AKRAB KEDA SERTAI HIMPUNAN ASPIRASI MADANI RAKAN PEMBIMBING PERKHIDMATAN AWAM
Putrajaya – Hasrat murni kerajaan demi membangunkan Malaysia MADANI melalui perkongsian ilmu, kemahiran dan kepakaran dalam mengukuhkan jati diri, menanamkan rasa syukur dan bangga sebagai pegawai awam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengadakan Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.
Delegasi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) diketuai sendiri oleh YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, Pengurus Besar diiringi Encik Mohd Elias bin Hassan, Pengurus Perancangan, Pemantauan dan Penilaian yang juga Pengerusi AKRAB KEDA bersama enam lagi ahli yang juga kakitangan KEDA.
YAB Perdana Menteri dalam ucapannya menegaskan bahawa ahli AKRAB dalam perkhidmatan awam memainkan peranan amat penting dalam membawa dan membina anjakan paradigma dinamik dan positif dalam usaha kerajaan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan membangunkan masyarakat berteraskan aspirasi MADANI.
Acara turut dimeriahkan dengan sesi Bicara Aspirasi MADANI yang disampaikan oleh YBrs. Kapten Maritim Nik Kamaruddin bin Yunoh, Pengerusi AKRAB Kementerian Dalam Negeri dengan tema HEMAT: Menyantuni Hasrat Membina Citra.
Pengurus Besar KEDA yang ditemui, mahukan AKRAB KEDA seramai 33 orang, menyahut saranan YAB Perdana Menteri untuk menggerakkan peranan AKRAB sebagai “Penggerak Pembangunan Modal Insan Dengan Nilai HEMAT” yang merujuk kepada kewaspadaan dalam tindakan serta ketelitian dalam pelaksanaan segala tugas yang diamanahkan.