BICARA EKSEKUTIF MERIAHKAN HARI INTERAKTIF AKRAB KEDA TAHUN 2024

BICARA EKSEKUTIF MERIAHKAN HARI INTERAKTIF AKRAB KEDA TAHUN 2024

ALOR SETAR – Harmoni dan ilmiah. Inilah gambaran kepada Bicara Eksekutif “Kerjaya dan Keluarga” yang dianjurkan oleh Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
Bicara ini dianjurkan oleh AKRAB KEDA bersempena Hari Interaktif AKRAB KEDA Tahun 2024. Seramai 60 orang hadir ke program ini yang diadakan di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, disini.
Mereka terdiri daripada ahli AKRAB KEDA yang diketuai oleh Pengurus Perancangan, Pemantauan dan Penilaian yang juga Pengerusi AKRAB KEDA, Encik Mohd Elias bin Hassan, Penyelaras AKRAB KEDA, Encik Muhammad Nasir bin Abdullah dan staf KEDA yang lain.
Lebih meriah, program ini turut dihadiri oleh 20 orang delegasi AKRAB dari Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan agensi dibawahnya seperti RISDA, MARA, KEMAS, FELCRA, JAKOA dan KEJORA.
Delegasi ini hadir dalam rangka lawatan bersempena Kembara AKRAB ke PERDA dan KEDA yang berlangsung selama 3 hari 2 malam.
Sesi bicara eksekutif ini telah dipengerusikan oleh Ketua Unit Komunikasi Korporat, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman. Selaku moderator, beliau juga adalah merupakan ahli AKRAB KEDA.
2 panelis telah dijemput untuk bual bicara ini iaitu Ketua Pegawai Psikologi KKDW, Puan Zulaiha binti Aman dan Pegawai Psikologi KKDW yang juga Penyelaras AKRAB KKDW, Puan Norazizah binti Azizan.
Sesi yang berlangsung selama satu jam 30 minit ini diisi dengan sesi perkongsian input dan pengalaman melibatkan kerjaya, keluarga dan fungsi AKRAB itu sendiri.
Akhirnya, sesi cabutan bertuah diadakan kepada hadirin yang terlibat dalam bual bicara ini. Semoga semua mendapat manfaat dan membawa pulang ilmu berguna sempena majlis ilmu seperti ini.
PEJABAT KEDA ZON 8 ANJUR KURSUS ASAS TIKTOK CONTENT CREATOR

PEJABAT KEDA ZON 8 ANJUR KURSUS ASAS TIKTOK CONTENT CREATOR

KUBANG PASU – Pejabat KEDA Zon 8, Kota Setar/Kubang Pasu berjaya menganjurkan Kursus Pendigitalan (Kursus Asas Tiktok Content Creator) bertempat di Dewan Seminar Pusat Pembangunan Usahawan KEDA, Napoh, Jitra, di sini.
Kursus ini dikendalikan oleh Influencer Tiktok terkenal, Puan Norizalina binti Azhar yang juga merupakan CEO SWI Global Sdn. Bhd. Kursus tersebut disertai oleh belia-belia, kepimpinan ahli jawatankuasa 4P Desa KEDA, serta kakitangan Pejabat KEDA Zon 8.
Fokus utama kursus ini adalah untuk memberi pendedahan asas kepada pembikinan kandungan menggunakan aplikasi Tiktok.
Langkah ini bertujuan melahirkan kepimpinan dan penduduk Desa KEDA yang lebih proaktif dalam mempromosikan produk dan kampung masing-masing melalui platform digital.
Para peserta kursus diharapkan dapat menggunakan ilmu yang diperoleh untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang pendigitalan dan seterusnya memberi impak positif kepada komuniti setempat.
PROGRAM CERAMAH BICARA WANITA MEMPERSIAPKAN WANITA BERKERJAYA

