PELBAGAI ANUGERAH SEMPENA PERHIMPUNAN BULANAN PENUTUP TIRAI 2024
ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) mengadakan Majlis Perhimpunan Bulanan terakhir bagi tahun 2024 dengan pelbagai acara dan pengiktirafan bagi menghargai usaha kakitangan, sekaligus menutup tirai tahun ini dengan penuh bermakna.
Majlis tersebut menyaksikan penyampaian pelbagai anugerah, antaranya Anugerah Mentor Mentee Terbaik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Anugerah Pekerja Terbaik Bulanan, Anugerah Majlis Bersama Jabatan (MBJ), Anugerah Majikan Terbaik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), serta pencapaian cemerlang dalam Sukan Pantai Berkanun, 500K Langkah, Kuiz Integriti, dan Penyerahan Kad Keahlian KEDA Bikers.
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff bersama Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, menyempurnakan penyampaian anugerah-anugerah tersebut.
Dalam majlis sama, turut dilaksanakan beberapa inisiatif bermakna seperti penyerahan Kit Bantuan Bencana, pelancaran Tabung Ihsan Madani KKDW@KEDA, serta penyumbangan Tabung Bencana KEDA kepada pihak yang memerlukan.
Dalam ucapannya, YBhg. Tuan Ismasuhaimi menyampaikan penghargaan kepada kakitangan atas dedikasi dan usaha mereka sepanjang tahun.
“Anugerah ini bukan sekadar penghargaan, tetapi menjadi pembakar semangat untuk kita terus cemerlang dan lebih baik pada tahun hadapan,” katanya.
Majlis ini bukan sahaja mencerminkan komitmen KEDA terhadap pembangunan komuniti dan kecemerlangan kakitangannya, tetapi juga mengukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan warganya untuk menghadapi cabaran tahun baharu dengan lebih bersemangat.