KEDA TIMBA PENGALAMAN PENGURUSAN PPRT DI NEGERI SABAH

KOTA KINABALU – Seramai 94 orang pegawai dan kakitangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) berpeluang menimba pengetahuan dan pengalaman baharu mengenai operasi dan cabaran dalam pengurusan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di negeri Sabah.
Sesi perkongsian ini dilaksanakan dalam majlis perasmian Program Lawatan Penanda Aras PPRT KEDA Ke Sabah yang telah dirasmikan oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar.
Pegawai dan kakitangan KEDA berpeluang mengetahui pengurusan dan cabaran dalam pelaksanaan PPRT di negeri Sabah yang dilaksanakan oleh Pejabat KKDW Negeri Sabah, GiatMara Negeri Sabah dan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB).
Ketiga-tiga agensi berkenaan menyampaikan taklimat mengenai status semasa pelaksanaan PPRT, isu yang dihadapi dan cadangan penyelesaian.
Turut dikongsikan adalah gambar-gambar keadaan sebenar rumah asal penerima bantuan, keadaan laluan yang jauh ke pedalaman dan rumah baharu yang telah siap dibina.
Majlis perasmian turut dihadiri oleh Pengarah GiatMara Sabah, Encik Ts. Azizzudin A. Aziz, Pegawai Operasi SLDB, Encik Ab Rojhan bin Jalil dan Ketua Unit Teknikal Pejabat KKDW Negeri Sabah, Encik Alvin Michael Lo.
Encik Khairul Azmeer dalam ucapannya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua agensi yang hadir serta sudi berkongsi pengetahuan dalam majlis berkenaan.

BELIA DESA KEDA DIBERI TAKLIMAT PERTUBUHAN BELIA

BALING – Belia-belia Desa KEDA Keledang dan Desa KEDA Teluk Teduri menghadiri sesi taklimat mengenai pertubuhan belia dan dokumentari yang diadadakan baru-baru ini.
Sesi taklimat itu diadakan oleh Pejabat KEDA Zon 5, Baling bersama Pejabat Belia dan Sukan daerah Baling.
Sesi taklimat ini disampaikan oleh Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Daerah Baling, Puan Siti Salmiah binti Md Ani dan Penolong Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Daerah Baling, Encik Danial Shamad Kesvab bin Abdullah.
Hadir menjayakan program iaitu Pegawai Pembangunan Zon 5, Baling, Encik Mohamad Yusran Azali bin Mohamad Fadzil.
Pegawai Belia dan Sukan memberikan taklimat mengenai Maklumat Yang Kena Diberi (MYKD) dan menerangkan panduan pengurusan pertubuhan belia.
Objekttif Penubuhan Kelab Belia iaitu menggalakkan dan mendorong pertubuhan belia supaya memainkan peranan positif dan berkesan kepada masyarakat serta menggalakkan kemajuan pertubuhan belia yang seimbang dalam pelbagai bidang.
Pada sesi itu, KEDA amat mengalakkan belia Desa KEDA bergerak dalam pertubuhan belia supaya dapat memupuk semangat bertanggungjawab, semangat patriotisme dan kesukarelawan dikalangan ahli.
Besar harapan KEDA agar sesi taklimat ini dapat membantu belia-belia Desa KEDA sebagai langkah awal untuk bergerak aktif dalam pertubuhan belia bagi melahirkan belia Desa KEDA yang cemerlang.

