PEJABAT KEDA ZON 5, BALING SELESAI LAKSANA PERLANTIKAN BARU JAWATANKUASA 4P DI 6 DESA KEDA
BALING – Pejabat KEDA Zon 5, Baling telah menyempurnakan beberapa pelantikan baru bagi Jawatankuasa Pasukan Perancang Pelaksana Program (4P) dalam satu Mesyuarat Agung yang berlangsung di beberapa Desa KEDA di Baling.
Mesyuarat Agung yang diadakan bagi bulan Mei 2024 melibatkan Desa KEDA Banggol Petai, Desa KEDA Ulu Bakai, Desa KEDA Kemangi, Desa KEDA Sadek, Desa KEDA Teluk Teduri, dan Desa KEDA Keledang.
Mesyuarat ini bertujuan untuk memilih jawatankuasa baru yang akan berkhidmat untuk sesi 2024-2026. Proses ini penting untuk memperbaiki, memantapkan, dan memperkenalkan muka-muka serta idea-idea baru dalam urustadbir pengurusan dan kepimpinan penempatan Desa KEDA.
Individu-individu yang dilantik dalam mesyuarat ini diberi kepercayaan oleh penduduk kampung untuk memikul tanggungjawab besar dalam menghidupkan aktiviti-aktiviti di kampung dan memastikan Desa KEDA sentiasa berada selangkah ke depan setiap tahun.
Dengan perlantikan jawatankuasa 4P yang baru ini, diharapkan komitmen dan kerjasama yang tinggi akan diberikan kepada pengurusan KEDA dalam pelbagai aspek yang diperlukan.
Langkah ini juga diharapkan dapat mencungkil dan mengasah bakat serta potensi kepimpinan baru dalam kalangan penduduk Desa KEDA.
Mesyuarat agung ini turut diceriakan dengan aktiviti cabutan bertuah dan taklimat ringkas mengenai kesedaran serta kriteria sebagai penduduk Desa KEDA.
Pejabat KEDA Zon Baling berharap dengan perlantikan baru ini, pembangunan dan kesejahteraan Desa KEDA akan terus meningkat.