GUA SIREH KINI BERWAJAH BARU
BALING – Kerja menaik taraf Gua Sireh di bawah Projek Eko Pelancongan Warisan Alam dalam Program Desa Lestari, Kampung Padang Che Mas, sebagai lokasi pelancongan baharu di negeri ini kini sudah siap sepenuhnya.
Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YBhg. Dato’ Sri Ramlan bin Dato’ Harun berkata Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) sebagai agensi pelaksana telah diperuntukkan sebanyak RM750,000 bagi menaik taraf infrastruktur di Gua Sireh.
“Kerja-kerja menaik taraf itu telah dilaksanakan oleh KEDA selaku agensi pelaksana bermula Mac 2023 dan kini sudah siap sepenuhnya.
“Antara kemudahan yang dinaik taraf iaitu laluan pejalan kaki sepanjang 400 meter dan pagar dalam gua, pembelian van pelancong, penambahbaikan fasiliti dan pembelian peralatan gua dan lain-lain”,
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Projek Eko Pelancongan Desa Lestari Gua Sireh dan Program My Desa My Destination (MDMD), di sini.
Menurut beliau, selain laluan pejalan kaki dan titi dinaik taraf, aspek pencahayaan juga diberi keutamaan bagi memastikan tahap keselamatan pengunjung terjamin di samping menjadikan suasana dalam gua lebih menarik.
Katanya lagi, projek pembangunan berkonsepkan keindahan alam semula jadi di gua ini diharap menjadi hab pelancongan baharu di Kedah.
“Terima kasih kepada semua pihak terutama Kerajaan Negeri Kedah, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan lain-lainnya atas kerjasama strategik yang terjalin bagi membangunakan gua ini.
Saya berharap pihak koperasi menjalankan projek ini dengan bersungguh-sungguh kerana ia berpotensi menjadi pilihan pelancong dalam dan luar negara melihat kepada keunikan dan keindahan panorama di dalam gua ini yang menakjubkan,” katanya.