PROGRAM CERAMAH BICARA WANITA MEMPERSIAPKAN WANITA BERKERJAYA

ALOR SETAR – Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) KEDA dengan kerjasama Surau An-Nur KEDA telah berjaya menganjurkan Program Ceramah Bicara Wanita di Kompleks Ibu Pejabat KEDA kelmarin.
Program ini bertujuan untuk memperkasakan wanita berkerjaya dengan memberi panduan dan motivasi yang relevan dalam menguruskan kerjaya dan kehidupan peribadi mereka.
Ceramah bertemakan “Wanita dan Kerjaya” telah disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Syeikh Yusoff bin Ahmad.
Dalam ceramahnya, beliau menekankan kepentingan keikhlasan, kesabaran, keredhaan, dan kesyukuran dalam menjalankan tugas harian.
Menurut beliau, setiap wanita berkerjaya perlu sentiasa memperbetulkan niat dan hati mereka setiap kali melaksanakan tugasan, supaya ia menjadi ibadah yang mendapat keberkatan.
Seramai lebih daripada 50 kakitangan wanita menghadiri program tersebut. Kehadiran yang memberangsangkan ini menunjukkan minat dan kesungguhan para peserta untuk memperkaya diri dengan ilmu pengetahuan yang dapat membantu mereka dalam kerjaya.
Secara keseluruhannya, Program Ceramah Bicara Wanita ini terus diadakan dalam memberikan panduan dan motivasi kepada para peserta dan ia juga menunjukkan komitmen PUSPANITA KEDA dalam memperkasakan wanita berkerjaya agar mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih baik, sambil tetap menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.
KUNJUNG HORMAT uniSHAMS KE KEDA

KUNJUNG HORMAT uniSHAMS KE KEDA

ALOR SETAR– Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (uniSHAMS) telah melakukan kunjung hormat ke Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar di sini, hari ini.
Kunjungan ini bertujuan untuk mempererat hubungan serta membincangkan potensi kerjasama strategik antara kedua-dua institusi tersebut.
Sesi kunjung hormat ini dihadiri oleh beberapa pegawai kanan uniSHAMS, termasuk Pengarah Pusat Kecemerlangan Cordoba Of Kedah Pejabat Naib Canselor, Dr. Suhaimi bin Mohd Yusof, Dekan Kulliyyah Kewangan Islam, Sains Pengurusan dan Hospitaliti (KWISH), Dr. Asnani binti Bahari, Pengarah Pusat Pengajaran Universiti dan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PUSH), Puan Rafidah binti Abd Rahman, dan Timbalan Pengarah Pusat Strategi Penarafan Institusi (PSPI), Dr. Mohamad Fazali bin Ghazali.
Delegasi uniSHAMS juga mengambil kesempatan untuk berkongsi visi dan misi universiti dalam memperkukuhkan peranan institusi pendidikan tinggi dalam pembangunan negara.
Antara lain yang dikongsikan adalah potensi kolaborasi strategik yang boleh dilaksanakan antara KEDA dan uniSHAMS dalam usaha memperkukuhkan pembangunan komuniti.
Kedua-dua pihak bersetuju bahawa kerjasama ini boleh membawa manfaat besar, terutamanya dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti dan peluang latihan bagi masyarakat luar bandar.
Pada akhir sesi kunjung hormat ini, kedua-dua pihak menyatakan harapan yang tinggi agar kerjasama yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya dan menyatakan keyakinan bahawa dengan kerjasama ini akan dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan pendidikan dan sosio-ekonomi di negeri Kedah.
SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1446H DI DESA-DESA KEDA DAERAH SIK

SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1446H DI DESA-DESA KEDA DAERAH SIK

SIK – Sambutan Maal Hijrah 1446H di semua Desa-Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dalam Daerah Sik telah selesai dengan jayanya, melibatkan pelbagai aktiviti yang berjaya mengeratkan silaturrahim antara penduduk kampung dan memperkukuh semangat keagamaan.
Sambutan yang berlangsung dari 10 Julai hingga 26 Julai ini menyaksikan pelbagai program dianjurkan bagi memperingati peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W, antaranya, Program Kacau Bubur Asyura yang menjadi tumpuan utama penduduk kampung.
Program ini bukan sahaja menghidupkan tradisi lama tetapi juga berjaya merapatkan hubungan antara penduduk melalui aktiviti gotong-royong.
Pada sebelah malam, Pengurusan Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) telah menyusun ceramah agama yang berfokus kepada menghayati peristiwa bersejarah pengorbanan Rasulullah S.A.W. Penceramah jemputan menyampaikan pengajaran dari peristiwa hijrah baginda dan para sahabat, serta mengajak penduduk kampung untuk mengambil ibrah dari peristiwa tersebut dalam kehidupan seharian.
Sambutan ini turut mendapat sokongan penuh dari pihak KEDA Zon 4, Sik yang berharap agar aktiviti sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan.
Dengan penyertaan yang tinggi dari penduduk setempat, sambutan Maal Hijrah 1446H ini diharapkan dapat menyemai semangat perpaduan dan keagamaan yang lebih mendalam di kalangan masyarakat kampung.
RM 4.76 JUTA BANTUAN KEDA DITERIMA PENDUDUK DAERAH KULIM

RM 4.76 JUTA BANTUAN KEDA DITERIMA PENDUDUK DAERAH KULIM

KULIM – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah memperuntukkan RM 4.76 juta dalam memberi bantuan kepada penduduk daerah Kulim.
Bantuan ini melibatkan RM 116, 882 bantuan ekonomi dan RM 4.644 juta melibatkan bantuan PPRT bagi kategori baik pulih dan bina baharu tahun 2023 di mana KEDA adalah merupakan salah satu agensi pelaksana PPRT di bawah KKDW untuk negeri Kedah.
Bantuan ekonomi ini pula merangkumi Program Peningkatan Pendapatan (PPP) dan Projek Integrasi Pembangunan Kawasan Terpilih (PIKAT).
Penerima bantuan diraikan dalam Program Kolaborasi bagi Serahan Zakat Ehsan Tabung Haji Negeri Kedah 2024 kepada Penduduk Desa KEDA Nagalilit, Kulim bertempat di Dewan Budi Muafakat, Sungai Seluang, di sini.
Turut diadakan adalah sesi serahan Zakat Ehsan dari Tabung Haji Negeri Kedah kepada 128 orang penduduk Desa KEDA Nagalilit dan 55 orang pelajar Kolej KEDA.
Majlis ini lebih meriah dengan kehadiran Pengurus Besar KEDA, Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, Pengarah Wilayah Utara Tabung Haji, YBhg. Dato’ Mohamad Mukhzani bin Muktar, Ketua Kewangan Tabung Haji Negeri Kedah, YBhg. Tuan Haji Fisol bin Nayan.
Turut hadir bersama adalah Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar dan Pegawai Pembangunan KEDA Zon 6, Kulim, Encik Muhammad Hakim bin Ahmad Nadzir.
Dalam ucapan, Pengurus Besar KEDA mengingatkan para penerima agar besyukur dengan nikmat yang diberikan.
“Sejak 41 tahun penubuhan KEDA, anggaran RM 2.34 bilion telah dibawa ke negeri Kedah dan secara tidak langsung hasilnya dapat dirasai rakyat negeri jelapang padi ini
Kepada para penerima, saya sangat berharap agar semua menggunakan kesempatan, peluang yang ada ini sebaik mungkin.
Gunakan nikmat yang diberi Allah untuk kita pula menyumbang kepada yang memerlukan. Saya yakin jika rantaian kebaikan ini menjadi budaya masyarakat kita, InsyaAllah, Malaysia Madani ini akan senantiasa dibajai dengan keharmonian dan kesejahteraan”, ujar beliau.
PROGRAM KOLABORASI BAGI SERAHAN ZAKAT EHSAN TABUNG HAJI NEGERI KEDAH 2024 KEPADA PENDUDUK DESA KEDA NAGALILIT

PROGRAM KOLABORASI BAGI SERAHAN ZAKAT EHSAN TABUNG HAJI NEGERI KEDAH 2024 KEPADA PENDUDUK DESA KEDA NAGALILIT

KULIM – Seramai 128 orang penduduk Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Nagalilit dan 55 orang pelajar Kolej KEDA telah terpilih untuk menerima sumbangan Zakat Ehsan dari Tabung Haji Negeri Kedah Darul Aman.
Mereka diraikan di Dewan Budi Muafakat, Sungai Seluang, di sini oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, Pengarah Wilayah Utara Tabung Haji, YBhg. Dato’ Mohamad Mukhzani bin Muktar dan Ketua Kewangan Tabung Haji Negeri Kedah, YBhg. Tuan Haji Fisol bin Nayan.
Turut hadir adalah Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar dan Pegawai Pembangunan KEDA Zon 6, Kulim, Encik Muhammad Hakim bin Ahmad Nadzir.
Selain itu, kaunter Tabung Haji turut dibuka kepada tetamu yang hadir dan berminat untuk membuka akaun Tabung Haji.
Ini adalah inisiatif KEDA dalam menggalakkan lebih ramai penduduk desa KEDA membuka akaun Tabung Haji serta memasang niat untuk menyempurnakan rukun Islam kelima iaitu menunaikan haji.
Terima kasih pihak Tabung Haji Negeri Kedah, Terima Kasih penduduk Desa KEDA daerah Kulim serta Tahniah Pejabat KEDA Zon 6, Kulim.
DESA KEDA NAGALILIT JOHAN PERTANDINGAN KACAU BUBUR ASYURA PERINGKAT KEDA ZON 6, KULIM

DESA KEDA NAGALILIT JOHAN PERTANDINGAN KACAU BUBUR ASYURA PERINGKAT KEDA ZON 6, KULIM

KULIM – Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Nagalilit telah dinobatkan sebagai johan Pertandingan Kacau Bubur Asyura bagi peringkat Pejabat KEDA Zon 6, Kulim tahun ini.
Aktiviti ini bersempena Program Kolaborasi bagi Serahan Zakat Ehsan Tabung Haji Negeri Kedah 2024 kepada Penduduk Desa KEDA Nagalilit dan Penyerahan Bantuan KEDA bagi tahun 2024 di Dewan Budi Muafakat, Sungai Seluang, di sini.
Kejayaan ini berterusan setelah desa KEDA ini juga turut memenangi Johan Anugerah Desa KEDA Madani Tahun 2024 pertengahan Julai baru-baru ini.
Sebagai johan, desa KEDA Nagalilit membawa pulang piala pusingan dan wang tunai RM 200. Naib johan pula dimenangi oleh Desa KEDA Bagan Sena dan Desa KEDA Dingin.
Aktiviti ini dijalankan bersempena meraikan sambutan Maal Hijrah Tahun 1446. Majlis ini telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, Pengarah Wilayah Utara Tabung Haji, YBhg. Dato’ Mohamad Mukhzani bin Muktar dan Ketua Kewangan Tabung Haji Negeri Kedah, YBhg. Tuan Haji Fisol bin Nayan.
Turut hadir bersama adalah Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar dan Pegawai Pembangunan KEDA Zon 6, Kulim, Encik Muhammad Hakim bin Ahmad Nadzir.
KUNJUNG MESRA KEDA BERTEMU PEGAWAI DAERAH SIK

