KOLEJ KEDA PERKUKUH KERJASAMA DENGAN RAKAN STRATEGIK

KOLEJ KEDA PERKUKUH KERJASAMA DENGAN RAKAN STRATEGIK

SIK – Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Kolej KEDA) terus memperkukuhkan jalinan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan kualiti pendidikan serta kebolehpasaran pelajarnya.
Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom, menyatakan bahawa pengiktirafan Kolej KEDA sebagai pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah membuka ruang untuk kolaborasi yang lebih meluas.
“Kolej KEDA, yang dahulunya dikenali sebagai pusat latihan, kini telah berjaya menjalin kerjasama dengan 43 rakan strategik terdiri daripada industri dan agensi kerajaan,”.
“Kolaborasi ini amat penting untuk memastikan kurikulum yang ditawarkan relevan dengan keperluan pasaran, selain memberi peluang kepada pelajar untuk menjalani latihan industri dan meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya semasa Sidang Media pada Majlis Lambaian Kasih Memori Terindah dan Kolaborasi Rakan Strategik Kolej KEDA di Sik hari ini.
Tahun ini, sebanyak 11 syarikat dan organisasi baharu telah menandatangani dokumen kolaborasi strategik bersama Kolej KEDA. Antaranya ialah Sf Metal Sdn. Bhd., Seikou Systec Sdn. Bhd., Gott Sdn. Bhd., Dr Asia Aircond & Electrical Engineering, Kakak Aircond, Anaqeef Golden Rich Empire, MFY Utara Enterprise, Modenas, Roda Prestasi Sdn. Bhd., Sin Huat Air-conditioning & Refrigeration Sdn. Bhd., dan NHA Aman Enterprise.
Dato’ Seri Jamil Khir turut berharap kerjasama strategik ini dapat membantu memastikan pelajar Kolej KEDA mempunyai peluang pekerjaan selepas tamat pengajian, sejajar dengan usaha KEDA untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Majlis tersebut turut dihadiri wakil-wakil rakan strategik serta tenaga pengajar dan pelajar Kolej KEDA, yang menjadikan acara ini platform penting untuk mempererat hubungan antara pihak kolej dan industri.
PERLAWANAN PERSAHABATAN BADMINTON ANTARA KEDA DAN FAMA SEMPENA JUALAN KASIH KEDA MADANI 2024

PERLAWANAN PERSAHABATAN BADMINTON ANTARA KEDA DAN FAMA SEMPENA JUALAN KASIH KEDA MADANI 2024

ALOR SETAR – Sebagai tanda penghargaan kedua-dua belah pihak dan ikatan kerjasama serta silaturahim di masa akan datang, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Kedah telah menganjurkan satu perlawanan sukan persahabatan.
Perlawanan secara santai ini telah diadakan di Star Badminton Arena, Star Parade, di sini melibatkan permainan badminton berpasukan.
Hadir mewakili KEDA selaku pemain adalah Ketua Unit Komunikasi Korporat, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman, Cik Norhafizah binti Mohd Isa dari Bahagian Perancangan, Pemantauan dan Penilaian, Encik Mohammad Nizar bin Mohamad Ayob dan Ahmad Azzim Zubedy bin Shaikh Salim dari Bahagian Kewangan, Encik Muhammad Ashraf bin Radzuan dan Puan Rohazniza binti Mohamd Yusof dari Bahagian Hartanah dan Prasarana.
Selain itu, turut hadir adalah Encik Mohd Shorizan bin Zamri dari Bahagian Pembangunan Komuniti, Encik Muhammad Haniff bin Zaheran dari Unit Kutipan Hasil, Puan Amira binti Isrorodin dan Encik Mohd Zul Aziman bin Ariffin daei Unit Pengurusan Sumber Manusia, Puan Nurul Aqilah binti Ishak dari Unit Pelaburan dan Kawal Selia Anak Syarikat, Encik Abdul Jalil bin Mohamed Sidik dari Pejabat KEDA Zon 2, Padang Terap dan Encik Muhammad Haikal Safwan bin Huzaime dari Pejabat KEDA Zon 7, Kuala Muda/Yan.
Terima kasih diucapkan kepada Bahagian Pembangunan Usahawan yang diketuai oleh Pengurusnya, Encik Rojani bin Romeli, Penolong Pengurus, Cik Noor Shahida binti Jamil dan Encik Mohd Suffian bin Abu Bakar atas kesudian membantu menguruskan perlawanan persahabatan ini.
Turut hadir menyaksikan perlawanan ini adalah Timbalan Pengarah (Pembangunan) FAMA, Encik Mohd Hafiz bin Mohd Adnan.
Semoga ikatan baik ini dapat diteruskan dalam penganjuran program bermanfaat kepada rakyat negeri ini terutama rakyat desa dan luar bandar.
Terima kasih FAMA Kedah
DESA KEDA TELAGA BATU DIANGKAT SEBAGAI KAMPUNG ANGKAT DESA BERSAMA KLINIK PERGIGIAN GULAU SIK

