PROGRAM SEMBANG SANTAI INTEGRITI KEDA SIRI 1 TAHUN 2024
ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Unit Integriti dan Perundangan telah menganjurkan “Program Sembang Santai Integriti Siri 1 Tahun 2024” dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kedah.
Program yang berlangsung di Kompleks Ibu Pejabat KEDA ini telah dihadiri oleh 57 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan KEDA.
Penceramah jemputan dari PDRM, Pegawai Psikologi Kanan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM Kedah, Dr. Wan Su binti Haji Haron, bersama Penolong Pengarah Pencegahan AADK Kedah, Puan Rajesvari Gonoselan, telah menyampaikan ceramah bertajuk “Selangkah Penentu Kehidupan.”
Kedua-dua penceramah menekankan pentingnya integriti dan langkah-langkah pencegahan dalam memerangi isu-isu sosial seperti penyalahgunaan dadah yang kian meruncing dalam masyarakat.
Selain ceramah, program ini juga menampilkan pameran daripada AADK yang memaparkan maklumat dan bahan pencegahan dadah, memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan informasi yang lebih mendalam mengenai usaha-usaha pencegahan yang dilaksanakan oleh agensi tersebut.
Program ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Puan Hajah Afifah binti Haji Omar.
Semua kakitangan KEDA menyokong penuh usaha ini dan menjadi sebahagian daripada komitmen KEDA dalam memupuk budaya integriti dan kesedaran sosial dalam kalangan kakitangan dan masyarakat setempat.
Dengan penganjuran program ini, KEDA terus memperkukuh peranannya sebagai agensi yang bukan sahaja memfokuskan kepada pembangunan wilayah, tetapi juga dalam membangunkan modal insan yang berintegriti tinggi.