KUNJUNG MESRA KEDA BERTEMU PEGAWAI DAERAH SIK

SIK – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah mengadakan kunjungan mesra bertemu dengan Pegawai Daerah Sik yang baharu, Encik Faisal Rizal bin Mohammad.
Kunjungan tersebut bertujuan untuk memperkenalkan diri serta membincangkan pelbagai projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di daerah tersebut.
Delegasi KEDA yang diketuai oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, turut disertai oleh beberapa pegawai kanan KEDA. Antara yang hadir termasuklah Pengurus Niagatani, Encik Sulaiman bin Mohd Noor; Penolong Pengurus Perancangan Pemantauan dan Penilaian, Encik Mohamad Amin bin Abdul Rahim, Pegawai Pembangunan Zon 4 Sik, Encik Mohd Noor Farzli bin Adenan, serta kakitangan Bahagian Niagatani dan Pejabat KEDA Zon 4, Sik.
Dalam pertemuan tersebut, Encik Khairul Azmeer telah mengambil kesempatan untuk memberikan taklimat ringkas mengenai projek-projek yang sedang giat dijalankan oleh KEDA di daerah Sik. Projek-projek ini termasuklah Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK), Projek Agrotourism Pantai Molek, dan Projek Menaiktaraf Persimpangan Jalan Sungai Namek Sik.
Tujuan utama kunjungan ini adalah untuk memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara KEDA dan Pejabat Daerah Sik dalam usaha mensejahterakan masyarakat luar bandar serta meningkatkan tahap sosioekonomi penduduk dalam wilayah KEDA.
Diharapkan kunjungan mesra ini akan membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada KEDA untuk terus berusaha memajukan daerah Sik dan membantu meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.
SEMINAR MEMPERKASAKAN KOPERASI PEMBANGUNAN KAMPUNG-KAMPUNG KEDA PERINGKAT NEGERI KEDAH 2024

SEMINAR MEMPERKASAKAN KOPERASI PEMBANGUNAN KAMPUNG-KAMPUNG KEDA PERINGKAT NEGERI KEDAH 2024

ALOR SETAR – Koperasi Pembangunan Kampung-kampung KEDA di negeri Kedah telah diberi suntikan semangat baru menerusi seminar yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) baru-baru ini.
Seminar tersebut diadakan di Raia Hotel Convention Centre, Alor Setar, bertujuan untuk memperkasakan koperasi di peringkat kampung dan meningkatkan pemahaman mengenai peranan serta tanggungjawab mereka dalam menggerakkan aktiviti koperasi.
Seminar ini berjaya menarik kehadiran 122 orang peserta yang terdiri daripada Ahli Lembaga Koperasi (ALK) dan ahli koperasi Desa-desa KEDA. Turut hadir adalah Pegawai Pembangunan Zon dan penyelia Koperasi Desa-desa KEDA, yang bersama-sama memeriahkan program dan memberikan sokongan kepada usaha memperkasakan koperasi ini.
Program ini telah disempurnakan oleh Naib Ketua Pegawai Eksekutif Operasi dan Kawalselia Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Puan Siti Azlin binti Ahmad Dauta.
Hadir menjayakan program Pengurus Pembangunan Komuniti (BPK) KEDA, Encik Mohd Azam bin Omar.
Dalam seminar tersebut, para peserta didedahkan dengan maklumat terkini mengenai pembangunan koperasi serta pelbagai strategi yang boleh diaplikasikan untuk mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan koperasi.
Para peserta diberi penerangan mengenai peranan dan tanggungjawab koperasi dalam pelbagai aspek, termasuk pengurusan kewangan, strategi pemasaran, dan pembangunan sumber manusia.
Sesi ini juga memberi peluang kepada ahli koperasi untuk berkongsi pengalaman dan bertukar pandangan bagi meningkatkan keberkesanan operasi koperasi masing-masing.
Penganjuran seminar ini adalah salah satu inisiatif KEDA dan SKM untuk memastikan koperasi di kampung-kampung terus berdaya saing dan dapat menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi setempat.
Dengan adanya seminar seperti ini, diharapkan koperasi-koperasi tersebut akan lebih berupaya untuk menghadapi cabaran dan merebut peluang yang ada dalam usaha memajukan komuniti mereka.