PEJABAT KEDA ZON 4 SIK, JAYAKAN PROGRAM DI 6 DESA KEDA

SIK – Penghayatan Tahun Baharu Warga Madani bukan semata-mata menyambut kedatangan tahun baharu, tetapi lebih menekankan pengisian berbentuk kerohanian dan pembangunan sahsiah.
Justeru, Pejabat KEDA Zon 4, Sik tidak melepaskan peluang menjayakan program Penghayatan Tahun Baharu Warga Madani Desa KEDA di 6 perkampungan Desa KEDA Daerah Sik sebagai tanda sokongan dalam konteks menzahirkan konsep Malaysia Madani.
Program Penghayatan Tahun Baharu Warga Madani Desa KEDA ini dapat merapatkan silaturahim diantara semua warga Desa KEDA serta komuniti setempat.
Program ini merupakan platform terbaik dalam memperkukuhkan tautan muhibbah dalam kemasyarakatan disamping dapat merealisasikan hasrat kerajaan membentuk komuniti yang mempunyai nilai murni yang tinggi dan dan saling hormat menghormati diantara satu sama lain.
Ceramah tahun baharu dan aktiviti kemasyarakatan merupakan salah satu aspek yang ditekankan bagi mencapai objektif dan impak utama program ini.
Objektif utama program ini dijalankan adalah membentuk sahsiah komuniti dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian serta meningkatkan semangat motivasi gaya hidup bermasyarakat.
Selain itu, program ini merapatkan hubungan sosial dan persekitaran disamping memperkasakan penduduk Desa KEDA melalui aktiviti berimpak tinggi untuk meningkatkan kerharmonian dan kesejahteraan bagi pembangunan Komuniti Rahmah.

KEDA TERUS PERKASA PEGAWAI PENGGERAK PPRT TAHUN 2024

PERAK – Pengurusan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) mengambil inisiatif memantapkan gerak kerja yang lebih efektif pada tahun 2024 kepada pegawai pelaksana Program Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kedah.
Ini dibuktikan dengan penganjuran Bengkel Penyelarasan dan Pemantapan Gerak Kerja PPRT kepada Pegawai Pelaksana PPRT KEDA Tahun 2024 dengan Kerjasama PUSPANITA KEDA.
Bengkel ini dilaksanakan selama 3 hari 2 malam di Murni Camp Gopeng, Perak dengan kehadiran seramai 50 pegawai.
Bengkel ini bertujuan menyelaras projek PPRT dan memantapkan gerak kerja yang lebih efektif dalam melaksanakan PPRT supaya lebih berkesan dan tersusun.
Dalam pada itu, bengkel berkenaan menekankan semangat kerja berpasukan dan kerjasama dalam merealisasikan matlamat KEDA.
Besar harapan KEDA agar bengkel ini dapat meningkatkan motivasi dan jati diri sebagai seorang penggerak kepada projek PPRT untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk luar bandar.
KEDA adalah salah satu agensi pelaksana PPRT di Negeri Kedah yang melaksanakan kerja berkaitan PPRT bermula siasatan peserta yang dikeluarkan oleh Surat Arahan Pelaksanaan (SAP) sehingga pembinaan termasuk semakan pemantauan selepas pembinaan.

KEDA TEMPAT KETIGA KEJOHANAN BOLA TAMPAR TERTUTUP DOLKAU

JERLUN – Membanggakan. Itulah kata-kata penghargaan boleh diberikan kepada Pasukan Bola Tampar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang telah berjaya mendapat tempat ketiga dalam Kejohanan Bola Tampar Tertutup Dolkau.
Kejohanan anjuran Kelab Bola Tampar Dolkau ini menemukan 16 pasukan hebat sama ada dari agensi mahupun kelab dari seluruh negeri Kedah.
Antara agensi kerajaan terlibat adalah Universiti Utara Malaysia (UUM), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah (BOMBA KEDAH) dan Pasukan Gerakan Am Kulim (PGA KULIM)
Antara kelab yang terlibat adalah Kelab Dolkau sendiri, Sin Min Private Volleyball Club (SMP VC), Kelab Bola Tampar Kelisa Ria, ACC Volleyball Club (ACC VC), SUKMA Player Kedah Volleyball Club (SPK VC), Kelab Bola Tampar Lubuk Merbau, Tualang Volleyball Club, Black Chang Volleyball Club, Panda Riot Volleyball Club, Rebel Volleyball Team, Cekgu Volleyball Club.
Kejohanan yang berlangsung selama 2 hari bermula 26 Januari 2024 ini dibahagikan kepada 4 kumpulan dan pasukan KEDA diletakkan dalam kumpulan A bersama Dolkau, SMP VC dan MADA.
Pasukan KEDA berjaya melangkah ke suku akhir setelah menjadi Naib Johan kumpulan dan turut berjaya ke separuh akhir setelah menewaskan Cekgu VC.
Kemaraan pasukan KEDA terhenti di peringkat separuh akhir apabila tumpas di tangan pasukan Black Chang VC.
Pasukan KEDA dan UUM telah berkongsi tempat ketiga manakala johan menjadi milik Black Chang VC yang menewaskan Dolkau di peringkat akhir dengan mata 26-24 dan 25-22.
Tahniah buat pasukan KEDA. Semoga terus sukses. Terima kasih kepada pihak penganjur yang sudi menerima kehadiran Pasukan Bola Tampar KEDA.

