PEGAWAI KEDA HADIRI UzmaSAT-1 TECH DAY DI KUALA LUMPUR
KUALA LUMPUR – Dua pegawai dari Bahagian Hartanah dan Prasarana (BHP) Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) iaitu Encik Mohamad Heldi bin Abdul Rauf dan Muhammad Imran bin Mohammad Ishamudib baru-baru ini menghadiri UzmaSAT-1 Tech Day yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Program yang dianjurkan oleh Kumpulan Uzma ini bertujuan mempromosikan satelit terbaharu mereka, sebagai alat utama dalam memperkukuh perisikan geospatial.
Satelit UzmaSAT-1 dijangka akan merevolusikan sektor perisikan geospatial di Malaysia, dengan kemampuan canggih dalam pemantauan dan pengumpulan data yang tepat.
Teknologi ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam memajukan pelbagai sektor, termasuk keselamatan makanan dan pengurusan tanah.
Menurut wakil KEDA, penyertaan mereka dalam program ini membuka peluang baharu untuk agensi tersebut meneroka potensi penggunaan data geospatial dan kecerdasan buatan (AI) dalam mengukuhkan program keselamatan makanan serta mencegah pencerobohan tanah di kawasan KEDA.
Teknologi satelit ini dijangka dapat membantu dalam memantau percerobohan tanah dan mengenalpasti kawasan berisiko tinggi, seterusnya menyokong usaha KEDA dalam memastikan pembangunan wilayah yang lebih mampan dan teratur.