KUNJUNG HORMAT BDB KE KEDA

KUNJUNG HORMAT BDB KE KEDA

ALOR SETAR – Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, baru-baru ini menerima kunjungan hormat daripada Bina Darulaman Berhad (BDB) di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar, Alor Setar.
Delegasi BDB diketuai oleh Head of Water & Agriculture Business, Mr. Zaki Dato Zainal Abidin, bersama Chief Support Officer, Mr. Abdul Shukor bin Abdul Rahman.
Ketibaan delegasi tersebut disambut mesra oleh YBhg. Tuan Ismasuhaimi dan kakitangan KEDA.
Kunjung hormat ini bertujuan membincangkan potensi kerjasama strategik antara KEDA dan BDB, khususnya dalam pelaksanaan projek di daerah Sik yang dijangka memberikan impak besar kepada pembangunan kawasan luar bandar.
Turut hadir mewakili KEDA ialah Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, dan Pengurus Pembangunan Usahawan, Encik Rojani bin Romeli.
Dalam sesi tersebut, YBhg. Tuan Ismasuhaimi turut menyampaikan taklimat ringkas mengenai operasi dan peranan KEDA dalam membangunkan komuniti luar bandar di Kedah.
Kunjungan ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan baik antara KEDA dan BDB, serta membuka peluang kolaborasi dalam projek-projek pembangunan yang bermanfaat kepada masyarakat setempat.
KEDA AGENSI TERBAIK KESELURUHAN CABARAN 500K LANGKAH ANMS PERINGKAT NEGERI KEDAH 2024

KEDA AGENSI TERBAIK KESELURUHAN CABARAN 500K LANGKAH ANMS PERINGKAT NEGERI KEDAH 2024

ALOR SETAR – Tahniah! Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) cemerlang lagi! KEDA telah dinobatkan sebagai agensi terbaik keseluruhan Cabaran 500K Langkah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat Negeri Kedah bagi tahun 2024.
KEDA juga boleh berbangga apabila stafnya, Encik Mohd Faizul bin Mohd Fodzi dari Pejabat KEDA Zon 9, Bandar Baharu turut berjaya menggondol johan keseluruhan bagi kategori individu. Beliau juga berjaya mendapat tempat pertama bagi bulan Julai dan tempat ke-5 bagi bulan Ogos untuk kategori hadiah bulanan.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, YB Mejar (B) Mansor bin Zakaria.
Hadir mewakili KEDA adalah Pengurus Khidmat Pengurusan, Encik Mohd Ariff bin Mohd Rodzi dan Ketua Unit Komunikasi Korporat, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman.
Selain Encik Faizul, turut hadir adalah 2 lagi staf KEDA yang berjaya menempatkan diri dalam 10 peserta terbaik keseluruhan. Mereka ialah pemenang tempat ke-5, Encik Mohamad Zaherudin bin Khairun dari Pejabat KEDA Zon 3, Pendang/Pokok Sena dan pemenang tempat ke-9, Encik Mohd Syafiq bin Abdul Razak dari Unit Pentadbiran Am.
Kedua-dua mereka turut cemerlang apabila Encik Zaherudin berjaya mendapat tempat ke-6 bagi bulan Julai dan Encik Syafiq berjaya mendapat tempat ke-6 bagi bulan Ogos.
Dengan kemenangan ini, KEDA membawa pulang RM 2,000 dan sijil penyertaan. Kejayaan ini sangat membanggakan KEDA memandangkan dengan kekuatan 292 orang staf yang menjadi peserta, agensi ini berjaya menumpaskan 49 agensi lain yang bertanding.
Cabaran ini telah bermula seawal 1 Julai 2024 sehingga 31 Ogos 2024. Dengan penyertaan 49 agensi, seramai 3,687 staf kerajaan telah menyertai cabaran ini untuk kategori individu dan mewakil agensi masing-masing.
Seiring dengan matlamat ANMS itu sendiri, cabaran ini adalah bagi menggalakkan rakyat Kedah khususnya penjawat awam dalam mengaktifikan aktiviti fizikal untuk menjadi lebih cergas.
Tahniah KEDA!
Semestinya Kita Juara!
LAWATAN PENGAUDITAN OLEH JABATAN AUDIT NEGARA BERSAMA KDW DAN KEDA DI DAERAH BALING, KEDAH

