PROGRAM CERAMAH ISRAK DAN MIKRAJ 1446H : DUNIA JAMBATAN KE NEGERI ABADI

PROGRAM CERAMAH ISRAK DAN MIKRAJ 1446H : DUNIA JAMBATAN KE NEGERI ABADI

ALOR SETAR – Kakitangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) diingatkan mengenai peristiwa Israk dan Mikraj yang luar biasa serta kepentingan mengamalkan amalan yang baik sebagai persediaan ke negeri Abadi.
Program Ceramah Sempena Israk dan Mikraj 1446H bertajuk Dunia Jambatan Ilmu telah diadakan di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar, hari ini.
Ceramah tersebut disampaikan oleh Pegawai Agama Daerah Yan, Syeikh Mohd Ikmal Hafif bin Azmi dan dihadiri oleh seramai 40 kakitangan KEDA.
Program ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Surau KEDA dengan kehadiran Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dan Pengurus Khidmat Pengurusan KEDA, Encik Mohd Ariff bin Mohd Rodzi.
Ceramah tersebut mengupas peristiwa penting Israk dan Mikraj, khususnya mengenai kewajipan solat sebagai kunci kebahagiaan akhirat.
Penceramah turut menekankan kepentingan memperbaiki diri dan meningkatkan amalan harian demi kejayaan di dunia dan akhirat.
Program ini diharapkan dapat menyuntik kesedaran dalam kalangan kakitangan KEDA untuk terus menghayati nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
MESYUARAT TAPAK PROJEK PEMBINAAN EMPAT UNIT RUMAH KEDAI SIDAM KANAN BERJALAN LANCAR

MESYUARAT TAPAK PROJEK PEMBINAAN EMPAT UNIT RUMAH KEDAI SIDAM KANAN BERJALAN LANCAR

KULIM – Mesyuarat Tapak Bilangan 01 bagi Projek Pembinaan Empat (4) Unit Rumah Kedai di Sidam Kanan telah berlangsung dengan jayanya di Bilik Mesyuarat Pejabat KEDA Zon 6, Kulim.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Pengurus Khidmat Pengurusan, Encik Mohd Ariff bin Mohd Rodzi, yang bertindak selaku Wakil Pegawai Penguasa projek.
Turut hadir ialah Pengurus Bahagian Pembangunan Usahawan, Encik Rojani bin Romeli, bersama pegawai-pegawai daripada Bahagian Pembangunan Usahawan, Pegawai Pembangunan Zon 6, Kulim, Encik Muhammad Hakim bin Ahmad Nadzir, serta wakil Bahagian Hartanah dan Prasarana Puan Sarina binti Nor juga turut serta dalam mesyuarat ini.
Selepas perbincangan selesai, satu lawatan ke tapak projek telah diadakan untuk meninjau perkembangan kerja pembinaan.
Berdasarkan laporan semasa, progres projek di tapak berjalan mengikut jadual yang telah dirancang, menunjukkan kelancaran pelaksanaan kerja di lapangan.
Projek ini dijangka memberikan impak positif kepada komuniti tempatan dengan menyediakan peluang perniagaan serta meningkatkan pembangunan ekonomi di kawasan Sidam Kanan.
KEDA RAI TRADISI BERKHATAN BERAMAI-RAMAI

