PELAJAR DESA KEDA WANG TOK RENDONG DAN TELUK BEREMBANG DIDEDAH PROGRAM CINTAI ALAM SEKITAR

PELAJAR DESA KEDA WANG TOK RENDONG DAN TELUK BEREMBANG DIDEDAH PROGRAM CINTAI ALAM SEKITAR

LANGKAWI – Telah berlangsung Program Cuti Sekolah ‘Cintai Alam Sekitar’ yang melibatkan pelajar-pelajar dari Desa KEDA Wang Tok Rendong (DKWTR) dan Desa KEDA Teluk Berembang (DKTB) di Taman Lagenda, di sini.
Program ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Perancang dan Pelaksana Program (4P) DKWTR melalui Biro Pendidikan dan Biro Belia, dengan tujuan untuk mendidik pelajar tentang pentingnya menjaga alam sekitar.
Seramai 50 orang pelajar, terdiri daripada 30 pelajar DKWTR dan 20 pelajar DKTB yang berumur antara 11 hingga 15 tahun, menyertai program ini.
Aktiviti dimulakan dengan taklimat ringkas mengenai kepentingan mencintai dan menjaga kebersihan alam sekitar, di mana peserta diingatkan untuk menjaga kebersihan pantai Taman Lagenda sepanjang program berlangsung.
Program diteruskan dengan senamrobik yang diketuai oleh Biro Belia 4P DKWTR untuk memanaskan badan sebelum pelbagai acara dan aktiviti dimulakan. Terdapat lima acara utama yang dijalankan, termasuk Explorace, Bola Sepak Pantai, Bola Tampar Pantai, Tarik Tali, dan aktiviti mengutip sampah sekitar pantai Taman Lagenda.
Acara-acara ini bukan sahaja memberikan hiburan dan keseronokan kepada para peserta tetapi juga menanamkan kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar.
Program ini diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada kumpulan-kumpulan yang berjaya dalam setiap acara yang telah dijalankan.
Keseluruhan program berjalan lancar dan mendapat sambutan yang baik dari para peserta dan penduduk setempat.
Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk membentuk generasi muda yang lebih peka dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.