PERHIMPUNAN BULANAN KEDA BIL. 3/2025 : KEPIMPINAN BAHARU TEKANKAN NILAI KERJA BERPASUKAN
ALOR SETAR – Seramai 250 pegawai dan kakitangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KEDA Bil. 3 Tahun 2025 yang berlangsung di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, hari ini.
Majlis ini turut dihadiri oleh Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom serta Pengurus Besar KEDA yang baharu, YBhg. Puan Hajah Afifah binti Haji Omar.
Dalam ucapannya, Pengerusi KEDA menegaskan kepentingan kerja berpasukan dalam memastikan kejayaan organisasi serta kelestarian semangat kekitaan dalam kalangan warga kerja KEDA.
“Saya harap kita dapat terus lestarikan semangat kekitaan dan kerjasama yang telah kita budayakan selama ini. Self-of-belonging terhadap organisasi ini penting kerana dengan rasa memiliki, barulah kita dapat merasai kepuasan dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa KEDA perlu menjadi organisasi yang dihormati dan disegani, di mana kepimpinan KEDA di peringkat kampung berperanan sebagai duta kecil yang mewakili organisasi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam menyantuni masyarakat setempat.
Sementara itu, dalam ucapan sulungnya sebagai Pengurus Besar KEDA, YBhg. Puan Hajah Afifah menyeru kerjasama semua pihak.
“Saya sedar bahawa tugas yang diamanahkan ini adalah berat untuk dipikul terutamanya dalam menerajui agensi yang terlibat secara langsung dalam pembangunan luar bandar.
Justeru, saya amat mengharapkan sokongan yang padu daripada kakitangan di setiap peringkat dalam menterjemahkan setiap insiatif yang dirangka selama ini,”.
Selain itu, beliau turut melaporkan mengenai inisiatif KEDA dalam mengimarahkan bulan Ramadan melalui perbelanjaan RM185,000 dalam penganjuran Majlis Iftar Perdana di 15 lokasi, termasuk di Kolej KEDA, di 42 Desa KEDA.
Majlis perhimpunan bulanan ini diakhiri dengan sesi bermaaf-maafan sempena Hari Raya Aidilfitri serta penyampaian sumbangan perayaan kepada semua warga kerja KEDA.
——————————–

——————————–