LAWATAN PENANDA ARAS KEDA KE NEGERI PERAK

LAWATAN PENANDA ARAS KEDA KE NEGERI PERAK

PERAK – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah mengadakan lawatan penanda aras ke Negeri Perak baru-baru ini bertujuan untuk mempelajari cara pengurusan dan pembelajaran di Pusat Pendidikan Al-Barakah yang dikendalikan oleh Dato’ Ustaz Kazim Elias.
Lawatan ini juga bertujuan untuk memotivasi peserta ke arah mencapai matlamat Dasar Pembangunan Luar Bandar, khususnya dalam pembentukan modal insan berkualiti.
Seramai 43 peserta telah mengambil bahagian dalam lawatan ini, termasuk tenaga pengajar KEDA yang berpengetahuan agama, Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau An-Nur KEDA, Jawatankuasa Pasukan Perancang Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Che Bema, AJK Surau Desa KEDA Che Bema, tenaga pengajar Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Che Bema, dan AJK Masjid Khariah Sungai Jagung.
Program lawatan bermula dengan sesi taklimat dan ceramah bertajuk ‘Akhlak Rasulullah dalam Kepimpinan’ yang disampaikan oleh Pegawai Agama Jabatan Agama Islam Perak, Ustaz Zahrullail Sarkawi. Ceramah ini memberikan penekanan kepada penerapan akhlak dan nilai-nilai murni dalam kepimpinan organisasi.
Seterusnya, peserta melawat Pusat Pendidikan Al-Barakah, di mana mereka menghadiri slot kuliah yang disampaikan oleh Dato’ Ustaz Kazim Elias. Selepas itu, peserta berpeluang melawat pondok-pondok di bawah pusat tersebut dan Galeri Dato’, yang menampilkan sejarah dan pencapaian pusat pendidikan tersebut.
Lawatan ini diharap dapat memberikan inspirasi dan ilmu kepada para peserta untuk diaplikasikan dalam pentadbiran dan pengurusan masing-masing di Desa KEDA.