PROGRAM 7 LIKUR BELIA DAN ANAK RANTAU DESA KEDA BERLANGSUNG MERIAH
PADANG TERAP – Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Bukit Kura telah menyemarakkan keindahan bulan Ramadan Al-Mubarak dengan penganjuran Program Tujuh Likur Belia dan Anak Rantau Desa KEDA.
Ini merupakan inisiatif luar biasa yang bukan sahaja menghidupkan tradisi, malah memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk setempat dan juga pegawai.
Program ini dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Komuniti dengan kerjasama Pejabat KEDA Zon 2, Padang Terap dan ianya memberi impak besar kepada komuniti melalui tiga elemen utama iaitu kebajikan, pemeliharaan warisan budaya, dan kerohanian.
Program ini dimulakan dengan akriviti Ziarah Kasih yang melibatkan kakitangan Pejabat KEDA Zon 2, Padang Terap bersama AJK 4P Desa KEDA Bukit Kura. Program ini bertujuan menyemai nilai kemanusiaan serta memupuk semangat empati dan kasih sayang dalam masyarakat.
Lawatan ke rumah warga emas dan golongan kurang berkemampuan serta penyampaian bakul makanan bukan sahaja membawa kegembiraan kepada mereka yang memerlukan, malah mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk dan pegawai itu sendiri.
Inisiatif ini membuktikan bahawa Ramadan bukan sekadar bulan untuk beribadah secara individu, tetapi juga waktu terbaik untuk menyebarkan kebaikan serta membantu golongan yang memerlukan.
Pada hari yang sama, aktiviti Revitalisasi Tradisi turut diadakan melalui aktiviti gotong-royong yang diadakan bagi memelihara warisan budaya kampung yang semakin terhakis dalam era moden.
Aktiviti seperti pemasangan pelita dan lampu hiasan raya bukan sahaja menceriakan suasana malam Tujuh Likur malah merapatkan hubungan antara masyarakat setempat terutamanya belia.
Semangat kerjasama dan perpaduan yang diterapkan membuktikan bahawa adat serta tradisi dapat terus dipertahankan apabila diraikan dengan penuh kebersamaan.
Kemuncak program ini adalah Meneroka Malam Lailatul Qadar. Program ini menekankan kepentingan menghayati malam-malam terakhir Ramadan melalui pelbagai aktiviti seperti kuliah subuh, ceramah agama, tadarus al-Quran, bersahur bersama penduduk setempat dan solat berjemaah.
Aktiviti-aktiviti ini memberikan pengisian rohani yang bermakna kepada para peserta, sekali gus memperkukuh keimanan mereka dalam meneladani keberkatan Ramadan.
Program Tujuh Likur Belia bukan sekadar satu acara biasa, tetapi satu fenomena luar biasa yang berjaya menyatukan masyarakat dalam gelombang kebajikan, kemeriahan tradisi, dan ibadah.
Program ini juga menjadi pemangkin kepada peningkatan kesedaran serta ketakwaan, khususnya dalam kalangan belia sebagai generasi pelapis.