KEDA RAI TRADISI BERKHATAN BERAMAI-RAMAI

POKOK SENA – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menghidupkan kembali tradisi berkhatan beramai-ramai di kawasan luar bandar dengan memperuntukkan sebanyak RM45,000 bagi menjayakan Program Khatan Perdana Anak-Anak Desa KEDA 2025.
Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom berkata, inisiatif ini melibatkan 100 peserta dari Kampung Bukit, Pokok Sena dan Desa KEDA Bukit Tukang Jusoh, Sungai Petani.
“KEDA menekankan aspek pembangunan modal insan sebagai salah satu fokus utama bagi tahun 2025, dengan menumpukan elemen kerohanian, pemerkasaan belia, serta aktiviti turun padang bersama masyarakat desa dan luar bandar,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa KEDA telah memperuntukkan sebanyak RM3.3 juta bagi pelaksanaan tiga program utama sepanjang tahun ini, iaitu Pemerkasaan Generasi Pewaris (GEN), Program Transformasi Desa dan Pengupayaan Komuniti (PTDPK), Program Pemantapan Pengurusan Organisasi Luar Bandar di Wilayah KEDA (PTIO).
“Ketiga-tiga program ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 30,000 penduduk desa dan luar bandar, yang merupakan pemegang taruh utama agensi ini,” tambah beliau.
Program Khatan Perdana ini merupakan antara usaha KEDA untuk mengukuhkan hubungan dengan komuniti dan mendekatkan agensi dengan masyarakat di kawasan luar bandar. Program ini disambut meriah dengan kehadiran keluarga peserta dan pelbagai aktiviti sokongan yang dianjurkan.
KEDA PERSIAP PASUKAN BOLA SEPAK UNTUK KEJOHANAN MAKSPEN KKDW 2025

KEDA PERSIAP PASUKAN BOLA SEPAK UNTUK KEJOHANAN MAKSPEN KKDW 2025

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) sedang giat mempersiap pasukan bola sepak dalam menghadapi Kejohanan Sukan Majlis Kebajikan dan Sukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (MAKSPEN KKDW) bagi tahun 2025 ini.
Terbaru pasukan bola sepak KEDA akan menyertai Kejohanan Liga Bola Sepak 2025 Daerah Kubang Pasu Piala Pegawai Daerah dan Champion Cup 2025 Piala Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kubang Pasu.
Kesemua barisan pengurusan, kejurulatihan dan 25 pemain telah diraikan dalam satu majlis iaitu Majlis Pelancaran Jersi Rasmi KEDA FC di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, di sini.
Majlis telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff. Turut hadir adalah Pengurus Khidmat Pengurusan yang juga Yang Dipertua Kelab Kebajikan, Sukan dan Kebudayaan KEDA, Encik Mohd Ariff bin Mohd Rodzi dan Ketua Unit Pelaburan dan Kawal Selia Anak Syarikat, Encik Hasrul Hasnizam bin Saad.
Tuan Ismasuhaimi ketika ditemui memaklumkan bahawa pasukan bola sepak ini dijenamakan dengan KEDA FC dan jolokan nama The Hornet.
“Pasukan KEDA FC ini akan melibatkan kerjasama antara barisan staf KEDA, jurulatih berpengalaman serta kombinasi pemain agensi dan jemputan luar.
Berpandukan kepada syarat penyertaan oleh pihak penganjur, KEDA juga akan menyenaraikan 2 pemain luar negara jemputan iaitu dari negara Somalia dan Nigeria yang juga merupakan pelajar di Universiti Antarabangsa Al-Bukhary, Alor Setar.
Berdasarkan kolabarasi ini, secara tidak langsung, staf KEDA yang berminat dalam sukan ini dapat menambah pengalaman dan kemahiran dalam memperkuat skuad KEDA bagi Kejohanan MAKSPEN nanti.
Sudah semestinya bola sepak adalah merupakan salah satu sasaran emas KEDA memandangkan sukan ini adalah merupakan ibu segala pingat”, ujar beliau.
KEDA optimis untuk misi memburu pingat emas di MAKSPEN 2025 kali ini dengan persiapan awal telah dibuat sejak awal tahun ini melalui penganjuran Kejohanan Sukan Kakitangan KEDA (SUKEDA).
Pada kejohanan MAKPSEN 2023 yang lalu, KEDA berada di tangga kelapan dari 14 pasukan bertanding dengan membawa pulang 3 pingat perak dan 1 pingat gangsa.
KEDA JENAMAKAN SEMULA DAN LANCAR JERSI RASMI PASUKAN BOLA SEPAK KEDA FC

