SKUAD IHSAN MADANI KEDA TURUN PADANG BANTU STAF TERKESAN BANJIR

SKUAD IHSAN MADANI KEDA TURUN PADANG BANTU STAF TERKESAN BANJIR

ALOR SETAR – Skuad Ihsan Madani Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) mengambil inisiatif turun padang untuk membantu seorang kakitangan KEDA, Encik Abdullah Faiz bin Mohd Zain, yang terjejas akibat banjir di Anak Bukit, di sini.
Skuad yang terdiri daripada 15 orang kakitangan, termasuk staf wanita, tiba di lokasi pada jam 9.30 pagi untuk memberi bantuan.
Kehadiran skuad ini amat dihargai oleh mangsa yang menghadapi situasi mencabar selepas banjir melanda dengan pantas.
Menurut Encik Abdullah Faiz, banjir berlaku begitu cepat sehingga beliau dan keluarganya tidak sempat mengalihkan barang-barang di rumah.
“Segalanya berlaku dengan pantas, dan kami sekeluarga hanya sempat menyelamatkan diri ke tempat lebih selamat,” katanya.
Tambah beliau, akibat insiden ini, beliau terpaksa mengetepikan penyertaannya dalam Pertandingan Bola Tampar Terbuka Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah, di mana beliau merupakan salah seorang pemain utama, demi memastikan keselamatan keluarganya.
Skuad Ihsan Madani KEDA membantu membersihkan rumah mangsa, mengangkat perabot, serta memberikan sokongan moral kepada beliau dan keluarganya.
“Terima kasih kepada Skuad Ihsan Madani KEDA atas kehadiran dan bantuan yang diberikan.” katanya.
Inisiatif sebegini mencerminkan keprihatinan pihak KEDA dalam membantu kakitangan yang terjejas serta memupuk semangat kesukarelawanan di kalangan warganya.