KEDA LANCAR TABUNG IHSAN MADANI KKDW@KEDA

KEDA LANCAR TABUNG IHSAN MADANI KKDW@KEDA

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah melancarkan Tabung Ihsan MADANI KKDW@KEDA sempena Perhimpunan Bulanan yang diadakan di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar.
Pelancaran tabung tersebut telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff.
Dalam ucapannya, Tuan Ismasuhaimi menjelaskan bahawa penubuhan tabung ini bertujuan untuk membantu menambah dana serta memberi peluang kepada NGO atau syarikat yang mempunyai sumber kewangan tetapi kekurangan keupayaan logistik dan tenaga sukarelawan untuk melaksanakan program kemanusiaan.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, dan Pengurus Khidmat Pengurusan KEDA, Encik Mohd Ariff bin Mohd Rodzi.
Tuan Ismasuhaimi turut mengucapkan penghargaan kepada Skuad Ihsan MADANI KEDA atas dedikasi dan komitmen membantu mangsa banjir di Kedah baru-baru ini.
“KEDA telah mengaktifkan skuad sukarelawan, yang kini dikenali sebagai Skuad Ihsan MADANI KEDA. Keahlian skuad ini telah meningkat daripada 40 orang kepada 60 orang,” katanya.
Beliau juga mengumumkan bahawa Skuad Ihsan MADANI KKDW@KEDA kini turut diperluaskan kepada Kolej KEDA, dengan 40 ahli baharu terdiri daripada kakitangan dan pelajar kolej tersebut.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian bantuan kepada 10 kakitangan KEDA dari pelbagai unit yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Tabung Ihsan MADANI KKDW@KEDA diharap menjadi platform penting dalam mengukuhkan inisiatif kebajikan dan sokongan kepada komuniti yang memerlukan.