8 PESERTA DIBAWA KEDA UNTUK SERTAI KURSUS PRA BENGKEL DESA LESTARI TAHUN 2024

8 PESERTA DIBAWA KEDA UNTUK SERTAI KURSUS PRA BENGKEL DESA LESTARI TAHUN 2024

IPOH – 8 peserta mewakili 2 koperasi iaitu Koperasi Pelancongan Homestay Sedim, Kulim Berhad dan Koperasi Pembangunan Kampung KEDA Bandar, Baling Berhad telah dipilih Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) untuk menghadiri Bengkel Pra Desa Lestari Tahun 2024 bagi Zon Utara dan Tengah baru-baru ini.
Bengkel ini adalah anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Bahagian Ekonomi Komuniti (EK) dan Institut Kemajuan Desa (INFRA).
Kursus yang melibatkan masa 4 hari ini telah disertai 88 orang peserta dari 22 koperasi dan diadakan di sebuah hotel dekat Ipoh selama 4 hari.
Program ini adalah inisiatif KKDW untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar melalui geran bantuan pelaksanaan projek-projek ekonomi secara berkomuniti melalui platform koperasi.
Objektif Program Desa Lestari adalah bagi meningkatkan pengupayaan komuniti dalam merancang serta menjayakan pelaksanaan projek pembangunan di kampung serta memperkasa aktiviti ekonomi dan keusahawanan penduduk kampung melalui koperasi dengan membuka peluang pekerjaan baharu dan peluang peningkatan pendapatan kepada penduduk.
Koperasi Pelancongan Homestay Sedim, Kulim Berhad telah memohon peruntukan Desa Lestari untuk pelancongan manakala Koperasi Pembangunan Kampung KEDA Bandar, Baling Berhad memohon peruntukan pengangkutan sebuah van dan lori bagi melancarkan urusan perkhidmatan katering yang diusahakan.