KOLEJ KEDA PERKUKUH KERJASAMA DENGAN RAKAN STRATEGIK

KOLEJ KEDA PERKUKUH KERJASAMA DENGAN RAKAN STRATEGIK

SIK – Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Kolej KEDA) terus memperkukuhkan jalinan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan kualiti pendidikan serta kebolehpasaran pelajarnya.
Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom, menyatakan bahawa pengiktirafan Kolej KEDA sebagai pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah membuka ruang untuk kolaborasi yang lebih meluas.
“Kolej KEDA, yang dahulunya dikenali sebagai pusat latihan, kini telah berjaya menjalin kerjasama dengan 43 rakan strategik terdiri daripada industri dan agensi kerajaan,”.
“Kolaborasi ini amat penting untuk memastikan kurikulum yang ditawarkan relevan dengan keperluan pasaran, selain memberi peluang kepada pelajar untuk menjalani latihan industri dan meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya semasa Sidang Media pada Majlis Lambaian Kasih Memori Terindah dan Kolaborasi Rakan Strategik Kolej KEDA di Sik hari ini.
Tahun ini, sebanyak 11 syarikat dan organisasi baharu telah menandatangani dokumen kolaborasi strategik bersama Kolej KEDA. Antaranya ialah Sf Metal Sdn. Bhd., Seikou Systec Sdn. Bhd., Gott Sdn. Bhd., Dr Asia Aircond & Electrical Engineering, Kakak Aircond, Anaqeef Golden Rich Empire, MFY Utara Enterprise, Modenas, Roda Prestasi Sdn. Bhd., Sin Huat Air-conditioning & Refrigeration Sdn. Bhd., dan NHA Aman Enterprise.
Dato’ Seri Jamil Khir turut berharap kerjasama strategik ini dapat membantu memastikan pelajar Kolej KEDA mempunyai peluang pekerjaan selepas tamat pengajian, sejajar dengan usaha KEDA untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Majlis tersebut turut dihadiri wakil-wakil rakan strategik serta tenaga pengajar dan pelajar Kolej KEDA, yang menjadikan acara ini platform penting untuk mempererat hubungan antara pihak kolej dan industri.