari Pejabat KEDA Zon.
Dalam ucapan beliau, aspirasi Desa Madani ini perlu direalisasikan berdasarkan 4 teras mengikut akronim KKDW itu sendiri iaitu (K) Kemahiran dan Pengetahuan, (K) Keberkesanan dan Kecekapan, (D) Data dan Digital serta (W) Wow Factor.
“Sebagai sebuah agensi di bawah KKDW, saya yakin penghayatan akronim KKDW yang diilhamkan YAB Timbalan Perdana Menteri ini boleh diselaraskan bersama Pelan Strategik KEDA.
Warga kerja KEDA perlu mempersiapkan diri dengan segala kekuatan mental mahupun fizikal bagi mendepani tahun 2024 yang lebih mencabar ini”, ujar beliau
Pelan Strategik KEDA 2021-2025 menekan 5 fokus yang meliputi pembangunan infrastruktur dan kemudahan luar bandar yang lengkap dan berkualiti, membangunkan modal insan luar bandar yang cemerlang secara holistik, memantapkan pertumbuhan ekonomi penduduk luar bandar, memperkasa usahawan KEDA luar bandar serta memantapkan keupayaan kapasiti organisasi.

KEDA TERIMA PERUNTUKAN RM83.216 JUTA BAGI TAHUN 2024

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah menerima peruntukan RM83.216 juta bagi tahun ini.
Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom
berkata, peruntukan ini meliputi RM 50.716 untuk bajet pembangunan manakala selebihnya adalah bagi peruntukan bajet pengurusan.
“Bajet pembangunan yang diterima itu merangkumi 11 projek prasarana berjumlah RM30.5 juta, 6 projek ekonomi dan pertanian berjumlah RM8.45 juta, modal insan sebanyak RM8.875 juta melibatkan 5 projek dan projek usahawan RM2.85 juta untuk 3 projek.
Saya menyeru agar warga kerja KEDA terus komited dalam memperkasa masyarakat desa,” ujar beliau.
Sejak 43 tahun beroperasi, KEDA telah menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.311 bilion,”.
Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 agensi ini di Kompleks Ibu Pejabat KEDA hari ini.
Sejak penubuhan KEDA pada 28 Mei 1981, KEDA telah memainkan peranan besar dalam membantu mempercepatkan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat dan infrastruktur di Kedah, terutamanya kawasan luar bandar.
Menerusi pembangunan penempatan untuk rakyat termiskin, bantuan ekonomi untuk aktiviti perniagaan kecil, pertanian dan penternakan, KEDA mewujudkan lebih ramai usahawan serta memberi pendidikan kemahiran kepada penduduk kampung.

KEDA PERKEMAS MODUS OPERANDI PELAKSANAAN PROJEK PEMBANGUNAN BAGI TAHUN 2024

BANTING – Bagi memastikan semua peruntukan projek pembangunan yang diterima bagi tahun ini dapat memberi manfaat yang optimum kepada kumpulan sasar, satu bengkel penyelarasan telah dianjurkan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
Bengkel Pemantapan dan Penyelarasan Projek/Program Pembangunan RP4 RMKe-12 KEDA bagi Tahun 2024 telah dianjurkan oleh Bahagian Perancangan, Pemantauan dan Penilaian di Gold Coast International Resort, di sini.
Bengkel 3 hari 2 malam bermula 5 Januari 2024 sehingga 7 Januari 2024 ini telah dihadiri oleh 51 orang yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari bahagian, unit, pejabat KEDA Zon dan Kolej KEDA.
Antara yang diperbincangkan dalam bengkel ini adalah meliputi pengenalpastian gerak kerja, Key Performance Index (KPI) serta kemungkinan halangan dan cabaran yang ditempuhi dalam pelaksanaan projek ini.
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff turut tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama dengan para peserta bengkel bagi lebih mendalami semua 25 projek yang akan dilaksanakan KEDA kelak.
Beliau dalam ucapannya ketika majlis penutup bengkel ini menyeru agar semua bekerja sebagai satu pasukan bagi menjayakan projek yang dirancang.
“Kita pasti akan menempuh pelbagai cabaran dan halangan untuk melaksanakan projek-projek ini.
Oleh itu, semua perlu bersiap sedia untuk menghadapi cabaran mendatang.
Permintaan saya, kita perlu bekerja sebagai satu pasukan agar kumpulan kita ini sentiasa istiqamah dengan perancangan yang telah di atur,” ujar beliau.
KEDA telah diluluskan sebanyak 25 projek pembangunan bagi tahun 2024 dengan peruntukan berjumlah RM50.716 juta.