DESA KEDA TELAGA BATU DIANGKAT SEBAGAI KAMPUNG ANGKAT DESA BERSAMA KLINIK PERGIGIAN GULAU SIK

SIK – Desa KEDA Telaga Batu terus mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai Kampung Angkat Desa Bersama Klinik Pergigian Gulau, Sik.
Pelantikan ini mencerminkan semangat kekeluargaan dan muhibbah yang tinggi dalam kalangan penduduk kampung, di samping komitmen mereka terhadap kesejahteraan komuniti.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif kesihatan komuniti, kempen derma darah dan pemeriksaan kesihatan turut diadakan hari ini.
Program yang menjadi agenda wajib setiap empat bulan itu berjaya menarik penyertaan ramai penduduk setempat.
Desa KEDA Telaga Batu juga terlibat dalam Program Permentoran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), yang bertujuan membentuk kesedaran dan melahirkan warga Desa KEDA yang menghargai nikmat kesihatan serta mengamalkan budaya membantu insan yang memerlukan.
Pelantikan ini dijangka akan memperkukuhkan lagi hubungan antara Klinik Pergigian Gulau dengan penduduk Desa KEDA, di samping menjadi platform untuk pelaksanaan pelbagai program kesihatan dan kemasyarakatan secara berterusan.
Penganjuran aktiviti seperti ini jelas membuktikan kesungguhan penduduk Desa KEDA Telaga Batu untuk membangun secara holistik, selaras dengan aspirasi kerajaan dalam memajukan komuniti luar bandar.
KEDA SANTUNI ALUMNI KOLEJ KEDA MELALUI KURSUS BIZ GROW TRANFORMING MICRO BUSINESS FOR THE NEXT LEVEL