LAWATAN PENGAUDITAN OLEH JABATAN AUDIT NEGARA BERSAMA KDW DAN KEDA DI DAERAH BALING, KEDAH

BALING – Satu lawatan pengauditan telah dilaksanakan oleh Jabatan Audit Negara bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) pada Rabu baru-baru ini.
Lawatan ini bertujuan untuk mengaudit pelaksanaan Projek Program Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT) Bencana Banjir di Iboi, Baling, yang merupakan sebahagian daripada Projek Bencana di Negeri Kedah.
Sesi lawatan ini turut melibatkan penyertaan beberapa pegawai daripada pelbagai jabatan dan bahagian, antara wakil yang hadir ialah dari Jabatan Audit Negara iaitu Timbalan Pengarah Audit Negara, YBhg. Datin Hasnira binti Husin dan Penolong Juruaudit, Encik Openg bin Manis.
Seterusnya, Bahagian Kesejahteraan Rakyat (KR), KKDW oleh Encik Mohamad Noor Firdaus bin Sahul Hameed dan Cik Izziantee binti Izzahan.
KEDA pula dihadiri oleh Ketua Unit Audit Dalam KEDA, Encik Mohd Hafizuddin bin Mohd Asri dan Bahagian Pembangunan Komuniti (BPK), KEDA iaitu Penolong Pengurus, Encik Mohamad Nasri bin Ahmad Shukri dan Bahagian Hartanah dan Prasarana, KEDA, dihadiri oleh Jurutera Awam, Encik Muhammad Faiz Helmi bin Shukri.
Pejabat KEDA Zon 5 Baling mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian pihak Jabatan Audit Negara, KKDW, dan KEDA untuk melaksanakan lawatan ini. Kerjasama yang diberikan oleh semua pihak diharapkan dapat membantu memastikan pelaksanaan projek ini berjalan lancar dan mematuhi semua standard yang ditetapkan.
Lawatan ini menandakan komitmen KEDA dan KKDW dalam memastikan projek-projek pembangunan luar bandar, khususnya projek berkaitan kesejahteraan rakyat, dilaksanakan dengan telus dan efisien demi manfaat komuniti setempat.
SKUAD IHSAN MADANI KEDA SEMANGAT BANTU RAKAN TERKESAN BANJIR

SKUAD IHSAN MADANI KEDA SEMANGAT BANTU RAKAN TERKESAN BANJIR

ALOR SETAR – Skuad Ihsan Madani KEDA menunjukkan semangat tinggi dan kerjasama dalam membantu rakan sekerja yang terkesan akibat bencana banjir di Suka Menanti, baru-baru ini.
Mangsa banjir, Muhamad Mushrif bin Mukhtar, yang bertugas di Bahagian Niagatani, meluahkan rasa terima kasih kepada semua anggota Skuad Ihsan Madani KEDA yang sudi membantu membersihkan rumahnya.
Rumah yang diduduki bersama kedua ibu bapanya itu terletak berhadapan dengan Sungai Anak Bukit, menyebabkan kediamannya terjejas teruk dalam kejadian banjir tersebut.
“Banyak peralatan rumah rosak teruk dan lumpur tebal memenuhi ruang dalam rumah. Kehadiran Skuad Ihsan Madani KEDA ini benar-benar membantu meringankan beban saya dan keluarga dalam membersihkan rumah,” kata Muhamad Mushrif.
Tambahnya lagi, peralatan pembersihan yang dibawa oleh skuad tersebut turut memudahkan kerja-kerja pembersihan.
Skuad Ihsan Madani KEDA yang terdiri daripada 11 kakitangan KEDA menunjukkan komitmen tinggi dan semangat kerjasama yang luar biasa dalam menjalankan tugas pembersihan di rumah mangsa banjir.
Kecekapan dan kesungguhan mereka jelas kelihatan dalam setiap langkah yang diambil untuk membantu rakan mereka yang terkesan.
SKUAD IHSAN MADANI KEDA JADI BARISAN HADAPAN EDAR BANTUAN MAKANAN SEKITAR SUKA MENANTI

SKUAD IHSAN MADANI KEDA JADI BARISAN HADAPAN EDAR BANTUAN MAKANAN SEKITAR SUKA MENANTI

ALOR SETAR – Seramai dua anggota Skuad Ihsan Madani Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menjadi antara barisan hadapan dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir di daerah sekitar Kota Setar dan Kubang Pasu.
Terkini, Encik Afnizan Azwan bin Azizan dan Encik Mohammad Hafiz Azim bin Saad dari Unit Logistik telah bersama-sama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Yayasan Foodbank Malaysia telah ke kawasan terjejas sekitar Suka Menanti, di sini bagi menghantar bantuan makanan kepada mangsa dan keluarga.
Kebersamaan antara agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini mencerminkan semangat kebersamaan demi meringankan beban masyarakat di negeri Kedah.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha bersepadu pelbagai pihak untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan mangsa banjir terus terpelihara.
35 SUKARELAWAN KEDA ZON 7 KUALA MUDA/YAN SERTAI MISI BANTUAN BENCANA BANJIR DI MUKIM DERANG

35 SUKARELAWAN KEDA ZON 7 KUALA MUDA/YAN SERTAI MISI BANTUAN BENCANA BANJIR DI MUKIM DERANG

POKOK SENA – Seramai 35 orang sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Pejabat KEDA Zon 7, Kuala Muda/Yan, Jawatankuasa Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Tepi Sungai serta belia dari Desa KEDA Tepi Sungai, Kota Kuala Muda, telah menyertai Misi Bantuan Bencana Banjir di Mukim Derang, Pokok Sena.
Misi ini bertujuan membantu penduduk yang terjejas akibat banjir dengan menyampaikan bantuan keperluan harian seperti bakul makanan, air mineral, ikan, beras, dan pelbagai barangan asas lain.
Selain itu, sukarelawan juga berganding bahu membantu membersihkan kawasan perumahan penduduk yang terjejas.
Langkah ini penting untuk memastikan keadaan persekitaran kembali bersih dan selamat untuk didiami.
Menurut wakil sukarelawan, usaha ini diharap dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa bencana serta memberikan mereka harapan untuk memulakan semula kehidupan seperti sediakala.
Misi ini turut mendapat sokongan pelbagai pihak yang menyumbangkan masa, tenaga, dan bahan bantuan. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan misi kemanusiaan ini.
Semoga usaha sebegini terus diperkasakan dalam membantu komuniti yang memerlukan di masa hadapan.
HARI KEEMPAT: SKUAD IHSAN MADANI BANTU MANGSA BANJIR PULANG KE RUMAH

HARI KEEMPAT: SKUAD IHSAN MADANI BANTU MANGSA BANJIR PULANG KE RUMAH

ALOR SETAR – Skuad Ihsan Madani Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) terus berganding bahu bersama barisan hadapan dalam usaha membantu mangsa banjir di Negeri Kedah.
Pada hari keempat operasi, Skuad Ihsan MADANI KEDA telah bergerak dari Kompleks Ibu Pejabat KEDA dan bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk membantu proses pemindahan mangsa banjir dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dato Kumbar ke Taman Uda.
Selain itu, pasukan turut membawa ubat-ubatan dan jururawat ke Sekolah Kebangsaan Gunong, di sini.
Antara staf yang terlibat Encik Thanashilan a/ Mhogawan dan Encik Mohd Reza Azril bin Rahmat dari Bahagian Pembangunan Usahawan serta Encik Afnizan Azwan bin Azizan dan Encik Mohammad Hafiz Azim bin Saad dari Unit Logistik.
SKUAD IHSAN MADANI KEDA TURUN PADANG BANTU STAF TERKESAN BANJIR SIRI KEDUA

SKUAD IHSAN MADANI KEDA TURUN PADANG BANTU STAF TERKESAN BANJIR SIRI KEDUA

ALOR SETAR – Seramai 10 orang staf Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah turun padang bagi membantu salah seorang mangsa banjir yang juga merupakan staf KEDA iaitu Encik Khairul Syaifulnizam bin Khairul Anuar dari Unit Logistik.
Skuad Ihsan MADANI KEDA telah tiba seawal jam 9.15 pagi di rumah mangsa yang terletak di Taman Tabung Haji, Jitra dengan membawa peralatan untuk membersihkan kawasan.
Menurut mangsa, beliau bersama isteri dan dua orang anak menyedari rumah dinaiki air pada jam 3.00 pagi hari Jumaat.
Setelah itu, mereka sekeluarga termasuk penduduk taman itu bergegas mencari tempat perlindungan.
Setelah tiba, ahli skuad bertindak membersihkan kawasan ruang tamu dan bilik rumah mangsa termasuk membuang perkakas yang musnah akibat banjir ini.
Terima kasih Skuad Ihsan Madani KEDA atas keprihatinan dan bantuan yang diberikan. Kepada Encik Khairul Syaifulnizam sekeluarga, semoga tabah menghadapi dugaan.
LAWATAN PROGRAM EKSPEDISI PEMBELAJARAN KEJAYAAN EKONOMI DESA (X-PED) KLUSTER PERTANIAN

LAWATAN PROGRAM EKSPEDISI PEMBELAJARAN KEJAYAAN EKONOMI DESA (X-PED) KLUSTER PERTANIAN

SELANGOR – Dua peserta projek tanaman serai dari Baling iaitu Encik Mohd Hassan bin Aziz dan Encik Nor Hazli bin Mohd Nor, telah terpilih mewakili Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dalam Lawatan Program Ekspedisi Pembelajaran Kejayaan Ekonomi Desa (X-PED) Kluster Pertanian anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang berlangsung di Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPK KL) baru-baru ini.
Program yang berlangsung selama dua hari itu melibatkan 22 peserta daripada 11 kampung terpilih, bertujuan memberi pendedahan kepada komuniti luar bandar mengenai teknologi dan amalan terbaik dalam bidang pertanian.
Melalui lawatan ini, para peserta berpeluang mempelajari teknik-teknik pertanian moden yang berpotensi meningkatkan produktiviti dan seterusnya menambah pendapatan mereka.
X-PED merupakan salah satu daripada 62 program dan inisiatif KKDW yang dirancang khusus untuk membantu komuniti luar bandar memperkasakan ekonomi melalui sektor pertanian.
Program ini juga menjadi platform untuk menghubungkan peserta dengan pihak-pihak berkepentingan dalam bidang agrikultur.
Majlis penutupan program turut disertai dengan penyampaian sijil dan cenderahati kepada semua peserta, menandakan penghargaan atas komitmen mereka sepanjang program berlangsung.
Program seperti X-PED ini amat penting untuk memberi motivasi dan pengetahuan kepada komuniti luar bandar supaya lebih berdikari serta mampu bersaing dalam sektor pertanian yang semakin mencabar.
Dengan pendedahan seperti ini, diharapkan para peserta dapat menerapkan pengetahuan baharu dalam projek mereka dan menyumbang kepada kejayaan ekonomi desa.

PROGRAM SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK DESA KEDA SADEK KUPANG BALING

BALING – Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Zon 5, Baling dengan kerjasama Jawatankuasa 4P Desa KEDA Sadek dan Tabika Kemas Desa KEDA Sadek telah menganjurkan Program Sambutan Hari Kanak-Kanak yang berlangsung di perkarangan Tabika Kemas Desa KEDA Sadek.
Program ini bertujuan untuk menghargai kanak-kanak sebagai penyambung generasi bangsa dan negara, selain memupuk budaya sihat serta membimbing mereka ke arah pembentukan sahsiah yang positif.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan bagi mengisi program ini, termasuk pertandingan mewarna Kanak-Kanak Tabika Kemas, isi air dalam botol, cari gula-gula dalam tepung, dan permainan sukaneka seperti “Semakin Jauh Semakin Sayang”.
Aktiviti indoor dan outdoor yang disusun berjaya menarik perhatian kanak-kanak serta memberikan suasana ceria sepanjang program.
Program dimulakan dengan taklimat ringkas sebelum diteruskan dengan permainan sukaneka dan kemuncak acara ialah majlis penghargaan dan penyampaian hadiah, yang disempurnakan oleh Pegawai Pembangunan KEDA Zon 5 Baling, Encik Mohamad Yusran Azali bin Mohamad Fadzil dan Pengerusi Jawatankuasa 4P Desa KEDA Sadek.
Program ini telah meninggalkan kenangan manis buat semua peserta, terutamanya kanak-kanak, selain mengeratkan hubungan komuniti Desa KEDA Sadek.