PELAJAR TAHFIZ TVET@KOLEJ KEDA 3.0 TERIMA SIJIL TAMAT LATIHAN

PELAJAR TAHFIZ TVET@KOLEJ KEDA 3.0 TERIMA SIJIL TAMAT LATIHAN

SIK – Seramai 80 pelajar Tahfiz dari 10 pusat tahfiz sekitar Kedah menerima Sijil Tamat Latihan Program Tahfiz TVET@Kolej KEDA 3.0 di Kolej KEDA, Sik.
Penyerahan sijil disampaikan oleh Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom bersama Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Puan Hajah Afifah binti Haji Omar.
Hadir sama Pengarah Kolej KEDA, Encik Che Ridzuan bin Mohamad Isa.
Pelajar-pelajar itu adalah dari pusat tahfiz sekitar Kedah antaranya Pusat Pendidikan Darul Furqan, Akademi Pengajian Al Quran Dan Tahfiz, Maahad Tahfiz Zul Muhammad, Maahad Tahfiz Alwafa Lilbanat, Madrasah At-Taklimiah Al Khariah dan banyak lagi.
YBhg. Mejar (B) Dato’ Seri Jamil Khir berkata, Program Tahfiz TVET@Kolej KEDA semakin mendapat tempat di hati pelajar-pelajar tahfiz yang ingin menambah ilmu kemahiran dalam bidang TVET.
“Tahfiz TVET adalah satu bidang yang bagus dan peluang untuk mencari peluang pekerjaan,”
“Kita tidak ada tahfiz tetapi kita menyediakan peluang untuk pelajar-pelajar tahfiz untuk belajar dan mengambil sijil di sini dan tamat nanti mereka mungkin mempunyai industri dan syarikat sendiri.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Lambaian Kasih Memori Terindah dan Kolaborasi Rakan Strategik Kolej KEDA 2024 di Kolej KEDA Sik.
Pada majlis itu, beliau berkata Kolej KEDA telah menerima peruntukan khas sebanyak RM11. 3 juta yang merangkumi TVET dan Infrastruktur serta Program Khas Tahfiz TVET untuk membantu pendidikan dan kemahiran teknikal di luar bandar.
Program Tahfiz TVET@Kolej KEDA terus menunjukkan komitmen dalam melahirkan generasi tahfiz yang bukan sahaja cemerlang dalam hafazan al-Quran tetapi juga berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal, sejajar dengan keperluan industri semasa.