PENGURUS BESAR HADIRI BENGKEL ‘SPOKE PERSON’ DAN STRATEGI MENDEPANI MEDIA KKDW TAHUN 2024
KUALA LUMPUR – Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff telah menghadiri Bengkel ‘Spoke Person’ dan Strategi Mendepani Media 2024 yang berlangsung di Hotel Corus, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bengkel yang diadakan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selama dua hari itu bertujuan memberikan pendedahan dan latihan menyeluruh kepada Pengurusan Tertinggi kementerian serta agensi kerajaan dalam tatakelola pengurusan dan penyelarasan media.
Seramai 40 orang peserta, yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dan pengurus, telah mengambil bahagian dalam bengkel tersebut.
Antara penceramah jemputan adalah Tuan Sayed Munawar SM, personaliti terkenal RTM TV1, yang berkongsi ilmu serta pengalaman beliau dari perspektif media.
Turut serta adalah YBhg. Dato’ Najmuddin Abdullah, mantan Senior Vice President Komunikasi Strategik Malaysia Airlines, yang memberikan pandangan mendalam tentang pengurusan krisis komunikasi, khususnya berkaitan insiden MH370 yang menjadi kisah hitam dunia pada tahun 2014.
Melalui bengkel ini, para peserta diberi kemahiran penting dalam mendepani media dengan lebih berkesan, khususnya ketika berhadapan dengan situasi krisis dan semasa menjalani wawancara bersama media.
Pengalaman serta pengetahuan yang dikongsi oleh penceramah jemputan diharap dapat membantu peserta untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam mengendalikan komunikasi strategik bagi organisasi masing-masing.