KEDA TERIMA KUNJUNG HORMAT DARI PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT UniMAP
ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah menerima kunjung hormat daripada delegasi Pusat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar, baru-baru ini.
Ketibaan delegasi UniMAP telah disambut mesra oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, bersama pegawai-pegawai dari Unit Komunikasi Korporat KEDA.
Lawatan ini bertujuan untuk membincangkan potensi kerjasama antara KEDA dan UniMAP, khususnya dalam aspek tenaga pakar.
Di samping itu, perbincangan turut menjurus kepada pertukaran pengetahuan dalam bidang komunikasi dan media yang boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua pihak.
Pusat Komunikasi Korporat UniMAP ini juga telah menawarkan kepakaran mereka dalam bidang komunikasi media bagi membantu Kolej KEDA di Sik, terutamanya dalam aspek promosi kemasukan pelajar melalui penggunaan media yang lebih efektif.
Dalam lawatan tersebut, YBhg. Tuan Ismasuhaimi turut menceritakan peranan dan operasi KEDA serta peranan yang dimainkan oleh agensi ini dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar di Kedah.
Beliau turut menyatakan harapan agar kerjasama yang bakal dijalin dengan UniMAP ini akan membuka peluang baru dalam memperkukuhkan jaringan antara institusi pendidikan dan agensi kerajaan, seterusnya memanfaatkan komuniti luar bandar di Kedah.
KEDA juga berharap agar kolaborasi ini akan membawa manfaat jangka panjang, terutama dalam meningkatkan keberkesanan program-program pembangunan luar bandar yang dijalankan.