JUALAN KASIH KEDA BANTU KURANGKAN BEBAN RAKYAT

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) memulakan gerak kerja operasinya dalam tahun baharu 2024 ini dengan melancarkan Hari Jualan Kasih KEDA di Kompleks Ibu Pejabat KEDA di sini, hari ini.
Majlis pelancaran program ini telah disempurnakan oleh Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom.
Turut hadir dalam majlis ini iaitu Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff dan Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar serta Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Hajah Afifah binti Haji Omar.
Program ini dianjurkan sebagai salah satu manifestasi komitmen dan keperihatinan KEDA dalam membantu rakyat yang terkesan akibat keadaan ekonomi yang tidak menentu masa kini.
Selain itu, program ini juga menjadi platform kepada KEDA untuk menghebahkan pakej bantuan ekonomi yang disediakan melalui penyediaan reruai agensi.
Malah, usahawan KEDA juga diberi peluang untuk mengadakan jualan dan promosi produk masing-masing pada hari tersebut.
Sementara itu, menurut Dato’ Seri Jamil Khir, KEDA bercadang untuk mengadakan program ini secara bersiri bagi membolehkan manfaat program dinikmati oleh majoriti penduduk negeri ini.
“Dalam program ini, KEDA melalui usahawannya menawarkan beberapa barangan asas dengan harga murah melalui subsidi oleh KEDA sendiri dalam lingkungan 25%-53%.
Secara asasnya, program ini dapat membantu usahawan dan rakyat pada masa yang sama. Walaupun usaha ini mungkin dilihat kecil, namun diharap usaha ini dapat memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.
Kami juga bercadang untuk menjadikan Hari Jualan Kasih KEDA ini sebagai program bersiri dan dijalankan di daerah-daerah lain juga,” katanya.
Beliau berkesempatan untuk mengadakan sesi walkabout dan bersama-sama dalam Jualan Kasih KEDA disamping beramah mesra bersama usahawan KEDA yang mengadakan jualan di tapak program tersebut.
Antara barangan keperluan asas yang dijual murah dalam program ini iaitu beras, minyak masak, ayam dan telur ayam.

WARGA KEDA SELAMI KESEDIHAN MANGSA KEBAKARAN DI DESA KEDA WANG TEPUS

JITRA – Warga kerja Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melahirkan rasa simpati di atas kejadian yang menimpa keluarga Puan Faridah binti Saad@Mat, 58 tahun, salah seorang penduduk Desa KEDA Wang Tepus yang mana rumahnya terbakar akibat litar pintas.
Puan Faridah, seorang ibu tunggal yang tinggal bersama dua anak lelaki dan ibunya yang berusia 92 tahun tidak menyangka kejadian pada jam 2.30 pagi, Disember 2023 yang lalu menjadi mimpi ngeri baginya sekeluarga.
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff juga telah hadir berkunjung bagi menziarahi mangsa di desa tersebut.
Pengurus Besar melahirkan rasa simpati ke atas kejadian yang menimpa dan berharap agar mangsa sekeluarga tabah dalam menghadapi dugaan yang menimpa.
Beliau juga menyatakan komitmen KEDA untuk membantu meringankan beban Puan Faridah sekeluarga.
Pada yang sama, Pengurus Besar berkesempatan menyerahkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan kepada mangsa.
Turut hadir dalam sesi ini adalah Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Azam bin Omar, Pengurus Hartanah dan Prasarana, Encik Rojani bin Romeli serta Pegawai Pembangunan KEDA Zon 8, Kota Setar/Kubang Pasu, Encik Muhammad Ramlan bin Jaafar.

KEDA TERIMA SIJIL PENGHARGAAN SEMPENA KARNIVAL ULANG TAHUN 2 DEKAD MAJLIS BANDARAYA ALOR SETAR (MBAS)

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menerima sijil penghargaan sempena Karnival Ulang Tahun Dua Dekad Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di Stadium Darul Aman di sini hari ini.
Penyerahan sijil itu disempurnakan oleh Setiausaha Majlis Bandaraya Alor Setar, YBhg. Encik Nasrankamil bin Noh.
YBhg. Encik Nasrankamil turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam Karnival Ulang Tahun 2 Dekad Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) termasuk KEDA.
Sijil penghargaan ini diterima oleh Pegawai KEDA, Encik Abdul Mu’min bin Mohd Rozi.
KEDA adalah merupakan salah sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang hadir bagi sama-sama bantu memeriahkan sambutan Karnival Ulang Tahun 2 Dekad MBAS yang berlangsung bermula 27 Disember 2023 sehingga 31 Disember 2023.
KEDA terlibat dalam Sambutan Karnival Ulang Tahun 2 Dekad MBAS melalui reruai pameran agensi.
Booth pameran KEDA hadir dengan konsep kedesaan dan pelbagai khidmat bimbingan disediakan bagi mendapatkan nasihat dan maklumat berkaitan bantuan-bantuan yang disediakan.

