165 KAMPUNG TERPILIH PROJEK DESA LESTARI KKDW

BALING – Sebanyak 165 buah kampung di seluruh negara telah terpilih di bawah Projek Desa Lestari (PDL) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sejak dilaksanakan mulai tahun 2013.
Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YBhg. Dato’ Sri Ramlan bin Dato’ Harun berkata program ini adalah inisiatif KKDW untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar melalui geran bantuan pelaksanaan projek-projek ekonomi secara berkomuniti melalui plafform koperasi.
“Objektif program ini adalah meningkatkan pengupayaan komuniti dalam merancang serta menjayakan pelaksanaan projek pembangunan di kampung.
“Selain itu, ini diharap dapat memperkasa aktiviti ekonomi dan keusahawanan penduduk kampung melalui koperasi dengan membuka peluang pekerjaan baharu serta peluang peningkatan pendapatan kepada penduduk,”.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Projek Eko Pelancongan Desa Lestari Gua Sireh, dan Program My Desa My Destination (MDMD) di Padang Che Mas, di sini.
Seramai 400 orang tetamu hadir termasuk ketua-ketua agensi dibawah KKDW dan kerajaan negeri serta penduduk setempat.
Antara kenamaan yang hadir adalah Pegawai Daerah Baling, YBhg. Dato’ Haji Abdul Ghafar bin Yahya, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, Setiausaha Bahagian Pembangunan Eknomi Komuniti, Encik Mohd Sabri bin Ramly, Penolong Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Negeri Kedah dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Kedah, Puan Norzila binti Nayan.
Antara sektor ekonomi yang terlibat adalah pelancongan desa, pertanian, penternakan, perkhidmatan, pembuatan danperuncitan.
Pemilihan kampung di bawah program ini adalah berdasarkan kepada senarai pencalonan yang dikemukakan oleh pihak Kerajaan Negeri, Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) dan agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Kampung-kampung ini seterusnya akan dinilai melalui sesi temuduga dan lawatan tapak oleh pihak KKDW sebelum dipilih bagi menyertai program ini.