KUNJUNG HORMAT AIU DAN FAU KE KEDA
ALOR SETAR – KEDA telah menerima kunjungan hormat dan lawatan daripada Albukhary International University (AIU) dan Friedrich-Alexander University (FAU) Erlangen Nuremberg, Germany.
Lawatan ini bertujuan untuk membincangkan inisiatif serta pendekatan yang diambil oleh KEDA dalam usaha membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang ketidaksamaan sosial.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada agenda Program Jangka Pendek Antarabangsa yang berlangsung selama dua minggu, yang turut melibatkan 20 orang pelajar antarabangsa.
Program ini diadakan sebagai platform untuk memperkenalkan pelbagai usaha dan pendekatan yang dilaksanakan oleh KEDA dalam menangani isu kemiskinan di kalangan komuniti yang kurang berkemampuan.
Perbincangan tersebut telah dipengerusikan oleh Pengarah Pejabat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Negeri, Encik Mohd Nizam bin Mokhtar.
Turut hadir dalam perbincangan ini iaitu Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, Pengurus Hartanah dan Prasarana Encik Mohd Elias bin Hassan serta wakil-wakil dari Kolej KEDA, Bahagian Pembangunan Komuniti, Bahagian Niagatani, Bahagian Pembangunan Usahawan, Bahagian Perancangan, Pemantauan dan Penilaian dan Unit Komunikasi Korporat.
Kunjungan ini bukan sahaja memberi peluang kepada para pelajar antarabangsa untuk memahami pendekatan yang digunakan di Malaysia dalam mengatasi kemiskinan, tetapi juga membuka ruang untuk kerjasama antara institusi pendidikan antarabangsa dan KEDA dalam projek-projek masa depan.