KOLEJ KEDA TANDATANGAN MUO BERSAMA 10 INDUSTRI BAGI TAHUN 2023

SUNGAI PETANI – Bagi memperkasa kemahiran pelajarnya agar selari dengan keperluan pasaran kerja mahir masa kini, Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) terus menjalin kerjasama strategik bersama pihak industri
Terbaharu, bagi tahun 2023, satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) telah dijalankan oleh pihak Kolej KEDA bersama-sama 10 industri terpilih.
Wakil industri tersebut adalah Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional (MODENAS) Sdn. Bhd., Syarikat Kopiah Industri Sdn. Bhd., Proweld Training Centre Sdn. Bhd., Home Taylor Garment, MRY Unik Enterprise, Nenda Classic Legacy, Litar Abadi Sdn. Bhd., Bernas Jaya Enterprise, Syarikat Elektrik Monas, Butik dan Bengkel Awie Manik.
Sesi menandatangani MOU ini telah disempurnakan oleh Pengarah Kolej KEDA, Encik Che Ridzuan bin Mohamad Isa. Majlis ini disaksikan sendiri oleh Pengurus Besar KEDA, Tuan Ismasuhaimi bin Shariff.
Turut hadir dalam majlis ini adalah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Hajah Afifah binti Omar, Pengarah Kolej KEDA, Che Ridzuan bin Mohamad Isa dan barisan pengurus bahagian.
Dalam ucapan, beliau turut berharap agar jalinan kerjasama ini dapat terus kekal dalam membantu pelajar kepada tenaga mahir kehendak pasaran. “Teknologi kini sentiasa berubah. Kita juga kena bersedia untuk berubah dan selari dengan pembangunan teknologi terbaru.
Saya menyeru agar para alumni dan pemain industri dapat membantu pelajar kolej untuk menimba ilmu, berkongsi pengalaman dan mencipta peluang dalam dunia pekerjaan masa hadapan,” ujar beliau.
Dalam masa yang sama, turut dianjurkan sesi Townhall Bersama Alumni Kolej KEDA. Ini adalah merupakan salah satu platform yang menghimpunkan para alumni kolej dalam bentuk diskusi perkongsian idea bagi penambahbaikan Kolej KEDA berdasarkan keperluan pasaran selain medium menghubungkan silaturahim antara pihak pengurusan dan para alumni.
Kolej KEDA giat menjalankan kerjasama bersama-sama industri ini sejak 2021 dengan 6 pemain industri telah berkolaborasi bersama pihak kolej. Selain kerjasama bersama pihak industri, bermula tahun 2021 juga, Kolej KEDA juga telah menjalinkan kerjasama dengan 13 pusat tahfiz sekitar negeri Kedah melalui program Tahfiz TVET.
Tahfiz TVET@Kolej KEDA ini adalah program latihan kemahiran TVET kepada para tahfiz dengan harapan agar golongan sasar ini dapat diberi ilmu dan kemahiran yang seimbang ilmu duniawi dan akhirat selain persediaan pekerjaan kepada para tahfiz.
Gerak kerja ini selari dengan Pelan Strategik KEDA 2021-2025 yang memfokuskan pembangunan modal insan luar bandar yang cemerlang secara holistik melalui strategi meningkatkan kebolehpasaran belia melalui program pendidikan dan kemahiran serta mentranformasikan TVET untuk memenuhi permintaan industri selari.
Kolej KEDA yang merupakan kolej latihan dibawah KEDA 7 bidang Kemahiran meliputi Program Teknologi Automotif, Teknologi Kimpalan, Teknologi Elektrik, Teknologi Motosikal, Teknologi Makanan, Teknologi Fabrik Lelaki dan Wanita serta Diploma Kemahiran Malaysia bagi Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara.
Program ini telah ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia dan juga Persijilan Suruhanjaya Tenaga bagi bidang elektrik.