KEDA PERUNTUK RM27,000 SEMARAK BULAN KEMERDEKAAN

KEDA PERUNTUK RM27,000 SEMARAK BULAN KEMERDEKAAN

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah Kedah (KEDA) memperuntukkan sebanyak RM27,000 bagi menyemarakkan Bulan Kemerdekaan dengan pelbagai aktiviti berasaskan kepada semangat cintakan negara.
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff berkata aktiviti itu juga adalah untuk menanam semangat patriotik dalam kalangan warga KEDA serta penduduk di 56 Desa KEDA seluruh Kedah.
“Pada bulan kemerdekaan atau Hari Kebangsaan ke 67 ini, kita merancang beberapa aktiviti yang mana melibatkan sembilan zon operasi KEDA, yang mana aktiviti berkisarkan macam mana kita nak menceriakan dan mengibarkan Jalur Gemilang di seluruh kampung Desa KEDA.
“Untuk peringkat KEDA pula sendiri kita telah merancang beberapa aktiviti termasuk pada hari ini kita berjaya adakan satu program Fun Run Merdeka di mana peserta yang merupakan 250 kakitangan dan pegawai KEDA berjaya menghabiskan larian sebanyak 7 kilometer,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KEDA Sempena Pelancaran Bulan Semarak Kasih KEDA 2024 yang bertemakan Malaysia Madani: Jiwa Merdeka di Kompleks Ibu Pejabat KEDA di sini.
Ismasuhaimi berkata selepas ini KEDA akan meneruskan dengan dua siri Konvoi Semarak Kasih Merdeka ke Desa-Desa KEDA di 8 Zon terpilih.
Katanya, selain berkonvoi, KEDA juga akan adakan aktiviti bersama penduduk sama ada dalam bentuk kerja lapangan, pengisian kerohanian mahupun ziarah kasih kepada yang kurang berkemampuan.
“Kita juga akan minta penyelaras di setiap Desa KEDA untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan juga memeriahkan aktiviti dengan peruntukan yang telah pun kita salurkan.
“KEDA dan Kolej KEDA juga meneruskan kibaran Jalur Gemilang dalam kawad perbarisan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Kedah bagi kategori Jabatan Persekutuan/ Badan Berkanun dan institusi pengajian,” katanya.
Beliau berkata dalam era digital ini, warga KEDA harus terus berusaha untuk memartabatkan negara dengan menjiwai erti kemerdekaan dan memiliki pemikiran yang merdeka selari dengan tema Malaysia Madani Jiwa Merdeka.