KEDA PERUNTUK RM280,000 LAKSANA PROGRAM AGAMA PERKASA PENDIDIKAN LUAR BANDAR

KEDA PERUNTUK RM280,000 LAKSANA PROGRAM AGAMA PERKASA PENDIDIKAN LUAR BANDAR

POKOK SENA – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) memperuntukkan sebanyak RM280,000 untuk melaksanakan program-program keagamaan bagi meningkatkan kesedaran dan memperkasa pendidikan masyarakat luar bandar.
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, berkata inisiatif ini menandakan komitmen KEDA dalam menyokong kesejahteraan masyarakat luar bandar melalui elemen pendidikan agama yang menyeluruh, melangkaui aspek fizikal dan spiritual.
“KEDA bukan pemain utama dalam pengukuhan agama, namun kami optimis untuk menjadi penyokong utama dalam sebarang usaha membawa kebaikan kepada masyarakat luar bandar. Matlamat kami adalah menjadikan Pokok Sena sebagai pusat rujukan ilmu agama menjelang Tahun Melawat Kedah 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Daurah Kitab Nurul Uyun: Menghidupkan Jiwa Melalui Sirah Nabi SAW di Maahad Tarbiyah Islamiah, Derang, Pokok Sena, hari ini.
Dalam majlis tersebut, Tuan Ismasuhaimi turut menyatakan penghargaan kepada pihak pengurusan Maahad Tarbiyah Islamiah atas kerjasama erat dalam menjayakan program ini.
“KEDA juga komited untuk bersama-sama menyokong usaha Maahad Tarbiyah Islamiah dalam memperkasa pendidikan luar bandar,” tambah beliau.
Program Daurah Kitab ini merupakan antara acara akhir tahun yang dirancang KEDA untuk memupuk kecintaan kepada Baginda Nabi Muhammad SAW melalui penghayatan sirah kehidupan Rasulullah.
Majlis ini dijangka menjadi langkah awal ke arah menjadikan Pokok Sena sebagai pusat pengembangan ilmu agama yang disegani di Kedah dan sekitarnya.