KEDA SANTUNI ALUMNI KOLEJ KEDA MELALUI KURSUS BIZ GROW TRANFORMING MICRO BUSINESS FOR THE NEXT LEVEL

SUNGAI PETANI – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) terus memperkasakan pembangunan usahawan melalui Kursus Biz Grow: Transforming Micro Business For The Next Level yang diadakan di Swiss Avenue Hotel, Sungai Petani baru-baru ini.
Kursus ini dianjurkan oleh Kolej KEDA melalui Unit Pembangunan Komersial Kolej KEDA dengan kolaborasi Syarikat Bizmilla Sdn. Bhd., yang diketuai oleh pengasasnya, Puan Mila Jirin, bersama pasukannya.
Seramai 50 orang alumni Kolej KEDA yang terdiri daripada usahawan pelbagai bidang seperti kulinari, jahitan, kimpalan, penyelenggaraan penyaman udara, elektrik, dan motosikal telah menyertai kursus ini.
Sepanjang tiga hari, peserta didedahkan dengan lapan modul keusahawanan yang menumpukan pada pemerkasaan perniagaan mikro. Modul-modul ini memberi pengetahuan dan kemahiran untuk meningkatkan prosedur operasi perniagaan, selain membantu peserta memperluaskan potensi mereka ke tahap lebih tinggi.
Selain itu, peserta turut diajar strategi pemasaran berkesan, termasuk kaedah meningkatkan personal branding dan pendedahan kepada perniagaan atas talian yang semakin relevan dalam dunia digital.
Majlis penutup kursus telah dirasmikan oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff.
Turut hadir ialah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Hajah Afifah Binti Haji Omar, dan Pengarah Kolej KEDA, Encik Che Ridzuan bin Mohamad Isa.
Pada majlis tersebut, simbolik penyerahan mock cheque berjumlah RM224,323.00 turut diadakan, melibatkan 19 penerima bantuan di bawah Program Bantuan Usahawan Alumni Kolej KEDA Tahun 2024.
Kursus ini membuktikan komitmen KEDA dalam menyokong usahawan alumni Kolej KEDA untuk terus berkembang dan mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
PROGRAM PEMBANGUNAN USAHAWAN KEDA TAHUN 2024

PROGRAM PEMBANGUNAN USAHAWAN KEDA TAHUN 2024

PULAU PINANG – Program Pembangunan Usahawan KEDA Tahun 2024 berjaya dianjurkan dengan penuh komitmen dengan penglibatan seramai 31 peserta.
Program selama tiga hari, bermula pada 10 hingga 12 Disember 2024, berlangsung di Hotel Sentral Seaview, Pulau Pinang.
Program ini dirasmikan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Puan Hajah Afifah binti Omar, yang menyatakan harapan agar program ini menjadi platform memperkukuh daya saing usahawan di bawah bimbingan KEDA.
Program ini menampilkan Pengarah Smart Triple IQ Sdn Bhd, Encik Muhammad Azki Hafizi Ibrahim, sebagai penceramah utama yang menyampaikan tujuh slot utama, iaitu Membina Behaviour Seorang Usahawan, Business Management,
Sales & Marketing, Strategic Planning, Business Profit Margin, Motivasi Big Why & Dream dalam Business dan Pengurusan Kewangan.
Slot-slot ini bertujuan meningkatkan kemahiran keusahawanan dalam aspek pengurusan, pemasaran, dan perancangan strategik, di samping memupuk motivasi dan pemikiran inovatif dalam kalangan peserta.
Melalui program ini, peserta dapat menimba ilmu baharu serta merangka hala tuju perniagaan yang lebih mantap.
KEDA berharap program ini dapat memberikan impak positif terhadap pembangunan ekonomi komuniti desa.
PELBAGAI ANUGERAH SEMPENA PERHIMPUNAN BULANAN PENUTUP TIRAI 2024

PELBAGAI ANUGERAH SEMPENA PERHIMPUNAN BULANAN PENUTUP TIRAI 2024

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) mengadakan Majlis Perhimpunan Bulanan terakhir bagi tahun 2024 dengan pelbagai acara dan pengiktirafan bagi menghargai usaha kakitangan, sekaligus menutup tirai tahun ini dengan penuh bermakna.
Majlis tersebut menyaksikan penyampaian pelbagai anugerah, antaranya Anugerah Mentor Mentee Terbaik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Anugerah Pekerja Terbaik Bulanan, Anugerah Majlis Bersama Jabatan (MBJ), Anugerah Majikan Terbaik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), serta pencapaian cemerlang dalam Sukan Pantai Berkanun, 500K Langkah, Kuiz Integriti, dan Penyerahan Kad Keahlian KEDA Bikers.
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff bersama Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, menyempurnakan penyampaian anugerah-anugerah tersebut.
Dalam majlis sama, turut dilaksanakan beberapa inisiatif bermakna seperti penyerahan Kit Bantuan Bencana, pelancaran Tabung Ihsan Madani KKDW@KEDA, serta penyumbangan Tabung Bencana KEDA kepada pihak yang memerlukan.
Dalam ucapannya, YBhg. Tuan Ismasuhaimi menyampaikan penghargaan kepada kakitangan atas dedikasi dan usaha mereka sepanjang tahun.
“Anugerah ini bukan sekadar penghargaan, tetapi menjadi pembakar semangat untuk kita terus cemerlang dan lebih baik pada tahun hadapan,” katanya.
Majlis ini bukan sahaja mencerminkan komitmen KEDA terhadap pembangunan komuniti dan kecemerlangan kakitangannya, tetapi juga mengukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan warganya untuk menghadapi cabaran tahun baharu dengan lebih bersemangat.
KEDA LANCAR TABUNG IHSAN MADANI KKDW@KEDA

