KKDW RAI GOLONGAN SASAR DI KEDAH SEMPENA MAJLIS SANTUNAN KASIH RAMADAN 2024

KKDW RAI GOLONGAN SASAR DI KEDAH SEMPENA MAJLIS SANTUNAN KASIH RAMADAN 2024

PENDANG – Hampir 2,000 orang golongan sasar yang terdiri daripada pelajar pusat tahfiz, asnaf dan masyarakat setempat diraikan dalam Majlis Santunan Kasih Ramadan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Masjid Al-Falah, Felda Sungai Tiang, di sini.
Menariknya, Majlis Santunan Kasih Ramadan Anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) ini merupakan lokasi ke-8 sejak ia bermula pada 14 Mac lalu di Masjid Jamek Layang-layang, Keluang.
Mailis berkenaan merupakan pendekatan turun padang yang dicetuskan oleh Ahmad Zahid bagi meninjau kemajuan dan pembangunan selain mendekati masyarakat desa di seluruh negara.
Selain itu, agensi-agensi KKDW turut dilibatkan dalam program ini bagi memastikan keberadaan serta berperanan sebagai agensi yang membangunkan sosio-ekonomi masyarakat desa Malaysia Madani.
Di samping merapatkan jalinan ukhwah antara KKDW dengan masyarakat, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan kepada peserta Program Bantuan Ekonomi dan Keusahawanan 2024 di Kedah berjumlah RM2,585,000.00.
Seterusnya, tidak ketinggalan penyampaian peruntukkan bagi program pengimarahan masjid sepanjang bulan Ramadan berjumlah RM75,000 oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
Sementara itu, menerusi agenda pemilikan rumah pula, beliau menyerahkan geran rumah kepada 11 keluarga yang tinggal di Desa KEDA Teluk Teduri, Baling.
Majlis Santunan Kasih KKDW ini berakhir dengan menyampaikan sumbangan duit raya kepada 100 orang pelajar tahfiz dan anak yatim, ibu tunggal, guru agama dengan jumlah keseluruhan bernilai RM10,000.