KEDA TURUN PADANG JAYAKAN PROGRAM GOTONG-ROYONG BERSAMA PENDUDUK DESA KEDA

SIK – Pegawai dan kakitangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) bersama-sama turun padang bersama penduduk Desa KEDA bagi menjayakan Program Gotong-royong di Desa KEDA Telaga Batu, Sik.
Pengurusan KEDA melalui Unit Pengurusan Sumber Manusia (UPSM) telah mengadakan Program Pendampingan dan Gotong-royong Bersama Penduduk Desa KEDA Telaga Batu sebagai pendedahan kepada kakitangan lantikan baharu KEDA berkenaan fungsi KEDA.
Program dimulakan dengan sesi taklimat dari urusetia UPSM berkenaan aktiviti sepanjang di Desa KEDA itu sebelum masing-masing berpecah mengikut kumpulan bagi membersih kawasan Desa KEDA Telaga Batu.
Program telah dirasmikan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Puan Hajah Afifah binti Haji Omar.
Turut hadir, Pengurus Bahagian Perancangan, Pemantauan dan Penilaian (BPPP), Mohd Elias bin Hassan, Pengurus Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), Shuhaila binti Hamzah, Ketua Unit Pengurusan Sumber Manusia (UPSM), Muhammad Rifqi bin Zulkiffli dan Pegawai Pembangunan Zon 4, Sik, Mohd Noor Farzli bin Adenan.
Pada program itu, turut diadakan ziarah kasih ke rumah penduduk uzur.
Program ini medapat kerjasama yang baik daripada penduduk kampung yang sama-sama turun padang menjayakan aktiviti yang diadakan.
Besar harapan KEDA agar kakitangan baharu lantikan 2024 dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada KEDA untuk penduduk luar bandar.

KAKITANGAN BAHARU KEDA SANTUNI PENDUDUK DESA

SIK – 19 pegawai dan kakitangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) lantikan baharu tahun 2024 dibawa bertemu penduduk Desa KEDA sempena program pendampingan dan gotong-royong bersama penduduk Desa KEDA Telaga Batu, di sini kelmarin.
Program pendampingan ini dijalankan adalah sebagai pendedahan agar semua kakitangan lantikan baharu ini dapat membiasakan diri dengan penduduk kampung dan memahami dengan jelas operasi agensi yang melibatkan desa-desa KEDA.
Program pendampingan ini penting sebagai persiapan sebelum mereka ditempatkan di mana-mana bahagian,unit, pejabat KEDA Zon atau Kolej KEDA.
Hadir menjayakan program ini adalah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Puan Hajah Afifah binti Haji Omar.
Pada program ini, semua kakitangan baharu berpeluang meronda kawasan kampung dan singgah ke rumah-rumah penduduk yang uzur bagi menyampaikan sumbungan.
Awal Januari 2024 yang lalu, seramai 19 kakitangan baharu telah melaporkan diri di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Alor Setar.
Mereka yang melaporkan diri ini terdiri daripada kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) gred 41 sehingga staf Kumpulan Pelaksana (gred 29-11).