KEDA LANCAR TABUNG IHSAN MADANI KKDW@KEDA

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah melancarkan Tabung Ihsan MADANI KKDW@KEDA sempena Perhimpunan Bulanan yang diadakan di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar.
Pelancaran tabung tersebut telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff.
Dalam ucapannya, Tuan Ismasuhaimi menjelaskan bahawa penubuhan tabung ini bertujuan untuk membantu menambah dana serta memberi peluang kepada NGO atau syarikat yang mempunyai sumber kewangan tetapi kekurangan keupayaan logistik dan tenaga sukarelawan untuk melaksanakan program kemanusiaan.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, dan Pengurus Khidmat Pengurusan KEDA, Encik Mohd Ariff bin Mohd Rodzi.
Tuan Ismasuhaimi turut mengucapkan penghargaan kepada Skuad Ihsan MADANI KEDA atas dedikasi dan komitmen membantu mangsa banjir di Kedah baru-baru ini.
“KEDA telah mengaktifkan skuad sukarelawan, yang kini dikenali sebagai Skuad Ihsan MADANI KEDA. Keahlian skuad ini telah meningkat daripada 40 orang kepada 60 orang,” katanya.
Beliau juga mengumumkan bahawa Skuad Ihsan MADANI KKDW@KEDA kini turut diperluaskan kepada Kolej KEDA, dengan 40 ahli baharu terdiri daripada kakitangan dan pelajar kolej tersebut.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian bantuan kepada 10 kakitangan KEDA dari pelbagai unit yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Tabung Ihsan MADANI KKDW@KEDA diharap menjadi platform penting dalam mengukuhkan inisiatif kebajikan dan sokongan kepada komuniti yang memerlukan.
PROGRAM HARI KELUARGA DESA KEDA BANDAR MERIAHKAN KOMUNITI

PROGRAM HARI KELUARGA DESA KEDA BANDAR MERIAHKAN KOMUNITI

BALING – Program Hari Keluarga Desa KEDA Bandar berlangsung dengan penuh meriah pada Sabtu, baru-baru ini dengan pengisian pelbagai aktiviti.
Program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk setempat menerusi pelbagai aktiviti santai dan menceriakan.
Antara aktiviti yang mendapat sambutan hangat ialah pertandingan kerusi muzik, membawa bola pingpong menggunakan sudu, bola beracun, pecah belon, sambung straw, dan tuju tin, yang dikhususkan untuk kategori kanak-kanak.
Seterusnya, bagi kategori dewasa, acara seperti “Semakin Jauh Semakin Sayang,” sedut straw ke dalam botol, dan cari benda tersembunyi turut menceriakan suasana.
Sebagai pelengkap program, sesi cabutan bertuah telah diadakan dan hadiah disampaikan oleh Pegawai Pembangunan Zon 5 Baling, Encik Mohamad Yusran Azali bin Mohamad Fadzil.
Program ini berjaya mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan semangat kejiranan di kalangan penduduk Desa KEDA Bandar, selaras dengan objektif membentuk komuniti yang harmoni dan sejahtera.
KUNJUNG HORMAT BDB KE KEDA

