KAKITANGAN KEDA MELAWAT AGROTOURISM LABUH BANTING
PULAU PINANG – Seramai 66 pegawai dan kakitangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah mengambil bahagian dalam lawatan penanda aras ke Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di Projek Agrotourism Labuh Banting, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Lawatan dimulakan dengan penerangan mengenai industri pembuatan rokok daun. Seterusnya, aktiviti diteruskan dengan ‘Explorace’ yang memberi peluang kepada peserta untuk menikmati pengalaman unik di kawasan luar bandar.
Para peserta kemudiannya dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan memulakan eksplorasi mereka dengan menyusuri Sungai Perai dari Labuh Banting.
Tugasan kedua melibatkan ujian kemahiran menembak menggunakan senapang kayu bemban, dengan sasaran tin kosong pada jarak 100 meter.
Tugasan ketiga dalam program ini ialah demonstrasi penyediaan tapai sambil meneka tumbuh-tumbuhan tempatan serta aktiviti menganyam ketupat palas. Semua peserta menunjukkan kemahiran masing-masing dalam tugasan ini sebelum dinilai oleh juri.
Tugasan keempat adalah pembuatan dodol secara tradisional menggunakan dapur kayu, di mana peserta berkesempatan untuk mengacau adunan serta mengetahui rahsia di sebalik kesedapan dodol tersebut.
Lawatan diakhiri dengan aktiviti demonstrasi menjala ikan. Seterusnya, peserta dijamu dengan pelbagai lauk kampung seperti patin tempoyak, gulai ayam kampung, kerabu jantung pisang, ikan goreng, dan ulam-ulaman segar sebagai juadah makan tengah hari.
Program ini telah memberi pengalaman berharga kepada semua peserta, selain memperkenalkan mereka kepada budaya dan tradisi masyarakat kampung di kawasan Tasek Gelugor.
Lawatan seperti ini diharap dapat mengukuhkan lagi hubungan antara KEDA dan PERDA serta memberi inspirasi kepada peserta dalam melaksanakan tugas harian mereka.