KEBOLEHPASARAN KOLEJ KEDA SANGAT MEMBANGGAKAN

KEBOLEHPASARAN KOLEJ KEDA SANGAT MEMBANGGAKAN

ALOR SETAR – Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Kolej KEDA) merekodkan kadar kebolehpasaran graduan tertinggi dalam bidang TVET.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YB. Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang berkata sehingga Disember 2023, jumlah graduan Kolej KEDA adalah seramai 8,224 orang dan kebolehpasaran graduan Kolej KEDA adalah sangat tinggi.
Beliau berkata, kejayaan itu menunjukkan graduan Kolej KEDA menjadi pilihan pihak majikan dan industri atas kebolehan mereka.
“Kolej KEDA menerima penarafan 5 Bintang bagi Penarafan Tunggal TVET 2023 dari Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Malaysia melalui aspek penilaian dan pematuhan elemen-elemen pembelajaran dan pengajaran latihan kemahiran yang telah ditetapkan.
“Para pengajar Kolej KEDA sentiasa berusaha dalam menyampaikan dan memberikan yang terbaik terutama dalam aspek pengajaran dan pembelajaran TVET.
Penambahbaikkan dan peningkatan kemahiran dalam kalangan pengajar dan pelajar diutamakan agar seiring dengan perkembangan kemahiran terutama dari pemain industri,” katanya ketika siding media sempena Majlis Graduasi Kolej KEDA ke-12 di Dewan Konvokesyen Universiti Antarabangsa Albukhary, di sini.
Beliau berkata, Kolej KEDA turut melakar kecemerlangan melalui pertandingan- pertandingan kemahiran inovasi di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Rubiah berkata, penghargaan dan kecemerlangan yang diterima Kolej KEDA akan membantu graduan Kolej KEDA mendapatkan pekerjaan selepas tamat tempoh pengajian.
“Sejak penubuhan, Kolej KEDA sudah mengeluarkan sijil kepada 8,224 graduan.
“Para graduan dan Ibu bapa perlu melihat bidang TVET sebagai pilihan utama, bukan lagi pilihan kedua untuk masa depan anak mereka,” jelasnya.
Pada masa sama, YB Datuk Hajah Rubiah memaklumkan Majlis Graduasi Kolej KEDA Ke-12 yang berlangsung menyaksikan seramai 295 orang graduan hadir untuk menerima sijil masing-masing yang menghimpunkan graduan dari tahun 2019 hingga 2023.
Mereka adalah dari 593 orang pelajar yang tamat latihan menerusi bidang-bidang yang dipelajari di Kolej KEDA iaitu Teknologi Elektrik, Teknologi Kimpalan, Teknologi Motosikal, Teknologi Makanan, Teknologi Automotif , Teknologi Fabrik (Wanita), Teknologi Fabrik (Lelaki), Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara.