PELANCARAN BULAN KEMERDEKAAN KEDA 2024 DISAMBUT MERIAH
ALOR SETAR – Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Semarak Kasih KEDA 2024 yang bertemakan ‘Malaysia Madani, Jiwa Merdeka’ di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar di sini.
Majlis ini berlangsung meriah kerana berjaya mengumpulkan kakitangan KEDA dalam pelbagai aktiviti Fun Run dan Perhimpunan Bulanan dimana membawa perbezaan penganjuran program sebelum ini.
Dalam ucapannya, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff menekankan betapa pentingnya warga KEDA untuk terus memartabatkan negara dengan memahami dan menjiwai erti sebenar kemerdekaan. Beliau menyeru agar setiap individu memiliki pemikiran yang merdeka, selari dengan tema ‘Malaysia Madani, Jiwa Merdeka’.
“Generasi masa kini perlu merenung dan menghayati semangat perjuangan terdahulu yang telah mengorbankan darah, keringat, dan air mata demi kemerdekaan negara,” katanya.
Sebagai simbolik sambutan, Jalur Gemilang telah diserahkan kepada semua Pengurus Bahagian, Ketua Unit, dan Pegawai Pembangunan Zon untuk dikibarkan di setiap pejabat zon sepanjang bulan kemerdekaan.
KEDA dan Kolej KEDA turut mengibarkan bendera sempena Hari Kemerdekaan dan akan terlibat dalam Kawad Perbarisan Hari Kemerdekaan peringkat Negeri Kedah bagi kategori Jabatan Persekutuan, Badan Berkanun, dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Puan Hajah Afifah Omar.