KEDA BERCADANG BANGUNKAN KEDA FOOD VALLEY MENJELANG RMK13

KEDA BERCADANG BANGUNKAN KEDA FOOD VALLEY MENJELANG RMK13

KUALA NERANG – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) optimis untuk membangunkan satu lembah makanan (KEDA Food Valley) di kawasan operasinya dalam usaha menangani keterjaminan makanan serta meningkatkan pengeluaran pertanian dan makanan negara.
Pengurus Besar KEDA, YBhg Tuan Ismasuhaimi Shariff berkata bagi menjayakan lembah makanan itu, KEDA akan memohon peruntukan dalam Rancangan Malaysia ke -13 (RMK-13) sebanyak RM 12 juta membabitkan 218 hektar tanah di daerah-daerah dalam operasinya.
“Projek ini memfokuskan pembangunan tanah terbiar seperti di daerah Padang Terap, Baling dan Sik, kita akan memberi fokus dengan tanaman dan ternakan yang mempunyai kadar tahap sara diri negara (SSL) yang rendah.
“Antara fokus lain agensi juga adalah penyediaan makanan ternakan ayam yang dilihat potensi besar industri ternakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat ladang ternakan ayam kampung organik di Kampung Pokok Machang di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, YBhg. Tuan Ismasuhaimi berkata sehingga tahun ini, KEDA sudah mengusahakan 675 hektar tanah untuk pelbagai tanaman.
Katanya, antara tanaman itu ialah padi (484 hektar), pisang (70 hektar), nanas (33 hektar), jagung (22 hektar) tembikai (11 hektar), akuakultur (4 hektar) dan ternakan lembu (2.7 hektar).
“Kesemua projek itu sudah memberi pulangan pendapatan kepada pengusaha sebanyak
RM10.174 juta.
” KEDA akan kembangkan lagi usaha-usaha ini dan kita beri tumpuan kepada tanaman yang mudah dipasarkan dan pada masa depan kita akan tumpu juga kepada ternakan premium seperti ayam organik kerana pulangannya sangat besar,” katanya.
Hadir sama dalam lawatan itu Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, Pengurus Hartanah dan Prasarana, Encik Mohd Elias bin Hassan, Pengurus Niagatani, Encik Sulaiman bin Mohd Noor, Ketua Unit Komunikasi Korporat, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman, Pegawai Pembangunan Zon 2, Padang Terap Encik Khairul Rizwan bin Abd Aziz@Razak dan Penolong Pengurus Niagatani, Encik Mohd Nabil bin Jaffri.