KEDA JENAMAKAN SEMULA DAN LANCAR JERSI RASMI PASUKAN BOLA SEPAK KEDA FC

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah melancarkan jersi rasmi pasukan bola sepak KEDA Football Club (KEDA FC) dalam satu majlis di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar.
Selain melancarkan jersi rasmi pasukan, majlis yang diadakan ini turut memperkenalkan barisan pengurusan, kejurulatihan dan pemain yang akan mewakili kelab bola sepak KEDA ini.
Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff selaku Penaung KEDA FC.
Hadir bersama dalam majlis ini adalah Pengurus Khidmat Pengurusan, Encik Mohd Ariff bin Mohd Rodzi selaku Yang Dipertua Kelab Kebajikan, Sukan dan Kebudayaan KEDA (Kelab KEDA) dan Ketua Unit Pelaburan dan Kawal Selia Anak Syarikat, Encik Hasrul Hasnizam bin Saad selaku Pengurus Pasukan.
Dalam ucapan beliau, Tuan Ismasuhaimi menjelaskan bahawa pasukan bola sepak KEDA telah dijenamakan semula sebagai KEDA FC untuk meningkatkan pengiktirafan dan menarik perhatian umum.
“Pasukan yang dikenali dengan jolokan The Hornet ini diharap dapat meneruskan kegemilangan dalam arena bola sepak serta melahirkan bakat-bakat baharu yang berpotensi,” katanya.
Pasukan KEDA FC, yang terdiri daripada 25 pemain, bakal menyertai Kejohanan Liga Bola Sepak 2025 Daerah Kubang Pasu Piala Pegawai Daerah dan Champion Cup 2025 Piala Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kubang Pasu.
Menurut beliau, kejohanan tersebut telah bermula pada 10 Januari lalu, dan Pasukan KEDA FC akan memulakan saingan kumpulan D pada 16 Januari 2025 bertempat di Stadium Mini Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP), Jitra.
“Setiap pemain perlu memberi komitmen sepenuhnya dalam setiap perlawanan, mengikut peraturan, serta bekerjasama demi mencapai kejayaan pasukan,” tambahnya.
Majlis pelancaran itu turut menyaksikan penyerahan simbolik jersi baharu pasukan yang menampilkan reka bentuk ringkas tapi menarik dengan kombinasi warna kuning, biru, unggu dan hijau.
Semoga dengan penjenamaan ini dapat memberi nafas baru kepada pasukan bola sepak KEDA seterusnya memberi motivasi dalam mencipta kejayaan dalam arena ini.
KEDA TERIMA PERUNTUKAN RM 74.758 JUTA BAGI TAHUN 2025

KEDA TERIMA PERUNTUKAN RM 74.758 JUTA BAGI TAHUN 2025

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah berjaya menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM 74.758 juta (RM74,758,900).
Peruntukan keseluruhan bagi tahun 2025 ini adalah meliputi RM 40.758 juta (RM 40,758 900) membabitkan bajet pembangunan dan RM 34 juta (RM 34,000,000) melibatkan bajet pengurusan.
Bagi bajet pembangunan, ianya dipecahkan kepada beberapa skop iaitu melibatkan 7 projek prasarana berjumlah RM20.683 juta, 4 projek ekonomi dan pertanian berjumlah RM7.25juta, 5 projek modal insan sebanyak RM10.5 juta, 3 projek usahawan berjumlah RM 1.8 jutadan 1 projek sistem penyampaian berjumlah RM525,000.
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Majlis Amanat Tahun Baharu yang disempurnakan oleh Pengerusi KEDA, YBhg Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia Madani dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di atas keyakinan kepada KEDA.
“Seperti yang selalu saya tekankan, saya inginkan warga kerja KEDA istiqamah dalam segala kerja buat kita. Kita sudah berjuang untuk dapatkan bajet berdasarkan kertas kerja yang diangkat.
Justeru, semua perancangan kita ke arah matlamat yang dihasratkan. Jadi, seharusnya kita perlu pastikan landasan pelan yang dirancang digunakan dan diikuti sebaik-baiknya”, ujar beliau.
Pengerusi KEDA ketika menyampaikan amanat di Kompleks Ibu Pejabat KEDA ini telah berpesan kepada warga KEDA agar bersedia menerima perubahan semasa yang sedang berlaku.
“Dunia hari ini sesang berubah dengan sangat pantas. Penggunaan Teknologi, Artificial Intelligence (AI) dan juga pendigitalan perlu seiiring dengan kerja buat kita di KEDA.
Kita perlu bersama-sama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam membangunkan masyarakat desa dengan kapasiti dan kekuatan yang kita ada secara bersama”, ujar beliau.
Pada masa yang sama, Pengerusi KEDA turut menyerahkan sumbangan Back To School anjuran PUSPANITA Negeri Kedah dan hadiah saguhati Persembahan Agensi Sempena Perhimpunan Bulanan KKDW 2023/2024.
AMANAT TAHUN BAHARU 2025 BERSAMA PENGERUSI KEDA

