NAZIRAN SISTEM PROFIL KAMPUNG PERINGKAT NASIONAL (SPKPN) KKDW BAGI DAERAH SIK
SIK – Proses Naziran dan Pengauditan Sistem Profil Kampung Peringkat Nasional (SPKPN) oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah selesai dilaksanakan di Daerah Sik selama dua hari, bermula dari 14 Mei 2024 hingga 15 Mei 2024.
Pejabat KEDA Zon 4 Sik adalah salah satu daerah terawal yang berjaya melengkapkan pengisian maklumat dalam sistem SPKPN, dengan bantuan pimpinan tempatan seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Majlis Ketua Kampung (MKK), dan Penghulu Mukim.
Pasukan naziran KKDW diketuai oleh Puan Nurul Emmylia Hazrina binti Ishak dari Bahagian Komuniti Desa KKDW.
Naziran ini juga melibatkan pasukan dari Bahagian Pembangunan Komuniti KEDA yang diketuai oleh Penolong Pengurus Pembangunan Komuniti, Puan Yusnida binti Yusof.
Sementara itu, pasukan dari Pejabat KEDA Zon 4, Sik diketuai oleh Pegawai Pembangunan Zon, Sik, Encik Mohd Noor Farzli bin Adenan.
Skop naziran mencakupi aktiviti turun ke kampung-kampung terpilih bersama-sama Pengerusi JPKKP yang terlibat untuk menyemak maklumat, melakukan pemantauan projek, serta melaksanakan lawatan ke industri kecil yang memiliki potensi untuk diketengahkan.
Proses naziran ini merupakan langkah penting dalam memastikan maklumat dalam SPKPN tepat dan terkini, serta memantau perkembangan dan pelaksanaan projek-projek komuniti di daerah tersebut.
Kejayaan ini menunjukkan kerjasama yang erat antara pihak KKDW, KEDA, dan pimpinan tempatan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan komuniti desa.