KUNJUNG HORMAT BDB KE KEDA

ALOR SETAR – Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, baru-baru ini menerima kunjungan hormat daripada Bina Darulaman Berhad (BDB) di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar, Alor Setar.
Delegasi BDB diketuai oleh Head of Water & Agriculture Business, Mr. Zaki Dato Zainal Abidin, bersama Chief Support Officer, Mr. Abdul Shukor bin Abdul Rahman.
Ketibaan delegasi tersebut disambut mesra oleh YBhg. Tuan Ismasuhaimi dan kakitangan KEDA.
Kunjung hormat ini bertujuan membincangkan potensi kerjasama strategik antara KEDA dan BDB, khususnya dalam pelaksanaan projek di daerah Sik yang dijangka memberikan impak besar kepada pembangunan kawasan luar bandar.
Turut hadir mewakili KEDA ialah Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, dan Pengurus Pembangunan Usahawan, Encik Rojani bin Romeli.
Dalam sesi tersebut, YBhg. Tuan Ismasuhaimi turut menyampaikan taklimat ringkas mengenai operasi dan peranan KEDA dalam membangunkan komuniti luar bandar di Kedah.
Kunjungan ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan baik antara KEDA dan BDB, serta membuka peluang kolaborasi dalam projek-projek pembangunan yang bermanfaat kepada masyarakat setempat.
KEDA AGENSI TERBAIK KESELURUHAN CABARAN 500K LANGKAH ANMS PERINGKAT NEGERI KEDAH 2024

KEDA AGENSI TERBAIK KESELURUHAN CABARAN 500K LANGKAH ANMS PERINGKAT NEGERI KEDAH 2024

ALOR SETAR – Tahniah! Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) cemerlang lagi! KEDA telah dinobatkan sebagai agensi terbaik keseluruhan Cabaran 500K Langkah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat Negeri Kedah bagi tahun 2024.
KEDA juga boleh berbangga apabila stafnya, Encik Mohd Faizul bin Mohd Fodzi dari Pejabat KEDA Zon 9, Bandar Baharu turut berjaya menggondol johan keseluruhan bagi kategori individu. Beliau juga berjaya mendapat tempat pertama bagi bulan Julai dan tempat ke-5 bagi bulan Ogos untuk kategori hadiah bulanan.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, YB Mejar (B) Mansor bin Zakaria.
Hadir mewakili KEDA adalah Pengurus Khidmat Pengurusan, Encik Mohd Ariff bin Mohd Rodzi dan Ketua Unit Komunikasi Korporat, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman.
Selain Encik Faizul, turut hadir adalah 2 lagi staf KEDA yang berjaya menempatkan diri dalam 10 peserta terbaik keseluruhan. Mereka ialah pemenang tempat ke-5, Encik Mohamad Zaherudin bin Khairun dari Pejabat KEDA Zon 3, Pendang/Pokok Sena dan pemenang tempat ke-9, Encik Mohd Syafiq bin Abdul Razak dari Unit Pentadbiran Am.
Kedua-dua mereka turut cemerlang apabila Encik Zaherudin berjaya mendapat tempat ke-6 bagi bulan Julai dan Encik Syafiq berjaya mendapat tempat ke-6 bagi bulan Ogos.
Dengan kemenangan ini, KEDA membawa pulang RM 2,000 dan sijil penyertaan. Kejayaan ini sangat membanggakan KEDA memandangkan dengan kekuatan 292 orang staf yang menjadi peserta, agensi ini berjaya menumpaskan 49 agensi lain yang bertanding.
Cabaran ini telah bermula seawal 1 Julai 2024 sehingga 31 Ogos 2024. Dengan penyertaan 49 agensi, seramai 3,687 staf kerajaan telah menyertai cabaran ini untuk kategori individu dan mewakil agensi masing-masing.
Seiring dengan matlamat ANMS itu sendiri, cabaran ini adalah bagi menggalakkan rakyat Kedah khususnya penjawat awam dalam mengaktifikan aktiviti fizikal untuk menjadi lebih cergas.
Tahniah KEDA!
Semestinya Kita Juara!