KEDA MAHU PENDUDUK DESA KEDA CAKNA ILMU PENGURUSAN JENAZAH

BALING – Dengan hasrat memperbanyak penduduk desa Lembaga Kemajuan Wilayah (KEDA) yang arif dalam mengendali pengurusan jenazah mengikut syariat Islam yang betul, pengurusan KEDA melalui Pejabat KEDA Zon 5, Baling telah menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah di Desa KEDA Kemangi.
Program ini adalah bersempena aktiviti penghayatan tahun baharu Warga Madani Desa KEDA.
Kursus ini dimulakan dengan sesi ceramah dan diteruskan pula dengan sesi praktikal. Antara perkara berkaitan yang disentuh adalah kewajipan manusia kepada si mati meliputi memandikan, mengkafankan dan solat jenazah.
Ceramah ini telah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Tuan Muhamad Subri bin Yahaya.
Dengan adanya kursus ini, ia dapat menambah pengetahuan kepada umat Islam mengenai kepentingan pengurusan jenazah yang merupakan tuntutan fardhu kifayah dalam agama.
Selain itu, mempelajari cara pengurusan jenazah merupakan antara inisiatif yang dapat mengingatkan kita kepada kematian terutama sekali bagi masyarakat Islam dan betapa signifikannya mempunyai pengetahuan yang mendalam berkaitan perkara ini agar setiap umat Islam mampu untuk membantu menguruskan jenazah terutama sekali jenazah ahli keluarga sendiri pada masa hadapan.

PENDUDUK HARAP TAHUN 2024 BAWA SINAR BAHARU UNTUK SELURUH WARGA DESA KEDA SUNGAI SENAM

SIK – Penduduk Desa KEDA Sungai Senam memohon perlindungan kepada Allah SWT agar permulaan tahun 2024 membawa Sinar yang baharu untuk seluruh warga Desa KEDA Sungai Senam, Mukim Jeneri di sini.
Harapan itu dimohon pada Majlis bacaan yasin dan tahlil Program Penghayatan Tahun Baru 2024 sempena merai Ambang Tahun Baru 2024 di Surau Desa KEDA Sungai Senam.
Program yang diadakan pada malam jumaat dihadiri penduduk setempat dari pelbagai golongan umur itu dapat mengeratkan hubungan silaturrahim kekeluargaan di kalangan penduduk selain mensyukuri kurniaan dan memohon redha ilahi untuk tahun baharu.
Selain itu, penduduk juga mengharapkan semoga tahun ini memberi kelancaran kepada kepimpinan kampung dalam merancang dan melaksanakan yang terbaik untuk kebaikan dan kesejahteraan warga Desa KEDA ini.
Perlaksanaan program ini telah berjaya mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa 4P Desa KEDA Sungai Senam.

PERTEMUAN SANTAI PENGURUS BESAR KEDA BERSAMA DUTA BESAR MALAYSIA KE QATAR

DOHA – KEDA bakal berada di Qatar? Selain kehangatan Kejohanan Piala Asia di Negara Arab tersebut, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) tidak terkecuali mengintai peluang bersesuaian di negara ini.
Terbaharu, Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff telah berkesempatan untuk bertemu Duta Besar Malaysia ke Qatar, Tuan Yang Terutama Zamshari bin Shaharan sempena lawatan beliau ke Qatar.
Pertemuan secara santai dengan TYT Duta Malaysia ke Qatar ini turut diisi dengan perbincangan berkaitan peluang kerjasama yang dapat dijalinkan terutama bagi membantu usahawan-usahawan bimbingan KEDA dalam menembusi pasaran global di negara-negara teluk khususnya di Qatar.
Selain itu, turut dibincangkan adalah peluang kolaborasi antara pemain-pemain industri di Qatar dengan usahawan tempatan terutama Usahawan KEDA.
Kolaborasi ini adalah bagi menyahut seruan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi yang menjadikan agenda Desa to Global (D2G) sebagai salah satu Game Changer kementerian dan agensi dibawahnya bagi tahun ini.
Ini dinyatakan sendiri oleh YAB TPM sewaktu menyampaikan amanat tahun baharu di KKDW, Putrajaya awal bulan ini.
Semoga hubungan mesra ini dapat membenihkan kerjasama dan kolaborasi strategik agar manfaat dapat dikecapi oleh pemegang taruh KEDA terutama usahawan dan membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat desa di negeri Kedah ini.