AMANAT TAHUN BAHARU 2025 BERSAMA PENGERUSI KEDA

ALOR SETAR – Tahun baharu 2025 dimulakan dengan amanat yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom.
Majlis yang bermula seawal jam 9 pagi ini telah dihadiri 200 orang staf KEDA. Hadir bersama dalam majlis ini adalah Pengurus Besar, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) Hajah Afifah binti Haji Omar.
Beliau dalam amanatnya mengucapkan tahniah di atas kejayaan membanggakan KEDA bagi tahun 2024 selain menyeru agar bersedia untuk menerima perubahan dunia masa kini.
“Oleh kerana perubahan dunia yang begitu pantas, kita di KEDA perlu berpegang teguh kepada kepimpinan dan sentiasa berada dalam saf yang sama agar dapat mencapai misi dan visi agensi ini”, ujar beliau.
Dalam masa yang sama, Pengurus Besar KEDA juga menyeru agar warga KEDA terus komited menyumbangkan khidmat bakti dengan merealisasikan hasrat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW, YAB Dato, Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi.
“Amanat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW perlu kita hayati dan jadikan panduan landasan pengurusan pada tahun ini.
Tahun baharu adalah peluang untuk bermula kembali dari awal, untuk bertumbuh besar dan memperbaiki diri, serta berusaha lebih keras untuk mencapai tujuan kita.” ujar beliau.
BENGKEL HRMIS-MODUL PENGURUSAN PRESTASI (SUB-MODUL MYPERFORMANCE) KEDA

BENGKEL HRMIS-MODUL PENGURUSAN PRESTASI (SUB-MODUL MYPERFORMANCE) KEDA

ALOR SETAR – Seramai 58 pegawai Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), termasuk Pentadbir HRMIS yang terlibat dalam Pengurusan Prestasi MyPerformance, telah menghadiri Bengkel HRMIS-Modul Pengurusan Prestasi (Sub-Modul MyPerformance) KEDA di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, di sini.
Bengkel yang berlangsung pada 8 hingga 9 Januari 2025 inu dijalankan di Bilik Mesyuarat Utama Angsana. Ianya telah dianjurkan oleh Unit Pengurusan Sumber Manusia (UPSM), Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), dengan kerjasama Bahagian Perancangan, Pemantauan dan Penilaian (BPPP), serta Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Program ini bertujuan untuk memberi kefahaman kepada para peserta mengenai proses penyediaan Sasaran Kerja Utama (SKU) dalam usaha menyokong pembangunan Sub-Modul MyPerformance yang menggantikan Sasaran Kerja Tahunan (SKT).
Hadir sama Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Puan Hajah Afifah binti Haji Omar.
Bengkel dua hari itu dikendalikan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KKDW iaitu Ketua Penolong Setiausaha Pengurusan Sumber Manusia, Encik Muhammad Zuhaili bin Rosli dan Penolong Setiausaha Pengurusan Sumber Manusia, Puan Alia binti Ahmad Nasir serta Pegawai Teknologi Maklumat, Encik Azrali bin Aris.
Selain itu, bengkel ini juga bertujuan memberikan pendedahan dan bimbingan khusus kepada pegawai KEDA mengenai proses pembangunan, semakan, dan penetapan SKU di peringkat bahagian, zon, dan unit.
Diharapkan, peserta dapat melaksanakan proses tersebut dengan efisien ke dalam Sub-Modul HRMIS selepas tamat sesi bengkel.
Bengkel ini menjadi platform penting untuk memastikan proses pengurusan prestasi di KEDA selaras dengan perkembangan terkini teknologi pengurusan sumber manusia, sekali gus menyokong usaha KEDA dalam meningkatkan keberkesanan pengurusan prestasi organisasi.
LAWATAN KERJA PENGURUS BESAR KE ZON 9, BANDAR BAHARU BAGI TAHUN 2025

