KEDA ANJUR PROGRAM BERSAMA MASDAR
LANGKAWI – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dengan kerjasama Maahad Tahfiz Sains Darul Muttaqim (MASDAR) telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat bagi pegawai lantikan baharu KEDA di Pulau Tuba, di sini.
Program ini melibatkan penyertaan seramai 19 pegawai lantikan baharu bersama 30 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Maahad Tahfiz Sains Darul Muttaqim.
Pada hari pertama program, peserta tiba di Langkawi dan dibawa melawat tiga projek Program Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dilaksanakan oleh KEDA.
Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai usaha-usaha KEDA dalam membantu masyarakat setempat terutamanya penduduk luar bandar.
Selepas itu, peserta menaiki bot menuju ke Pulau Tuba. Setibanya di sana, mereka disambut dan diberi penerangan oleh Encik Alias Muda, yang memberikan maklumat terperinci mengenai sejarah dan keunikan Pulau Tuba.
Program khidmat masyarakat ini bertujuan untuk memupuk semangat kesukarelawan dan kemasyarakatan dalam kalangan pegawai baharu serta memberi pengalaman berharga kepada para pelajar lepasan SPM dalam berinteraksi dengan masyarakat dan terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan.
Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat Pulau Tuba, tetapi juga memberi peluang kepada peserta untuk memahami lebih mendalam tentang cabaran dan keperluan komuniti setempat.