KEDA TERUS KOMITED PERKASA PENDUDUK DESA KEDA

KEDA TERUS KOMITED PERKASA PENDUDUK DESA KEDA

KUBANG PASU – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) terus komited dalam usaha membantu masyarakat luar bandar, khususnya penduduk di 56 Desa KEDA di seluruh negeri, melalui pelbagai program dan inisiatif bagi meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.
Ahli Lembaga Pengarah KEDA, YBhg. Datuk Amiruddin Omar, berkata pihaknya bukan sahaja menyediakan penempatan kepada golongan B40, tetapi juga memberi perhatian kepada pendidikan anak-anak desa agar mereka mendapat peluang yang sewajarnya.
“Pelbagai bentuk bantuan, program dan aktiviti telah disediakan oleh KEDA bagi memastikan kesejahteraan penduduk. Hasilnya, 60 peratus Ketua Isi Rumah (KIR) berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Iftar KEDA Madani 2025 Parlimen Kubang Pasu yang diadakan di Desa KEDA Malau semalam.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Dato’ Hasmuni Hassan, Pengerusi KEDA Holdings Sdn. Bhd, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, Pengurus Kewangan KEDA, Encik Adnan bin Darus, Pengurus Bahagian Niagatani, Encik Sulaiman bin Mohd Noor, serta Pegawai Pembangunan Zon 8 Kota Setar/Kubang Pasu, Encik Muhamad Ramlan bin Jaafar.
Sebagai simbolik keprihatinan KEDA terhadap masyarakat setempat, majlis menyaksikan penyampaian 10 bakul makanan kepada wakil penduduk, sebagai sebahagian daripada 89 bakul makanan yang diperuntukkan untuk diagihkan kepada semua keluarga di Desa KEDA Malau.
Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan tahlil ringkas sebelum sesi berbuka puasa, di mana hidangan disediakan secara gotong-royong oleh penduduk setempat.
Pihak KEDA merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, selari dengan matlamat memperkasa komuniti luar bandar melalui pendekatan inklusif dan berdaya maju.