SAMBUTAN ISRAK MIKRAJ DI DESA KEDA BUKIT KURA MERIAH DENGAN PENGISIAN ILMU
PADANG TERAP – Sambutan Israk Mikraj yang diadakan di Desa KEDA Bukit Kura, Pedu baru-baru ini telah berlangsung dengan penuh keinsafan.
Majlis ini dihadiri oleh penduduk kampung serta masyarakat sekitar yang bersama-sama mengambil peluang untuk mendalami hikmah peristiwa besar dalam sejarah Islam ini.
Majlis dimulakan dengan Solat Fardhu Maghrib secara berjemaah yang diimamkan oleh Saudara Mazlan bin Muhamad, diikuti dengan sesi ceramah khas yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Hafizudin bin Alias dari Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah, Pedu.
Dalam ceramahnya, beliau menekankan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj bukan sahaja satu ujian kepada keimanan umat Islam, tetapi juga satu mukjizat besar yang membuktikan kekuasaan Allah SWT.
Kejadian-kejadian luar biasa yang diperlihatkan kepada Nabi Muhammad SAW sepanjang perjalanan tersebut mengandungi pelbagai pengajaran yang seharusnya meningkatkan keinsafan dan ketakwaan dalam diri setiap Muslim.
Seramai kira-kira 70 orang hadir dalam majlis ilmu ini, menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat. Semoga perkongsian ilmu ini memberi manfaat dan menjadi peringatan kepada semua tentang keagungan dan kebesaran Allah SWT.