GOTONG-ROYONG DESA KEDA CHE BEMA TINGKATKAN KEBERSIHAN DAN POTENSI PELANCONGAN
SUNGAI PETANI – Desa KEDA Che Bema telah menganjurkan program gotong-royong di bawah Program Pemerkasaan Institusi Pentadbiran Komuniti Kampung (IPKK) dengan matlamat meningkatkan kesedaran penduduk terhadap kepentingan kebersihan, keindahan, dan potensi ekonomi pelancongan di kawasan desa.
Program ini melibatkan pelbagai aktiviti pembersihan termasuk membersihkan longkang, kawasan pengumpulan sampah, serta menceriakan persekitaran surau.
Selain itu, usaha membasmi tempat pembiakan nyamuk aedes turut dijalankan sebagai langkah pencegahan terhadap penularan penyakit denggi.
Bagi menjayakan program ini, Desa KEDA Che Bema telah berkolaborasi dengan Angkatan Pertahanan Awam Sungai Petani, yang sama-sama turut membantu membersihkan kawasan sekitar dan pemantauan kebersihan.
Turut hadir menyempurnakan aktiviti adalah Pegawai Pembangunan KEDA Zon 7, Kuala Muda/Yan, Encik Khairul bin Ahmad.
Program ini bukan sahaja berjaya mencipta persekitaran yang lebih bersih dan sihat, malah turut mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti setempat.
Penganjur berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan secara berkala bagi memastikan kesejahteraan dan daya tarikan Desa KEDA sebagai destinasi pelancongan desa terus berkembang.