LAWATAN KERJA PENGURUS BESAR KE ZON 9, BANDAR BAHARU BAGI TAHUN 2025

BANDAR BAHARU – Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff telah hadir ke Bandar Baharu bagi beberapa aktiviti sempena memulakan tahun baharu 2025 ini.
Pengurus Besar telah hadir ke Desa KEDA Sungai Tengas bagi meraikan dan menyerahkan geran hak milik perumahan Desa KEDA kepada 59 penerima dari Desa KEDA Sungai Buluh, Desa KEDA Leret dan Desa KEDA Sungai Tengas sendiri.
Majlis ini turut dihadiri Pegawai Daerah Bandar Baharu, Tuan Mohd Noor bin Ismail. Tuan Pengurus Besar menyerahkan sendiri 59 geran kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) sambil menitipkan beberapa pesanan nasihat terutama mengekalkan keharmonian desa KEDA itu sendiri.
Setelah selesai majlis dan solat fardhu Zohor, Tuan Pengurus Besar seterusnya melawat tapak cadangan pembinaan stesen minyak berdekatan desa KEDA tersebut.
Menurut Tuan Pengurus Besar, lokasi yang dicadangankan itu sesuai dengan menjadi jalan utama dari Kulim ke Selama.
Stesen minyak ini dilihat berpotensi menjadi One Stop Centre kepada aktiviti ekonomi sekitar namun operator perlu kreatif dalam menambah fungsi stesen minyak seperti tapak cafe hipster, pusat aktiviti pengambilan barang online, bayaran bil-bil utiliti dan kedai serbaguna untuk penduduk setempat.
KEDA KOMITED SELESAIKAN ISU PEMILIKAN TANAH DESA-DESA KEDA

KEDA KOMITED SELESAIKAN ISU PEMILIKAN TANAH DESA-DESA KEDA

BANDAR BAHARU – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) terus mengambil langkah proaktif dalam menyelesaikan masalah pemilikan tanah di Desa-Desa KEDA dengan peruntukan sebanyak RM5.386 juta pada tahun ini.
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, berkata, sejak tahun 2018 hingga kini, sebanyak 1,533 keping geran hak milik telah diserahkan kepada penduduk Desa KEDA dan pada tahun ini, KEDA menjangkakan untuk menyerahkan kira-kira 200 lagi geran kepada Ketua Isi Rumah (KIR).
“Peruntukan ini meliputi bayaran premium tanah, proses hak milik serta kos lain yang berkaitan dengan penukaran hak milik.
“Dengan penyelesaian isu hak milik ini, waris peserta PPRS yang telah meninggal dunia dapat meneruskan kehidupan mereka di tanah tersebut,” katanya ketika berucap pada Sidang Media Majlis Serahan Geran Hak Milik Penduduk Desa-Desa KEDA Zon 9, di Dewan Desa KEDA Sungai Tengas, Serdang, di sini, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas kerjasama yang diberikan dalam mengeluarkan geran pemilikan tanah, serta berharap agar sokongan ini dapat diteruskan bagi mempercepatkan urusan hak milik tanah pada masa hadapan.
Majlis ini mencerminkan komitmen KEDA dalam memperkasakan komuniti luar bandar melalui pemilikan tanah yang sah, seterusnya memastikan kestabilan kehidupan generasi akan datang.