KEDA RANCANG BANGUNKAN IKS NAKA SEBAGAI PROJEK HALAL PARK

KEDA RANCANG BANGUNKAN IKS NAKA SEBAGAI PROJEK HALAL PARK

PADANG TERAP – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Bahagian Pembangunan Usahawan bercadang untuk membangunkan kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Naka sebagai sebuah Projek Halal Park, bertujuan memperkasakan pembangunan ekonomi luar bandar.
Cadangan ini disuarakan oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, semasa melakukan lawatan kerja ke tapak IKS Naka baru-baru ini.
Menurut beliau, kawasan ini mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai pusat pemprosesan dan pengeluaran produk halal, sejajar dengan permintaan tinggi dalam industri ini.
Lawatan ini turut disertai oleh Pengurus Hartanah dan Prasarana KEDA, Encik Mohd Elias bin Hassan, dan Pengurus Pembangunan Usahawan KEDA, Encik Rojani bin Romeli, yang bersama-sama membincangkan strategi untuk merealisasikan projek ini.
Projek Halal Park di IKS Naka diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi setempat dengan menyediakan peluang pekerjaan serta membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa melalui penghasilan produk halal berkualiti tinggi.
KEDA berkomitmen untuk terus menyokong pembangunan luar bandar dan memanfaatkan potensi IKS di kawasan ini bagi meningkatkan taraf hidup penduduk Padang Terap.