KEDA KOMITED LAHIRKAN GRADUAN TAHFIZ BERKEMAHIRAN MENERUSI TAHFIZ TVET@KOLEJ KEDA 3.0
ALOR SETAR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Kolej KEDA) komited melahirkan graduan tahfiz berkemahiran menerusi Pengajian Tahfiz TVET@Kolej KEDA 3.0.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YB. Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang berkata KEDA telah memperuntukkan sejumlah RM312,000 dengan jumlah pelajar seramai 152 dan melibat 19 Pusat Tahfiz terpilih di Kedah.
Beliau berkata, bagi tahun 2024, Kolej KEDA telah memperuntukkan sebanyak RM175,000 untuk Tahfiz TVET@Kolej KEDA 3.0 dengan melibatkan 80 pelajar dan 10 Pusat Tahfiz.
“Program ini bermula untuk fasa 1.0 pada Ogos 2022 hingga Januari 2023 dengan jumlah pelajar seramai 42 orang melibatkan 6 Pusat Tahfiz sekitar Kedah.
“Program Tahfiz TVET@Kolej KEDA 2.0 bermula Julai 2023 hingga Disember 2023 dengan jumlah pelajar seramai 30 orang melibatkan 6 Pusat Tahfiz,” katanya pada Majlis Pelancaran Tahfiz TVET@Kolej KEDA 3.0 sempena Majlis Graduasi Kolej KEDA Ke-12 di Dewan Konvokesyen Universiti Antarabangsa Albukhary, di sini.
Katanya, Program Tahfiz TVET@Kolej KEDA merupakan sebuah program pengajian kemahiran jangka pendek yang telah dirangka secara khusus kepada para pelajar tahfiz dalam menyediakan modal insan berkemahiran untuk mengharungi alam pekerjaan kelak.
“Tempoh bagi program ini adalah selama enam (6) bulan dengan menggunakan modul yang telah dirangka secara modular agar latihan yang diberikan berkesan dalam tempoh yang telah ditetapkan.
“Kemudahan percuma kepada para pelajar tahfiz turut disediakan oleh Kolej KEDA seperti peralatan dan bahan pembelajaran, makan minum dan juga penginapan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengurus Besar KEDA, YBhg Tuan Ismasuhaimi inisiatif ini adalah langkah proaktif KEDA untuk memastikan graduan tahfiz tidak hanya terhad kepada bidang keagamaan tetapi juga mampu bersaing dalam industri teknikal dan vokasional.
“Kami mahu memastikan graduan tahfiz memiliki nilai tambah dengan kemahiran teknikal yang dapat membantu mereka dalam mencari pekerjaan atau menceburi bidang perniagaan sendiri.
“Dengan pelaksanaan Program Tahfiz TVET ini, KEDA berharap dapat melahirkan lebih ramai graduan tahfiz yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing dalam pelbagai sektor. Program ini juga diharapkan dapat membantu dalam meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat terutama di kawasan luar bandar,” katanya.
KEDA akan terus berusaha untuk memperluaskan program ini dan berharap agar lebih banyak pihak dapat bekerjasama dalam merealisasikan matlamat ini.